09 November 2015

AKU BELUM MAHU MENJADI DEWASA

 

Aku belum berfikir tentang esok. Aku tidak punya perancangan masa depan.

Aku masih mahu peduli tentang hal-hal kecil kehidupan; mahu makan di mana, ke mana mahu dituju malam nanti, ke mana selepas itu, siapa lagi yang ikut, tentang masalah kau dan aku. 
Aku belum bersedia diasak tanya-tanya yang tiada jawapan; tentang jodoh dan perkahwinan, tentang kerjaya dan kewangan, tentang kereta dan perumahan. 

Aku peduli kepada waktu, tetapi aku belum mahu akur menurut.
Aku sedar kepada umur, tetapi bukan lagi usianya aku perlu bermenung-menung. 

Aku masih mahu menangis dan meratap pergi zaman kanak-kanak yang bahagia, masih mahu meggumpal awan di jemari luka, masih mahu terus hanyut membaca buku-buku pusaka. 

Aku mahu bertemu akhir garisan takdir, aku mahu merasa derita-derita yang mengguris pedih hati untuk memahami diri dan manusiawi, dan aku mahu merasa tingginya emosi bila aku merasa sunyi.

Aku belum mahu menjadi dewasa. Belum bersedia berfikir masalah negara, masih enggan merasa sesak jantung dalam dada, belum mahu menanggung hutang ke tua. 

Aku tidak mahu menempuh sesak jalan raya hari-hari, tidur risau meletak tangan di dahi, hidup diperhamba gaji, melalui hidup dengan depresi. 

Aku masih mahu rasa bebas berlari, menjadi anak kecil dalam duniaku sendiri. Aku mahu dibuai mimpi-mimpi dan dilayang fantasi, meneroka dunia dengan dayaku sendiri. Aku masih percaya kepada masa depan gemilang yang aku mahu tuju, aku yakin dengan putaran nasib dan waktu yang akan membawaku. 

Aku tidak pernah takut menjadi diriku. Aku tiada kesalan dalam hidup, hanya andai-andaian nakal yang membuatku tersipu.
Aku mahu terus dalam selesa. Dan aku; masih belum mahu menjadi dewasa.


Bedaduz,
Putrajaya.

No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter