03 April 2015

Nota Dari Tanah Suci


WP_002152
 
Masa dekat Mekah, Mak dengan Abah balik dari Masjidil Haram mesti rehat lama-lama dalam bilik, sebab dah tak larat. Kami nak pergi anak beranak ke Masjidil Haram mesti tengah-tengah berjalan tu saya menitik air mata sebab terasa berat sekali nak membawa Mak yang sakit lutut sambil menolak Abah atas kerusi roda. Terkedek-kedek kami berjalan ke Masjidil Haram dari hotel, dalam satu kilometer juga bawah suhu gurun yang kering. 
 
Tapi dugaan itu tanda kasih sayang Allah kepada kita. Kalau dekat tanah air pun kita diuji, dekat sana di Tanah Suci lagilah kita kena berlapang dada.
 
Dalam pada kita gigih mengerjakan ibadah, Allah kurniakan banyak benda yang kita tak sedari. Kadang-kadang Allah beri kita ukhwah dengan jemaah sesama kita, tanda kasih sayang Dia pada kita. 
 
Saya teringat seorang kakak – yang saya tidak pernah terlintas untuk bertanya namanya. Saya lihat keluarganya cukup bahagia – dia bersama ibu bapanya dan anak lelaki sulungnya yang beberapa tahun lebih tua daripada saya mengerjakan umrah bersama-sama. Betapa mulanya saya berasa iri hati melihat mereka saling bantu membantu sesama keluarga, ibunya yang tua kadang-kadang tidak larat berjalan bergilir-gilir ditolak ahli keluarganya. 
 
Saya pulak membawa Abah dengan Mak seorang, perlahan-lahan melangkah setapak demi setapak ke Masjidil Haram bersama-sama. 
 
Hubungan kami dengan keluarga kakak itu tidaklah bermula secara aneh, tetapi perlahan-lahan. Dari perbualan kecil ketika menunggu lif sampai, di dewan makan, seterusnya sewaktu berziarah tempat-tempat bersejarah di sekitar Mekah dan Madinah. 
 
Yang anehnya, dalam keluarga saya, saya yang paling ramah dengan jemaah lain. Mak dengan Abah mungkin penat, kurang bercakap di sana.
 
Sewaktu ke ladang kurma dekat Bukit Uhud dan pasar kurma di Madinah, ketika itulah hubungan kami dan keluarga kakak itu menjadi rapat. Kakak itu orang Kedah, dan anak lelakinya dia bahasakan sebagai Along.
 
Di ladang kurma, kakak itu teringin membeli kacang pistachio tapi harganya agak mahal.
Setelah kami tiba di pasar kurma, saya berjaya mencari kedai yang menjual kacang pistachio yang agak murah. Sewaktu naik bas, lekas saya memberitahunya.
 
“Along, pergi ikut beli kacang cerdik!” arahnya pada anaknya, menyuruh saya menemankan anaknya membeli kacang pistachio yang mereka pangil kacang cerdik. Dapatlah kami masing-masing membeli sekilo kacang pistachio.
 
Kakak itu ramah sangat orangnya, menggelarkan dirinya sebagai ‘Kitchen Officer’. “Suri rumah suri rumah tak mainlah, kita Kitchen Officer!” kata kakak itu, mengundang gelak saya.
 
Dalam pada kami berbual gembira, tiba-tiba dia bertanya “Bawak mak dengan ayah pergi umrah ka?”
Saya mengangguk kecil, setuju.
 
“Untunglah boleh pergi dengan mak ayah. Along tu ayah dia baru meninggal 6 bulan lepas”. Tiba-tiba suara kakak itu sedih, sambil menunjuk ke arah anaknya. 
 
“Kalau tak kami pergi satu keluarga lah ni.”
 
Saya mengangguk perlahan. Suara kakak itu mula menjadi perlahan. Saya terasa getar hati kakak itu yang baru kematian suami.
 
“Along dah kahwin ke kak?” saya mengubah topik.
 
“Dah, tapi bini dia tak bawak. Ayah akak yang belanja dia pergi umrah, dia sorang jelah pergi. Kalau dia taknak pergi, ayah akak bawak cucu lain!”
 
Begitulah, mungkin Allah memberi ingatan melalui kakak itu bahawa saya sebenarnya beruntung dapat mengerjakan umrah bersama-sama ibubapa. Selama di Tanah Suci, kerap kali saya berasa gundah terpaksa menjaga Mak dengan Abah. Bukanlah saya mengeluh, tetapi kebanyakan masanya saya merasa tidak mampu menjaga mereka baik-baik.
 
Kata-kata kakak itu mengingatkan saya erti bersyukur. Seperti anaknya yang dipilih untuk menunaikan umrah bersama-sama keluarganya, saya juga dipilih untuk membawa Mak dan Abah menjadi tetamu Allah. 
 
Dan ada masanya, saya tidak sedar Allah memberi bantuan kepada saya melalui jemaah-jemaah lain. Ada masanya saya terlambat memimpin Abah naik ke bas, tetapi jemaah-jemaah lain terlebih dahulu memimpin Abah dan melipat kerusi roda Abah ke dalam bonet bas.
 
Kakak itu juga tidak terkecuali. Sewaktu Mak terpisah mengikut jemaah wanita, kakak itu berkata kepada saya “Takpe, akak jaga Mak adik.” 
 
Allah, terharu saya sebentar. Rasa begitu melimpah-limpah kasih Allah kepada kita. 
 
Sampailah ke lapangan terbang untuk pulang semula ke Malaysia, hubungan kami dengan keluarga kakak itu kekal akrab.
 
Sebelum berangkat pulang, kakak itu menghulurkan saya senaskhah buku nota.
 
“Adik, tulis nama, nombor telefon, alamat. Nanti kalau akak singgah Pahang boleh singgah rumah adik!”
 
Saya menulis nama Mak dalam buku nota itu sebelum memulangkan semula buku itu kepadanya. Kakak itu kemudiannya menghulurkan buku nota itu kepada jemaah lain.
 
Tetapi sampai sekarang belum lagi mendengar khabar darinya sejak pulang ke Malaysia. Saya pula yang kesal tidak mengambil nombor telefon kakak itu.

1 comment:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter