04 February 2012

Broga dan Kita

 
“Nak panjat Broga!” kata Siti tiba-tiba dalam perjalanan pulang kami dari pasar malam ketika di simpang masuk UPM, ketika lampu merah.
“Eh, jomlah. Minggu ni nak?” Bro menyambut dari belakang.
“Boleh je. Kita naik tengok matahari terbit!” kata Hafifi.
“Siti memang nak panjat Broga!”
“Eh, kalau korang nak pergi, kena tunggu aku la. Aku tak larat nak panjat!” sambut saya.
“Kita pergi besok nak?”
“Hari Ahadlah!”
“Haah. Taknak besok! Tak sedia lagi mental fizikal!” kata saya lagi.
Maka dengan begitu saja lengkap sudah perancangan bercuti kami. Seperti biasa, random. Ilham yang datang tiba-tiba sewaktu di lampu merah. Dan terlampau selalu, ilham itu datangnya secara rawak. Tidak ada perancangan yang teliti, seperti biasanya.
Broga. Dua tahun yang lalu akan berbeza ertinya dengan tahun ini. Dua tahun lalu, ketika kita bersama memanjat dengan hubungan yang berantakan. Sewaktu kita sudah lupa apa ertinya persahabatan dan mimpi. Sewaktu kita ingin semula menjadi dua orang yang asing dan terpisah.
Dan ketika saya menemui seseorang yang mungkin akan menjadi seseorang yang istimewa. Seorang gadis yang comel. Kami bergambar di buaian Sheikh Muszaphar; senyuman dalam imej digital tidak mungkin pudar. Ketika kawan-kawan di sekitarnya melaung: “Kan kitorang dah cakap, kau jumpa jodoh dekat Broga!” Gurauan nakal mereka memanjangkan lagi senyuman kami berdua sewaktu punat kamera ditekan. Dan sehingga kini rasa kecewa masih menyepak-nyepak ulu hati kerana tidak pernah meminta akaun facebooknya.
 
PB050257
 
Pencapaian menaiki Broga pada dua tahun lalu bukanlah sesuatu yang suka saya banggakan. Memanjat Broga pada tahun itu seperti melampiaskan pelbagai perasaan yang tidak indah kepada setiap jejak langkah menaiki bukit. Setiap perasaan sakit dan benci kepada kehidupan sepanjang tahun akhir pengajian. Dan saya tidak berasa sedikit pun gembira setelah tiba ke puncak. Terlalu banyak kegagalan dalam hidup untuk ditimbangtara dengan kejayaan menawan Broga. Konklusi: menaiki Broga bukanlah kebanggaan buat saya.
Dan pada tahun ini, mungkin perasaannya akan berbeza. Mungkin saya akan menemui si gadis itu semula. Dan tahun ini, kita tidak lagi berantakan.
Kita sama-sama akan menaiki bukit yang sama. Bukit kita pada masa sekarang ialah projek Master. Bukit yang paling tinggi untuk didaki setakat hidup kita. Kita bersama akan menyarung jubah dua jalur dua tahun lagi. Broga dan masa depan kita yang gemilang itu masing-masing jaraknya dua tahun ke belakang dan ke depan.
Kita bersama akan menaiki pentas sekali lagi dengan senyuman paling manis. Kita akan mengharungi semua kepayahan bersama; dan akhirnya bergelar graduan Sarjana universiti tercinta. Kita akan berdiri di puncak seribu kali lebih tinggi dari Broga.
-------------------------------------------------------------------------
Lampu isyarat hijau: pantas Siti memecut. Di sebelah kami, MyVi yang badannya bercorak kerawang hitam seperti tangkai-tangkai bunga Gothic cuba memotong. “Siti, pecut lagi! Lumba!” kami bersorak. Dan tentunya 4 gadis di kereta sebelah merasa pelik melihat seorang wanita memandu 3 orang lelaki.
“Siti, laju lagi! Aku nak tengok nombor plat dia! Rasanya kereta ni familiar!” saya menggesa Siti.
Laju si Camry dipecut Siti. Nombor plat kereta MyVi perak kerawang hitam: M. “Yes. Betul! Selalu nampak kereta ni!” saya teruja.
“Alah, balak dia yang cat design tu!’ kata Bro.
“Aku suruh kau kejar dia sebab nampak ada budak perempuan dalam kereta tu pandang kita” sambung Bro.
“Sebab dia pelik la tu tengok perempuan yang drive kereta; yang penumpang semua laki!”
“Hahaha!” gelak Siti.
Senyum saja kami sewaktu sampai di pos jaga. Kawan-kawan, kalau seribu Bukit pun perlu didaki, semuanya mudah selagi kita bersama. Dan Broga yang akan dipanjat Ahad ini hanyalah satu daripada seribu bukit itu.

LiveJournal Tags:



























4 comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter