Petang, waktu yang melankolik. Kejinggaan ujung
horizon yang menyelerak dan menjangkit dinding-dinding konkrit, tingkap-tingkap
kaca bergenangan dengan kemerahan, udara yang menjadi kuning tempias derita
dari suria yang tenggelam.
Pulang dari kerja, buat kesekian kalinya. Kali ini
bertemankan Afiq, rakan sekerja yang kehilangan keretanya buat sementara waktu
kerana kemalangan. Saya mengambilnya waktu pagi dan menghantarnya pulang
selepas habis waktu bekerja.
Buat seberapa waktu, menjalani seharian membuatkan
saya kembali membina kepompong, berundur lebih jauh ke dalam dunia sendiri.
Kesunyian yang pernah digelut kini telah menjadi sebati.
Saya pernah membenci sepi. Tetapi kini saya telah
menjadi sepi.
Afiq kembali mengingatkan saya, beberapa peristiwa yang
pernah berlaku di dalam kereta ini.
“Here we are again in your car. Our little miserable
place. A district of fools: population two.”
Tulis Naja.
“Genderang kamu berbunyi lagi
Ombohnya berkeriut-ribut”
Ombohnya berkeriut-ribut”
Tulis Keon.
Kami bertiga sudah kematian bicara.
Dalam masa setahun kemesraan yang telah dilentur, kembali beku. Tiada lagi
gurauan, tiada lagi puji-pujian (ampuan), tiada lagi pertukaran tuid di alam
maya. Antara kami ada sebatang lebuh sunyi, pusara kata-kata.
Begitu juga dalam lain-lain pertelingkahan,
saya terasa bagai tercampak ke tengah sketsa. Di sekeliling pentas berlangsung
pertukaran kata nista dan sengketa, sambil saya memandang bisu tidak mampu berbuat
apa-apa.
Adanya Afiq, terasa benar besarnya
sebuah kesunyian yang diisikan. Perbualan kami juga mendalam, menembus
lapis-lapis normaliti dan formaliti pejabat. Perjalanan yang selalunya dilatari
lagu-lagu dari pemain mp3 kini berisi perbualan kami, tentang manusiawi.
Sebuah kehidupan telah ditinggalkan
di belakang.
Afiq kemalangan kurang lebih 2
minggu lalu sewaktu memandu ke pejabat. Kereta Ford Focusnya dilanggar di
sebelah kanan oleh sebuah motosikal. Penunggang motosikal tercampak, patah
pinggul. Kereta Afiq calar dan kemek, tayarnya pecah.
Dalam tempoh 2 bulan, ini kali
ketiga kereta Afiq kecelakaan. Pertamanya ketika paip cecair penyejuknya bocor.
Kedua bateri kematian di tengah jalan. Kali ketiga kemalangan.
Kecelakaan Afiq silih berganti
antara bengkel dan hospital. 3 bulan yang lalu, Afiq tertinggal kelahiran
putera keduanya kerana dia terlantar di wad akibat keracunan makanan. Minggu lalu
sebelum sempat keretanya keluar dari bengkel dia dimasukkan ke wad sekali lagi
kerana darah dijangkiti kuman.
Dari kacamata emosi, kita melihat
kesedihan dan kecelakaan sebagai tragedi, dan dari kacamata sinis kita melihat tragedi
sebagai komedi. Nasib yang kerap malang mungkin akan lebih dilihat sebagai
sebuah lelucon.
Saya senang berbicara dengan Afiq. Seperti
mereka yang pernah duduk di tempat yang sama sebelumnya, sewaktu memandu mereka
akan menemani saya melawat kisah-kisah lama.
Daerah yang menyimpan sejarah lama
disingkap, kadang ada yang dibiar berdarah semula, terkadang bunga-bunga emosi
yang layu mekar kembali.
Afiq pendengar setia, terkadang
tertawa, kadang hanya menadah telinga. Sekian lama kata-kata tercurah yang
tergali dari sedalam jiwa, setiap lapis-lapis diri disingkap satu demi satu.
Kepompong yang dibiar mengepung
perlahan kembali ghaib dicair bicara.
Dalam dunia yang selalu lupa untuk
berhenti, kadang kita menjadi terlupa sama untuk melayan hati sendiri.
Hati saya tidak rusuh mengambil dan
menghantar Afiq pulang dari kerja, malah saya gembira sepanjang memandu ada
teman untuk berkata-kata.
Setelah menghantar Afiq pulang,
saya akan kembali sepi.
“Afiq, dekat sini ramai kawan-kawan
saya, tapi seorang pun dah tak jumpa.”
Sambil memandu, saya merenung
rumah-rumah dan jalan-jalan yang pernah saya lalui di sini. Hati berasa seperti
dicucuk duri.
Betapa sudah lama kata-kata antara
kita sudah mati. Betapa kita benci sepi, tetapi masih juga sendiri.
No comments:
Write curses