26 October 2016

SINERGI


Pukul 4:30 pagi. Saya berbaring di atas katil, langsir terbuka menyerlahkan kegelapan dari ambien luar. Neon-neon cahaya jingga berkerdip dari jalan di bawah, seperti bintang yang terpasak di bumi. Jalan yang basah oleh hujan kelihatan berkaca, memantulkan semula cahaya dari lampu. Angin sejuk menerpa, membawa ketenangan di tengah kota.





Buku Sinergi karangan Hilal Asyraf dalam tangan. Nescafe susu di atas meja. 

Saya menyelak halaman demi halaman. Ada sesuatu tentang buku ini yang Izham ingin saya hadamkan. Sesuatu tentang persahabatan; tentang ukhuwah. Dari baris-baris ayatnya tersembunyi maksud sebenar Izham. 

Pada bab pertama saya mula tersenyum. Ada seorang watak yang namanya seakan nama saya. Badruddin – purnama agama. 

Izham barangkali menghadiahi saya bukunya atas faktor itu; dia teringat kepada saya daripada nama watak itu. Tetapi pada hemat saya, pasti ada suatu lagi faktor yang lebih utama dari itu yang difikirkannya saat dia mengirimkan buku ini kepada saya melalui pos.

4 tahun yang lalu, Izham ingin menemui saya, dia mengambil saya di kolej menaiki motor kapcainya. Bersemangat dia ingin membawa saya dari kolej ketika itu – saya sedang kemurungan.  

Pada malam itu, saya membantu Izham menyediakan makan malam di rumahnya di Putrajaya.
Izham, saya dan Rizal merupakan trio pertama blogger di kolej kami ketika itu. Izham mengasaskan kumpulan UPM Blogger di facebook, sebelum group itu menjadi lubuk spam oleh blogger narsisistik yang lebih mahu perhatian dan trafik ke blog mereka berbanding membina suatu kelompok bermatlamat sama yang supportif. 

Tidak putus asa dengan kegagalan UPM Blogger, Izham memfokuskan usahanya untuk membangunkan group Jom Tanam Sendiri. Kegigihan Izham pada akhirnya menjadikan Jom Tanam Sendiri sebuah komuniti online yang sangat kuat, kini dianggotai hampir 180,000 ahli, dan dijenamakan semula sebagai Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri. 

Rizal pula beralih arah dari bidang blogging dan mengasaskan podcastnya, Rambling Monkeys yang menampilkan pelbagai tokoh belia – daripada doktor, penulis novel, pengarah filem indie, eksekutif muda, fitness expert, sehinggalah personaliti media sosial. Kedua mereka berani menongkah arus, mengejar impian mereka sendiri dalam dunia yang selalu menghukum mereka yang enggan menurut norma. 

Sedang saya juga masih begini, takut keluar dari zon selesa, bersama senaskhah novel dalam tangan.

“Kau ada bakat menulis!” kata Izham kepada saya, seperti juga selalu-selalunya. Setiap kali saya menulis sesuatu di dalam blog, Izham setia memberikan komentar positif.

“You have something to offer.” Kata Izham, seperti juga Epy kemudiannya. “You have something in your voice that makes people love to listen to what you have to say.” kata Epy, sambil matanya merenung tajam ke dalam anak mata saya.

Tapi dalam genggaman saya juga, kosong.

Novel pertama saya, Dialog Orang Muda ditulis setelah rakan akrab saya mengumumkan pertunangannya. Rasa kecewa bergulir bersama cemburu, bahawasanya saya merasakan akan kehilangan sorang rakan baik kepada suatu lohong hitam bernama takdir. Tiada lagi malam-malam kami bertingkah, melawan masa yang melarut ke dinihari, berbicara tentang soal-soal hati, perihal dunia, dan juga akhirat. 

Dialog Orang Muda merakamkan segala perasaan saya – kesedihan, harapan dan memori yang hampir lenyap dilupus masa, yang saya ingin ingati sebolehnya, sehingga mati. Menggunakan persahabatan Rumi dan Syamsi Tabrizi sebagai parallel, saya mengisahkan persahabatan saya dan rakan saya dengan kebergantungan yang naif, dengan sebuah harapan bahawa esoknya akan sama dengan hari ini – bahawa tiada apa yang akan pernah berubah. 

Tapi kehidupan bukan selalu begitu. Change is the only thing constant in life. Seperti juga persahabatan Rumi dan Syamsi Tabrizi yang pengakhirannya yang tragis membawa kepada penulisan sebuah buku yang ditelaah sehingga kini, persahabatan saya dan sahabat saya itu juga melahirkan sebuah buku yang sarat dengan emosi setelah tamatnya kami bertualang.  

Dengan penuh keyakinan, saya menghantar manuskrip Dialog Orang Muda ke beberapa penerbit buku. Kesemuanya menolak mentah-mentah tulisan saya, ternyata mereka memandang saya sebelah mata.

Mungkin, saya tidak seberbakat seperti yang saya fikirkan – atau seperti yang Izham fikirkan. 

Di rumah Izham 4 tahun yang lalu, saya menghabiskan malam berbual dengannya. Lagu Yuna, Penakut bermain di komputernya berulang-ulang dari dalam bilik bacaan. Bicara kami menyentuh kepada perkara-perkara yang biasa, dan ada juga yang luar biasa, tapi lebih penting daripada apa yang kami bicarakan, ialah bahawasanya kami sendiri sedang berbicara. Saya perlukan Izham untuk bercerita kepadanya tentang sesuatu yang telah berlaku, sesuatu yang luar biasa yang telah berlaku kepada diri saya. 

Izham mendengar, tanpa sebarang judgment. Dia seperti dia yang biasa, sahabat yang boleh dipercayai jiwa dan raga. 


“Mungkin nasib tak menyebelahi aku…”


Nyanyi Yuna dari stereo komputer. Mungkin nasib tidak menyebelahi saya.

Izham punya, for lack of Malay term, conviction. Dia tahu apa yang dia inginkan dalam hidup, dia tidak punya ketakutan untuk mengejar cita-citanya.

Dan apa yang dia sebenarnya inginkan dalam hidup, ialah untuk menjadi penulis sepenuh masa. Buku pertamanya, Jimat Dari Dapur berada di pasaran lebih awal berbanding buku saya (yang tidak kunjung tiba). Saya mencemburui conviction Izham. Yang saya miliki hanya sebuah blog, dulu hingga kini. Saya mempunyai cita-cita, yang hanya tinggal mimpi ditimbun oleh rutin-rutin harian, pergi dan pulang dari kerja. Betapa aneh, bagaimana sebuah impian dibunuh oleh berlalunya masa. 

 “Nanti kau review buku ni” kata Izham kepada saya setelah saya memaklumkan kepadanya saya telah menerima bungkusannya. 

Dalam buku itu, pertama kalinya saya merasakan Izham meluahkan perasaannya melalui tulisan orang lain. 

Dan dalam buku itu juga, saya menemui persahabatan yang Izham selalu sebutkan. Persahabatan yang membawa ke syurga.

1 comment:
Write curses
  1. *senyum

    Syed, satu je aku cakap, terus menulis. Masa anda akan tiba. =)

    ReplyDelete

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter