Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. 21 Januari 2023.
Saya menghabiskan masa kali ini menaip beberapa anekdot tentang Abah di telefon, sambil menjaganya di wad. Kadang terhenti ketika Abah minta mengurut bahu, kadang dia meminta bantuan ingin duduk ketika terlalu lama berbaring.
Melihat dada Abah berombak turun dan naik, rasa lega bergulir dalam sanubari. Di usia Abah 87 tahun, kami masih dapat merasa kasih sayang seorang ayah.
Saya lahir sewaktu Abah sudah berusia 53 tahun, waktu bersara ketika itu masih 55 tahun. 2 tahun lagi sebelum seharusnya pencen.
Dalam memori seumur hidup saya, bapa saya adalah seorang yang telahpun tua. Saat saya mengenalnya usianya sendiri sudah hampir ke angka 60. Saya tidak pernah mengenali beliau ketika beliau muda, apatah lagi sebagai seorang pertengahan usia. Tuntasnya, persoalan-persoalan jodoh, ajal dan maut hanya di atas sana yang mengetahui.
Dan sedari kecil lagi, bicara Abah selalu tentang hal-hal orang tua. Sejak umur 7 tahun begitu, Abah mengingatkan kami umur 63 adalah jangka hayat umur umat Nabi. Selepas 63 adalah tahun-tahun hadiah. Maka semenjak usianya 63 tahun, kami tahu setiap tahun kami bersama Abah bila-bila saja boleh jadi tahun terakhir bersamanya.
Tragedi pertama sewaktu saya berusia 6 atau 7 tahun. Entah bagaimana, Abah terjatuh di kebun getah sewaktu menoreh. Zapp - pisau menoreh yang tajam menggores pinggang Abah, tersiat kulitnya dalam bentuk segitiga sehingga ternampak isi, seolah kertas dinding yang mengelupas apabila gamnya tidak melekat lagi. Saya walaupun kecil memahami seriusnya skala kecederaannya - apabila Abah berehat sementelah menunggu lukanya sembuh, saudara mara kami datang menziarahinya tidak kunjung putus.
Dari nada cemas Abah bercerita, kami cukup faham jika ajal menjemput Abah ketika itu. Abah sedang bersendiri dalam kebunnya, boleh jadi dia tidak akan ditemui sesiapa setelah pitam. Nasib Abah baik, sempat ditemui orang ramai ketika dia sudah banyak hilang darah.
Memori terawal saya tentang kecederaan parah Abah itulah, tapi di minda kakak-kakak dan abang saya, ada peristiwa yang lebih awal pernah berlaku.
Ketika kami kecil, Abah kehilangan pekerjaan. Oh ceritanya lebih panjang dari itu, tapi dipendekkan kisah, Abah lebih sanggup berhenti daripada berkonflik di tempat kerja. Hidup kami 9 beranak terus susah sejak itu.
Abah membawa kami tinggal ke kebun getahnya di seberang Temerloh. Ada sebuah pondok kecil di situ tempat kami berteduh, tapi tiada elektrik ataupun air paip. Abah mengumpul dan menadah air hujan daripada bumbung rumah ke dalam tong drum, apabila kami ingin ke tandas Mak akan mencangkul lubang untuk membuang dan kami menggunakan air tersebut untuk beristinjak.
Mujur kebun Abah ada 2 perigi mata air, untuk mandi kami akan berlari anak sambil melompat untuk mengelak pacat dari pondok Abah ke perigi.
'Dan dia tidak pernah merasa, kerana derita itu adalah dia' tulis Usman Awang dalam sajaknya Mata Ayah, dan kami merasai maksud ayat itu dengan setiap salur urat, nadi, nafas dan rasa hati terpaling dalam, bahawa setiap kesusahan kami tidak terasa bagai suatu derita, kerana kami telah bersebati dengannya.
Tragedi terawal dalam memori kakak-kakak dan abang saya ialah, waktu masih menetap di pondok Abah kami pernah berkunjung ke sebuah petak sawah milik kenalan Abah. Mereka berpesta menahan jaring menangkap ikan-ikan dalam bendang. Dalam memori saya teringat ikan melompat dari air dan saya cuba menangkap dengan tangan.
Ketika hari petang, Abah sudah resah ingin pulang. Ketika dalam keriuhan bersiap untuk pulang, kaki Abah terpijak sengat ikan keli daripada sekian banyak ikan-ikan yang telah didaratkan.
Pap! Serentak rasa sakit menikam kaki Abah dari sengat keli. Abah berjaya memandu kami pulang ke pondok walau telah tercedera, dan malam itu, Kak Long dan Mak melakukan pembedahan ke kaki Abah untuk mengeluarkan sengat keli.
Kami semua tidak boleh memandu kecuali Abah, kami tidak ada telefon, elektrik mahu pun air paip. Malam itu, bertemankan api pelita, menggunakan pisau dapur, kaki Abah ditoreh. Apabila berjaya mengesan sengat keli, akibat ketiadaan pengepit, Kak Long terus menggigit sengat dan membawanya keluar dari daging kaki Abah dengan giginya.
Memori ini sendiri mengingatkan saya kepada watak ibu An-Mei, Suyuan dalam The Joy Luck Club, yang menoreh cebisan kecil daging di tangannya untuk dijadikan sup buat ubat di penghujung usia neneknya, suatu resipi kuno sebagai ikhtiar terakhir seorang anak untuk menyelamatkan nyawa ibubapanya.
Pengorbanan itu - sifat hormat paling tinggi kepada orang tua, yang terlalu agung sehingga dirasai daripada sedalam tulang belulang.
(bersambung...)
siapa potong bawang ni .. T.T
ReplyDeletesayangilah abah, selagi beliau masih ada
ReplyDeleteSedihnya bad...mcm x percaya kehidupan bad...
ReplyDelete