Saya mengenali Munirah 4 tahun yang lalu, semester pertama 2008/2009. Kami dalam kelas memanah yang sama, di bawah bimbingan Cik Fairuz.
Kulit Munirah putih kemerahan, jika ditelek dekat dapat dilihat salur-salur kapilari darahnya di pipi. Matanya sepet. Tubuhnya tidak tinggi, agak rendah juga orangnya. Berkaca mata. Dan dia bertudung labuh.
Tetapi tidak. Bukanlah tudungnya yang saya perhatikan ketika mula berkenalan dengannya.
Malah saya tidak lalu mengambil berat luarannya ketika kami kali pertama bersua, dan juga sepanjang perkenalan kami.
Mungkin kerana ketika itu dia bersendirian, lalu pakaiannya tidaklah begitu menarik perhatian. Jika dia dalam satu kumpulan bertudung labuh, tentu sekali akan lebih menyerlah.
Oh mengapakah kini saya menulis tentangnya? Mungkin Allah mengilhamkam sesuatu kepada saya pada malam tanggal 3 Ramadhan ini. Mungkin Allah ingin saya berbicara tentangnya. Tatkala berpindah blok malam tadi, saya menemui keratan akhbar yang saya gunakan untuk mentelaah sukan memanah pada semester pertama dahulu.
Tanpa disedari, fikiran saya menerawang jauh ke suatu daerah memori lampau.
Munirah ketika itu sudah di semester kedua pengajian ijazahnya, kerana dia daripada Asasi Sains Pertanian 3 semester, berbanding saya daripada matrikulasi, 2 semester. Dia mengambil Bacelor Sains Makanan sebagai ijazahnya.
Kami tidak terlalu banyak berbual, namun dia tidak terlalu menahan dirinya daripada berbual dengan saya, sungguhpun dia dengan bertudung labuh kami masih boleh berbicara tentang banyak perkara. Tidak lama masa diambil untuk saya mengetahui dia sudah kematian ibunya, dan kini tinggal dengan ayahnya. Munirah, walaupun bukan seorang yang terlebih mesra, sebenarnya seorang yang peramah.
Ketika itu, merupakan zamannya politik kampus masih berapi, dan saya walaupun di semester pertama sudah merasai bahangnya. Tanpa disengaja, politik kampus menjadikan titik pertama saya mengenali siapa Munirah.
Saya yang masih naif, berbual dengan seorang lagi teman tentang suasana politik kampus. Ketika itu, di kolej 2 orang pelajar wanita bertudung labuh yang merupakan pelajar cemerlang UPM dibuang kolej, ura-ura kerana politik kampus. Ketika mendengar perkara ini tentu sekali saya tidak dapat menahan diri daripada mencari maknanya kejadian itu.
Dan komen saya yang menarik Munirah mendengar ialah “ProA dan ProM sama je. Baik kita undi calon bebas. Takde masalah semua ni.”
Lantas, pantas Munirah menjawab “Awak tahu ke takde calon bebas dalam pilihanraya kampus? Semuanya sama ada dari ProA atau ProM?”
“Jadi apa gunanya calon bebas?”
“Awak masih tak tahu politik kampus. Nanti cuba awak kaji lagi. Cuba awak cari, siapa sebenarnya Munirah.”
Begitulah kata Munirah pada petang itu di stadium. Dan saya berpegang kepada kata-katanya sehinggalah 2 tahun kemudiannya barulah saya mengenali Munirah yang sebenar.
Saya teringat lagi, ketika akhir semester itu, berlangsungnya pertandingan memanah antara UPM dan USIM. Saya antara yang mengambil bahagian, bersama pasangan saya, seorang gadis Cina yang kini sudah saya lupa namanya. Munirah merupakan pengurus kami. Ketenangan Munirah seringkali membantu saya bersama tenang dalam menghadapi detik-detik yang sukar.
Pada malam itu, saya menghantar sekeping mesej kepadanya, meminjam arm guardnya untuk pertandingan esoknya. Dan balas beliau “Kalau diizinkan Allah, saya ingat nak bawak besok.”
Ketika kami makan bersama ketika rehat tengahari, saya meluahkan perasaan tidak selesa saya. “Tak sukalah masuk pertandingan macam ni. Stress kena bersaing.”
Dan Munirah, tanpa berkelip mata menjawab “Cuba niatkan kerana Allah. Kalau niat kerana Allah, insyaAllah awak takkan rasa macam tu.”
Saya sedikit gumam, namun kata-katanya menjadikan semuanya lebih mudah hingga ke akhir pertandingan. Dan walaupun kalah, saya merupakan satu-satunya peserta yang berjaya menembak bull’s eye pada hari itu.
Dan kata-kata itulah, seperti kata-katanya yang menyuruh saya mencari siapa dirinya yang sebenar, begitu terkesan di dalam hati. Sehingga ke hari ini.
Dua tahun kemudiannya, ditakdirkan Allah, barulah saya mengenali siapa sebenarnya Munirah. Saya bertemu profilenya di facebook, akibat percakarannya dengan beberapa pelajar dan pensyarah tentang komennya yang negatif tentang fakultinya.
Dan bersama dengan pilihanraya kampus yang mendekati, Munirah turut sama agresif melaungkan perjuangan persatuannya di facebook. Barangkali yang paling mengejutkan saya ialah tindakan luar biasanya menukar profile picture ke gambar tengkorak. Dari situ, anggapan saya terhadap Munirah yang sebenar semakin berubah, namun bukan ke arah yang negatif. Saya melihatnya kini dalam warna yang berbeza, Munirah yang apabila dicabar perjuangannya begitu bangkit; lantang menentang.
Tetapi pada masa yang sama, saya tidak dapat berhenti berfikir bahawa ajakannya supaya berlapang dada sewaktu saya gusar beberapa tahun yang lalu, tidak kena dengan pendiriannya ketika berjuang. Dalam mengapikan semangatnya, yang tidak sealiran dengan persatuannya dianggap musuh. Yang menentang mereka bererti menentang kebangkitan agama. Dan itu pada satu tahap menyedihkan saya.
Dan beberapa tahun kemudiannya, ketika di tahun akhir pengajian. Saya mendengar bahawa Munirah antara pelajar tercorot di fakultinya.
Itulah berita terakhir yang saya dengar tentangnya. Tentang Munirah, rakan saya.
7 Habits of Highly Effective People
4 days ago
nak tahu lebih lanjut.. best entry ni...
ReplyDeletemcm dah takde lanjutan. ni je cerita yg ada tentang Munirah :)
Delete