09 October 2018

ANAK PUTIH ABU ABU

"Anak putih abu-abu anak zaman yang galau. Beremosi di jalanan resah di keramaian." - Anggun, Anak Putih Abu-abu

Aku terkenang pada semester kedua pengajian, hari kaumenemaniku ke Menara PNB, menantiku mengambil peperiksaan untuk melayakkanku mendapatkan biasiswa. Berjam-jam lamanya kaumenunggu dengan sabar di luar bilik peperiksaan, kau dengan rela ponteng kuliah demiku. 
Makan tengahari di KFC pada petang setelah tamat peperiksaanku di KL Sentral, menunggu komuter pulang ke universiti sebelum orang ramai pulang bekerja.

Sulit untuk aku mengungkapkan perasaanku ketika itu, memandang kau duduk di hadapanku dalam keramaian orang di dalam gerabak komuter, terfikir bahawa benar-benar ada seseorang sudi meluangkan masa demiku mengejar cita-citaku; ketika seterusnya juga. Aku terharu memiliki teman sepertimu, tetapi kalimah terima kasih angkuh untuk terbit dari bibirku. Kau juga begitu, apabila datang amarah sukar untuk kaumengungkapkan sebenarnya perasaanmu, hanya mengetap bibir daripada meluahkan kata-kata yang mungkin bakal menggigit sanubariku. 

Sewaktu kaki kita pantas mengayuh basikal ke kuliah melewati kolej-kolej, menuruni bukit dan membiarkan angin menampar-nampar wajah dan pakaian kita, sewaktu kita melihat mentari terbenam di rel keretapi di taman pertanian universiti pada petang-petang, atau pada malam-malamnya kita pulang dari kesibukan dunia, mencari titik-titik mana harus persilangan kehidupan kita bertemu. Buat ketika itu, bersamamu, kesunyian belum pernah wujud dalam kamus hatiku.

Dalam hitam putih kehidupan, kita temu sebuah wilayah abu-abu, sudut-sudut kita berani bermimpi, menongkah norma dan menyiat-nyiat perasaan yang kadang sukar dimengertikan menjadi perkataan. 

Tahun-tahun berlalu, dalam doaku selalu namamu lewat dalam bicara dengan Tuhanku dan dalam mimpiku kau datang bertandang, menemuiku. Dalam baris-baris doaku dan dalam celah-celah memoriku, aku mengagau tiap-tiap satu api impian yang pernah bertamu, lantas terus terpadam menjadi debu.

Tidak pernah terlewat untuk aku mengungkapkan terima kasih, tapi hanya setelah kau pergi, baru angkuhku tumbang untuk hatiku menanggap kalimatnya. Terima kasih, teman. Untuk sepuluh tahun yang lalu - kerana menemaniku selalu pada saatku perlu; dan untuk segala-galanya. Kini menempuh jalan hidupku sendiri, kerusi hadapan di gerabak keretapi diisi wajah yang tidak kukenali. Aku memandang mentari terbenam di hujung ufuk barat sewaktu aku memandu sendirian pulang dari kerja - tiada sesiapa di sisi. 

Jujur, aku rindu.
Anak putih abu-abu itulah kau dan aku.


1 comment:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter