03 February 2016

Ketika Kami Bertemu Semula



Ketika kami bertemu semula, dada saya diasak seribu satu emosi keliru, dan dia masih juga kekal begitu. Dalam diamnya mulutnya masih sempat menguntum senyum.

Kenapa kita bertemu semula pada hakikatnya kita cukup maklum bahawa antara kita sudah ada jurang yang sedalam Mariana, sejauh Semenanjung dan Borneo – tidak ada lagi jambatan penghubung.

“Kau dah hilang sense of humour.” Katanya dari pemerhatian ikhlas.
“Dan kau dah hilang, baru kembali.” Saya menjawab.

Dia tergelak kecil.
“Aku follow blog kau. Tiada lagi yang buat aku ketawa. Semuanya luka.”
Saya sempat mengumpul tenaga membalas senyumnya. 

“Aku rasa masa berlaku kejam pada aku. Aku bukan lagi anak-anak yang boleh ketawa gembira tiap masa. Aku terlalu banyak derita.”

“Kau suka menghamba diri pada tragedi. Buka mata, lihat setiap segi. Ada gembira dalam dukacita, ada bahagia dalam sepi.”

“Kau berkata mudah, bila kau sendiri yang memilih untuk pergi. Kau yang bertemu sepi dalam gelandangan kita, kau yang memutus untuk terbang jauh ke dunia yang lain. Dan kau, yang memberi aku derita.”

Dia ketawa juga.
Saya ketawa juga.

“Berapa lama ego boleh membakar api benci?” Saya bertanya, kelat. Ketawa pudar ke senyuman sinis.

“Sejak aku memanggil kau ke sini. Aku berhajat untuk kita bertemu kembali. Dan aku padamkan egoku.”
“Untuk merumus 2 tahun kepada satu ayat, kau terlalu berani.”
“Kita pernah berani.”
“Kau dan kita. Aku tidak.”
“Maka berikan aku sejam lagi, sebelum tamat kau berpatah hati.”

Saya mengeluarkan jam dari poket.

“Ini waktu terakhir yang kau berikan dulu. Tolong, berikan kau yang di dalam memoriku maruah untuk kukenang.”

Saya meninggalkan dia di meja dengan jam dari poket.
Perpisahan kedua mungkin bermaksud selamanya.

No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter