14 May 2010

Song: Kini dan Bukan Selamanya


Stop

Kita bertempur dan berhujah. Aku merasionalkan emosiku sedang kau menegakkan peganganmu. Kita menerokai lebih dari sempadan persahabatan dan batas perasaan. Kita bersengketa dan berdamai; berhujah dan bertenang; bersama dan berpisah. Dada kita digetarkan darah; marah, benci, dendam dan cemburu. Kita menodai norma, memautkan hati. 

Maka pada firasatku, dapatkah matamu menancap menembusi dadaku dan melihat segala isi hati dan emosiku? Mampukah kau menafsirkan kesedihan dan kesunyian diriku dalam bahasamu? Kita dari dua dunia berbeza; hanya bertemu pada persilangan dimensi ini. Ruang dan waktu ini hanya pertembungan dunia kita, bukan kekal. Hanya sedetik.

Pause

Masa kita adalah kini. Masaku adalah kini. Kita bukan budak yang bermain serangga di waktu pagi; kita bukan orang tua yang menangisi petang. Kita ialah kita kini. Mengapa perlu kau mengejar dewasa dan meninggalkan bahana percintaan kepadaku yang masih berdiam? 

Aku ingin kini; bukan segala mimpi yang kau asakkan bersama cita-cita, harapan, angan dan dongeng untuk masa yang kau tak pasti bila tibanya. Aku bersama realiti, hakikat, kesedaran dan mahuku kepada kelangsungan dan kejadian masa kini. Aku tidak berdiri untuk berkhayal bersamamu. Aku ingin kau menyedari bahawa masa kini kau ada aku. Masa kini kau memiliki aku. Masa kini kau bersama aku.

Play

Kembali. Mahukah kau menjalani setiap mimpiku dalam realiti? Ya, sedang kau makin menghilangkanku dari kotak ingatanmu, mimpiku makin berkisar tentang waktu dulu. Waktu aku belum merasai pahitnya kekecewaan dan kosongnya kerinduan. 

Dan setiap malamku tidak berlalu tanpa kau menemaniku, walau dengan memori yang wujud dalam mimpi. Sahabat, setiap detik yang berlalu mengingatkanku akan tibanya akhir jalinan hati. Kau akan menjadi seperti sahabat-sahabatku dulu; datang dan berlalu seperti angin, sedang aku akan menjadi seperti sahabat-sahabatmu; yang akhirnya cuma meninggalkan secebis kisah dan segaris parut pada jiwa dan kenangan. Maka dapatkah kau merumus apakah sebenarnya kesakitan yang aku rasai tentang kehilangan kau dan perginya kehadiran kau? Aku takut pada masa depan, sahabat. Waktu pandanganku tidak lagi menemui kau setiap hari; waktu setiap hari sedikit ingatanmu tentangku dikikis rakusnya masa.

Delete

Persengketaan kita perlu kita singkirkan. Masa kita bersama bukan lagi panjang seperti waktu kita mula bersua. Setiap hari kita lalui menyemai benih perpisahan dan membuka jendela masa depan. Walau kita berjalan mengundur, masa berlari ke hadapan. Dan walau aku ingin selalu denganmu, perpisahan bukanlah dalam genggamanku. Kembalilah sahabat. Aku tidak bisa berubah, maka kau bersamalah denganku sehingga masanya akan tiba bila kau mampu terbang meninggalkanku dengan mimpi yang kau bina sejak sebelum kita bersama. 

Dan aku tidak akan menangisi perpisahan itu nanti sahabat, sebab aku mengerti bahagia yang kau beri padaku sudah tamat waktunya. Aku akan bersendiri dan mengenangmu selamanya, sehingga tiba detikku pergi. Demimu sahabat, hatiku tidak berganjak dari mengingatmu. Kita ialah penagih cinta dalam meraih kemanisan bersama, kita telah bersama mengejar cita-cita dunia. Perkara betapa kecil bagi kau, memberi kebahagiaan kepadaku. Dan dinding ini hanya pemisah lahiriah aku kepada kau, tetapi hatiku tidak terbatas oleh sekadar timbunan bata dan jarak.

Replay

Sudah tiba masanya. Bukan lagi detik bila-bila. Kini adalah kini. Kau bersama aku, sedang aku bersama kau. Aku dan kau hanya bersama dalam masa dan ruang ini. Bukan dulu. Bukan kemudian hari. Kini adalah kini. Bersamalah denganku sebelum kau mengucapkan selamat tinggal padaku. 

Hiduplah dan kecapi masa kini sedang aku masih ada; jangan larut dalam impian. Kita sahabat, masa kini, bukan selamanya. Sebab aku sedar, janji kau padaku tidak kekal sampai bila-bila. Cukuplah masa kini kita berteman, sahabat; aku bahagia. Aku bahagia. 

End.

p/s: Hai....tengah tensen dapat pulak ilham nak menulis kan....
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter