Tahunnya 2018. Atau mungkin lebih awal dari itu.
Itulah kali terakhir, aku menerima SMS daripadamu. Aku tidak tahu apa yang berlaku dahulu, perbualan kita terhenti atau WhatsApp mengambilalih tali bebenang komunikasi.
Suatu masa dahulu, ada canda. Ada amarah. Ada bahagia. Ada rindu yang berselirat pada buih-buih mesej di skrin telefon. Tegar aku dengan Windows Phone, kental dengan relik sejarah.
Telefonku berhenti berfungsi tahun itu. Aku berfikir aku boleh melepaskan kapal kertas di arus sungai, akan kukejarnya di hadapan. Setelah kapal kertasku hanyut, aku lalu terlupa terus di mana. Bagai mana. Seperti apa.
Memori denganmu seperti itu. Sejarah kita yang disimpan sebuah peranti zaman purba, tidak lagi dapat dibuka. Sudah hanyut terus dari hulu. Kadang kurindu juga, membaca suaramu atas tulisan. 6 tahun kita tidak bersua, kukira kau suka dengan susunan ini.
Aku tidak pantas untukmu. Untuk mengemis sebuah pertemuan denganmu juga aku cukup malu. Cukuplah aku dihukum wajahmu yang kerap kali terlintas di mindaku, dan mengenang detik-detik dulu sudah cukup untuk melunaskan rindu.
Walau kita dapat bertemu empat mata, antara kita sudah kehabisan kata-kata. Apa yang aku mampu tanyakan padamu? Bahagiakah kau? Sihatkah? Apa yang boleh aku tawarkan kepadamu? Aku...tiada apa.
Dan akhirnya aku mengerti, mengapa aku menulis lagi tentangmu kali ini. Bahawa di hujung rasa ini, yang berubah adalah nada. Dulu aku menulis tentangmu dengan keghairahan penuh murka, dengan luahan rasa yang membuak-buak dalam dada. Suaraku penuh dendam, tulisanku tentangmu adalah percikan-percikan api yang tidak kenal erti tenteram.
Betapa kini yang sebenarnya aku rasa ketika mengingatimu, hanyalah ketenangan. Aku menerima keadaan kita pada hari ini, seadanya. Bahawa hidup kita ini dalam keterasingan, adalah suatu ketentuan jua. Bahawa aku tidak lagi merintih, dan kau tidak lagi perlu menoleh. Tamatnya pertemuan kita dahulu, mungkin juga untuk selamanya. Aku telah berdamai dengan itu.
Sekali lagi, kuucapkan salam damai kepadamu. Masa depan nanti, bila nadaku telah terubah lagi oleh waktu, akan kulawati lagi daerah silam kita, mengenangnya dalam rona-rona warna yang berbeza.
No comments:
Write curses