10 July 2013

KLAUSTRO-TAFO-FOBIA

Mereka kata yang pergi tidak akan kembali. Mereka kata 7 langkah manusia meninggalkan kuburan, Munkar Nakir dengan cemeti berbisa bakal datang, dan bertanya persoalan demi persoalan tentang keimanan dengan suara bak guruh kepada si mati.

Yang gagal menjawab bakal dilibas tanpa ihsan. Setiap satu libasan, tulang-tulang rusuk bersilang, jenazah kau mendalam ke perut bumi. Lalu diangkat kembali jenazah kau, dan diulang soalan dan seksaan yang sama. Tiada henti.

Mereka kata yang meninggalkan solat sewaktu hidupnya, bakal disinggahi ular sebesar 2 pemeluk, lalu bergelumang; dibelit dan diratah; menjadi makanan ular itu sehingga hari kiamat.

Aku masih menanti Munkar Nakir. Malah aku sebenarnya menanti ajalku sendiri. Jika aku khabarkan pada kalian; bahawasanya aku sedang 6 kaki di bawah bumi dan masih bernafas, mahukah kalian percaya?
Ah, seperti manusia lainnya, aku punya cerita. Aku punya tinta. Aku punya suara. Dan seperti manusia yang lainnya, aku tidak pernah bermimpi bahawa ceritaku bakal berakhir dengan tragis. Aku malah tidak percaya akan peri malangnya nasibku.

Dan kini; aku masih 6 kaki di bawah bumi. Gelap gelita semuanya. Jika aku mampu menangis, sumpah aku mahu menangis. Aku ketakutan. Aku merasa kelemasan. Oksigen semakin tipis di sini. Dan kepanasan. Kain kapan yang membalut ketat tubuhku, walau sudah dibuka pengikatnya terasa begitu mencengkam.

Di hadapan mukaku, walau tidak dapat kulihat adalah papan lahad yang diletak perlahan-lahan oleh manusia terakhir yang menemaniku di liang lahad tadi. Manusia terakhir yang aku jerit-jeritkan, minta pertolongan di dalam hati supaya jangan meninggalkan aku di dalam pusara ini. Manusia terakhir yang mampu menyelamatkan aku dari kecelakaan ini.

Sumpah aku takut. Aku mahu meronta, tapi tubuhku tidak terdaya. Celaka! Celaka! Begitu sumpahku dalam hati. Aku masih sedar, masih mampu berfikir. Itu menjadikanku masih mempunyai ketakutan. Aku fobia kesempitan ruang. Aku klaustrofobia.Aku juga takut ditanam hidup-hidup.

Aku tafofobia. Dan untuk manusia sepertiku, liang lahad yang sempit dan gelap adalah tempat terdahsyat untuk kami. Dan tahukah kalian, mati itu seribu kali lebih indah daripada dikurung di tempat sempit sebegini? Aku cuba menggerakkan tanganku, tapi gagal. Celaka apakah?

Seperti mana-mana kisah yang berakhir, atau untuk aku, yang bakal berakhir, semuanya ada titik bermula.
Isteriku yang budiman baru sahaja membunuhku. Ya, dia berbisik ke telingaku ketika memandikan ‘jenazahku’, baru beberapa jam yang lalu.

“Abang, saya rasa abang sepatutnya sudah lama tahu. Saya tidak pernah cintakan abang.” Perlahan-lahan dia bersuara dengan tenang. “ Saya pun nak abang tahu sesuatu. Saya sebenarnya adik Naziman.” Berderau darahku ketika mendengar. Naziman anak haram!

“Saya tahu abang mendengar. Saya tahu abang masih bernyawa. Saya tahu kerana saya tahu jenis racun apa yang abang sudah telan.” Isteriku yang budiman berbisik ketika membasuh-basuh rambutku. Kelembutan tangannya begitu terasa. Dan dua perasaan yang saling berlawanan muncul dalam sanubariku. Aku merasa sedikit selesa; dan gementar.

Tetapi lebih kuat daripada dua perasaan itu, barangkali ialah perasaan marah.
Ketika ini berlaku, bayangkan malam-malamnya kau terjaga dari tidur tetapi tubuh badan tidak mampu bergerak, walau seinci. Walau setengah inci. Kau melihat alam, kau melihat segala-galanya; tetapi kau tiada daya untuk beranjak.

Dan bayangkan perasaannya bila kau terjaga dan terasa seperti tubuh dihempap. Kau cuba melawan tindihan, meronta-ronta; cuba menjerit sekuatnya. Tetapi tidak langsung terkeluar suara. Itu, itulah perasaannya yang aku rasai ketika isteriku berbisik pengakuannya. Hatiku dengan penuh amarah memaksa tanganku naik untuk menampar isteriku seperti yang biasa aku perlakukan.

Tetapi persetan! Kali ini aku langsung tidak mampu mengawal anggota tubuhku. Semuanya ingkar. Menjerit apatah lagi.

“Abang dengarkan cerita saya. Biarlah abang tahu semuanya sebelum ditanam hidup-hidup.” Aku terasa menggeletar mendengar ayat itu sampai di hujung telingaku.

Saya punya keluarga yang bahagia. Ketika abang mencelakakan hidup abang Naziman, keluarga kami sempurna, kaya raya. Kami dua beradik dengan ibu dan ayah; rumah banglo di tengah kampung. Semuanya jasa abang Naziman. Dia kerja keras; menggembleng tenaga, mengerah tulang empat kerat siang dan malam untuk memberi kemewahan kepada kami. Saya masih di sekolah menengah ketika pada suatu hari abang Naziman pulang ke rumah dengan pakaian yang kusam.

Seminggu dibuang kerja. Katanya seorang juruaudit muda menuduhnya menyelewengkan duit syarikat. Kami terkejut besar.

“Penipu Naziman! Dasar manusia sial pemakan duit haram!” – protesku dalam hati. Aku hanya berusia 23 tahun ketika diambil bekerja di Bank Binari selepas tamat pengajian di Australia. Aku seorang juruaudit, lepasan graduan perakaunan. Naziman, 10 tahun lebih tua daripadaku. Pengarah urusan cawangan Bank Binari. Beberapa bulan sahaja mengaudit akaun Bank Binari, aku sudah dapat menghidu aliran kewangan yang aneh yang setiap daripadanya menuding ke arah Naziman.

Atas dasar integriti, aku membogelkan kegiatan Naziman yang memberikan pinjaman tanpa syarat kepada beberapa penghutang prolifik sehingga mengakibatkan kerugian berjuta ringgit kepada pihak bank. Di hadapan lembaga pengarah, aku dengan tenang berdiri, dan menghuraikan fakta kes beserta bukti bernombor daripada akaun-akaun yang kuaudit.

Aku menyebut jumlah-jumlah hutang yang diluluskan oleh Naziman, beserta dengan kontrak yang ditandatanganinya bersama penghutang yang kelihatan tidak konsisten dengan polisi kontrak bank. Pinjaman yang dilakukan juga tidak mempunyai kaedah dan jumlah pembayaran balik yang jelas.

Naziman dipanggil masuk, tanpa berjaya mempertahankan dirinya, dia dipecat. Dengan cara yang paling hina. Aku dinaikkan pangkat, gajiku diganda dua. Aku tersenyum puas tatkala Naziman memandangku pahit ketika diusir keluar. Dengan wajahnya yang terpancar kebencian mutlak. Hakiki.

Aku bertemu isteriku, Nafisah beberapa bulan kemudian. Dia melanggar keretaku dari arah belakang dengan motosikal ketika aku keluar daripada parkir bank sewaktu habis bekerja.

“Setelah abang Naziman dipecat, hidup kami porak-peranda. Jiran-jiran, orang kampung mengetahui tentang kesnya dari akhbar. Kami sendiri tidak percaya sebegitu sekali abang Naziman difitnah.”

Rumah kami dibaling batu, sehingga tingkap pecah. Masjid memberi amaran melalui khutbah dan ceramah agama jangan berurusniaga dengan keluarga kami kerana duit kami dari sumber haram. Tok imam mengingatkan orang kampung bahawa duit yang tidak berkat bukan saja akan memberi bala kepada kami, tetapi kepada seluruh kampung. Bayangkan, ketika Mak ke pasar, dia dihalau oleh peniaga. Seorang mak cik yang sejak kecil mengenali Mak mengugut akan menetak Mak dengan parang kalau Mak mahu membeli di kedainya.

Rumah banglo kami yang sebelumnya permai menjadi tidak aman. Rumah kami selalu dipecah masuk. Di sekolah, saya diejek. Dihina. Darah daging saya dari duit haram, kata mereka. Hanya kerana fitnah seorang lelaki keji.

Abang Naziman tidak sanggup tinggal di rumah kerana risau akan keselamatan dirinya. Sehinggalah suatu hari Ayah jatuh dari motor ketika dikejar sekumpulan lelaki muda kampung. Akibat terlalu terkejut, Ayah terkena serangan jantung dan mati serta-merta.

Setelah kematian Ayah, Mak pula menjadi tertekan. Selang sebulan, Mak membunuh diri dengan memakan racun serangga. Saya melarikan diri ke Kuala Lumpur, tanpa sempat menghabiskan persekolahan. Saya bertemu abang Naziman yang bekerja menjadi tukang cuci di pasaraya setelah difitnah menyeleweng duit. Kami dua beradik berpelukan; menangisi nasib kami yang malang. Semua kerana abang.”
Kata Nafisah, ketika ini sambil membasuh kakiku. Suaranya sungguh tenang, bagaikan keperitan yang diceritakannya tidak berbekas dalam sangkar hatinya.

“Kami berdua merencana pembalasan dendam kepada abang. Berminggu-minggu saya mengintip pergerakan abang, mencari detik yang sesuai untuk menghampiri. Sehingga petang itu saya berjaya melanggar kereta abang.”

Setelah petang itu, kami berkenalan, dan akhirnya aku jatuh cinta. Ah bedebah. Jika aku tahu Nafisah itu adik Naziman, masakan aku akan jatuh hati! Sungguh Nafisah pandai berahsia. Katanya anak yatim piatu. Sebatang kara.

“Setelah kita berkahwin, ada masanya saya merasa bakal mencintai abang. Tetapi sikap abang yang panas baran dan cepat tangan membuatkan dendam saya selalu membara.”

Ya, sikap cepat tangan aku menyebabkan kami tidak pernah mesra. Malah kehilangan anak kami di dalam rahim Nafisah. Dan Nafisah tidak boleh mengandung lagi. Ini mungkin satu-satunya dosaku yang sebenar kepadanya yang menyumbang kebenciannya kepadaku. Dan mungkin, jika aku tidak mengasarinya, mungkin benar dia akan mencintai aku. Dan tidak akan menyeksaku begini.

“Selama 5 tahun kita berkahwin, semua harta kemewahan yang abang berikan kepada saya saya salurkan kepada abang Naziman. Sedikit demi sedikit, kami menjalankan perancangan untuk membunuh abang.”
Aku tersentak.

“Abang, kami sudah berpakat dengan Doktor Syahid. Ubat antidepressant yang abang telan semalam setelah menampar saya telah saya tukar dengan dadah tetrodotoxin dan tropane alkaloid. Tugas Doktor Syahid hari ini hanya untuk berpura-pura menyatakan bahawa abang telah mati kerana serangan jantung, dan dia akan meyediakan segala dokumennya untuk insurans. Terima kasih abang.”

“Mulanya saya rancang untuk membunuh abang terus. Tikam dengan pisau, racun tikus. Tetapi itu terlalu baik. Abang perlu merasai penderitaan yang abang beri kepada saya, abang Naziman dan keluarga saya.”
Abang tahu siapa yang menyediakan dadah itu untuk abang? Ya, tidak lain tidak bukan Doktor Syahid yang abang percayai dengan nyawa abang sendiri. Abang ingat abang pernah katakan padanya, abang fobia pada tempat sempit dan fobia ditanam hidup-hidup? Kami hanya menjalankan peranan kami, abang yang membocorkan rahsia abang sendiri.

Abang tahu apa kesannya tetrodotoxin? Ya, abang akan berada dalam keadaan separa mati, sedar tetapi tidak bernyawa. Tubuh abang sudah menderhaka, tetapi kepala abang masih bertenaga.

Celaka kau Nafisah! Lepaskan aku Nafisah! Kau isteri nusyuz! Tempat kau di neraka! - Aku masih menjerit sepi. Malam tadi, sewaktu kami bertengkar kerana aku enggan makan masakannya, aku menampar Nafisah sekuat hati. Lalu aku berlari ke bilik bacaanku, mengambil ubat antidepressant yang selalu ku telan setelah bertengkar dengan Nafisah.

Terus, kepalaku melayang. Sedikit demi sedikit, anggota badanku terkujur kaku. Mataku sedikit terbuka, hanya cukup untuk menyaksikan pembohongan yang berlaku di sekitarku. Aku cuba bergerak, tetapi langsung tidak berdaya. Ketika itu, aku sudah tiada indera masa. Alam kurasa berputar berjam-jam lamanya sebelum Nafisah masuk ke bilik bacaanku. Dengan diam, dia merasa nadiku di leher. Tangan. Kemudian dia menghubungi seseorang.

Doktor Syahid datang kemudiannya. Dia memeriksa nadi dan anak mataku. Lalu tersenyum. “Dia sudah pergi Nafisah. Dia sudah tiada untuk menyeksa kau.”

Nafisah gelak kecil. “Tapi dia masih melihat.” Kata Doktor Syahid. Aku kaget ketika itu. Aku tidak pasti apa yang mereka bualkan, tetapi aku tahu pergerakanku yang terhad dan perkataan-perkataan yang dituturkan Doktor Syahid membawa maksud yang malang.

“Biarkan dia melihat sayang. Aku ingin dia menyaksikan semuanya.” Kata Nafisah sambil merangkul leher Doktor Syahid. Lalu mencium pipinya. Nafisah merenung tajam ke mataku. “Mati kau lelaki jahanam!” Dengan tumit kasut tingginya, Nafisah menakik-nakik pipiku sehingga berdarah.

Celaka! Aku hanya mampu menyumpah. Namun aku sedar apa yang akan berlaku selepasnya bakal menjadi lebih dahsyat.

Nafisah menghubungi semua rakan-rakanku dengan tangisan yang dibuat-buat. Sambil mukanya mencemik memandangku sepanjang perbualan telefon itu berlangsung. Kadang-kadang lidahnya dijelir kepadaku.
Nafisah kemudiannya memandikan ‘jenazahku’ bersendirian.

Ketika itulah dia membocorkan satu demi satu rahsianya. Aku berdoa, menyumpah, merayu dan menangis silih berganti di dalam dadaku cuma. Aku berdoa diberikan semula kekuatan tubuhku, dan supaya tidak akan diperlakukan dengan lebih dahsyat, menyumpah dan merayu kepada Nafisah dalam diam, dan menangis mengenangkan ketakutan yang bakal kutempuhi.

“Ya, abang tahu apa yang ingin saya buat sekarang? Tanam abang hidup-hidup.”
Sungguh, tiada apa yang dapat menandingi kegentaran perasaannya bila merasa tubuh dikafankan, dijiruskan air mawar dan dititipkan kapur barus. Dan apabila aku disolatkan, sungguh aku merasa gentar sampai menusuk ke ulu hati. Apabila ‘jenazahku’ diusung ke kuburan di dalam keranda, cuma Tuhan yang dapat memahami perasaan itu. Dan bila saatnya aku diusung ke dalam liang lahad, ketika itulah kegentaran paling dahsyat pernah kualami.

Jika alam ini mampu mendengar jeritan batinku, nescaya akan bergegar seluruh pelusuk bumi. Akan bergoncang gunung ganang. Akan bergelora tujuh lautan. Waktu inilah aku terasa bagai hendak gila menjerit di dalam hati supaya diselamatkan. Dan bersumpah dengan namaku bahawa Nafisah tidak akan selamat di dunia dan akhirat kerana menkhianatiku. Sewaktu mereka menurunkanku ke dalam lahad, dapat kudengar esakan Nafisah yang sengaja dikuatkan.

Mereka membaringkan ku di dalam lahad, menghadapkan mukaku ke arah kiblat. Lelaki terakhir di dalam kubur membuka ikatan benang di tujuh sendi badanku, dan menutup tubuhku yang terkujur dengan papan lahad. Perlahan-lahan mereka mencampakkan tanah, sedikit demi sedikit. Perlahan-lahan juga cahaya yang kulihat beransur suram, dan suara-suara yang kudengari menjadi halus, sehingga akhirnya bunyi berdesing yang tajam menikam gegendang telingaku. Setiap kali dikambus tanah, setiap kali itulah aku melihat cebisan demi cebisan harapanku turut terkubur sekali.

Gelap. Gelap yang mencengkam akhirnya telah tiba. Aku telah ditanam hidup-hidup. Di dalam ruang yang sempit. Ajal bakal menjemputku. Munkar dan Nakir bakal datang. Persetan, aku malah belum sempat mendengar talkin yang dibacakan imam. Dan aku sempat berfikir, dalam 6 kaki di perut bumi, bolehkah lagi aku mendengar bacaan talkin?

Dan buat beberapa lama, aku diserang panik. Tapi sungguh aku tidak berdaya berbuat apa-apa.
Mataku masih melihat kegelapan, kulitku masih merasa kain kapan. Dan entah semena-mena, aku dapat merasakan kekuatan menjalar ke dalam badanku. Aku dapat merasa tenaga mengalir dalam darahku, menuju ke setiap otot dan tulang.

Kakiku menendang-nendang, tanganku menggelepar cuba membebaskan diri daripada belitan kafan. Aku menjerit sekuat hatiku walau terasa gelombang bunyi jeritanku diserap tanah. Dan ketika itulah papan lahad patah, lalu tanah setebal 6 kaki mula menujah turun. Terasa di mukaku serpihan kayu menoreh luka, meninggalkan selumbar ke dalam kulitku, dan butir-butir halus tanah menceroboh liang hidung, mulut lalu ke kerongkongku.

Ah sialan. Aku teringat kisah pembunuhan wanita di Amerika Syarikat yang dirogol dan ditanam hidup-hidup di gurun. Ketika mayatnya dijumpai, mereka menjumpai butiran pasir di dalam paru-parunya, tanda dia masih bernafas ketika dikebumikan. Dan aku memikirkan nasibku sendiri. Adakah ada orang yang akan menggali kuburku dan sekurang-kurangnya mengetahui bahawa aku sebenarnya dikebumikan hidup-hidup ? Mungkin sekali tidak. Dan aku teringat anak lelakiku yang mati di dalam rahim Nafisah. Dan Munkar Nakir. Dan ular sebesar 2 pemeluk. Mati, seribu kali lebih indah daripada terkurung di tempat sempit dan ditanam hidup-hidup.

No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter