26 April 2016

Magis



Aku bukan gusar menatap mentari pada pantulan cermin rekah,


Malahan jejari yang meruncing pantas,


menyentuh hening beku embunan di tingkap kaca


langsung tidak meresap kedinginannya ke pangkal hati.






Tahukah kau, di mana letaknya emosi


Jikalau yang kugarap dalam hujung asa, dibawa suram langit kesebelas pada bulan sabit merah di tingkat tinggi lapisan syurga


Menerawang dalam jalinan khusyuk, mata yang merenung tajam ke kolam suram rasa






Aku telah terpana, pada makna-makna hidup, erti menghayati, dan takdir menjalani


Jalan-jalan, liku-liku dan badai yang berlalu, berhembus kencang pada tegak diriku, mencabar tegap batang tubuh


Menyingkap lindap iri-iri pada wajah di muka pintu – senyuman yang laun menjadi racun.


Belum lagi aku mahu terkubur, belum pantas dibalut sengsara


Takkan tergugat oleh pencak ugut manusia.






Atas pentas, kau dan aku berdrama hebat, dari satu babak ke babak,


Bercakar, bertengkar, kelahi dan menyanyi


Menangis sedih, menagih perih


Puisi-puisi yang kita lagukan mengikut rentak pada lantai tari


Kau langsung menyentuh pipiku, lalu kita sama berteleku, mengalir air jernih


Dari pinggir mata, dan pinggir kehidupan yang membinasa






PESTA! Kemudian detak pecah bingitan menggegar


Layar dilayang sedang tabir dilungsur tutup


Manakah suara yang menikam kalbu selaju busur


Hilangkah cahaya – mata terkatup?






Dalam kamar kita mengalun derita-derita


Menjahit bayang-bayang di tembok kaca,


Ah bodoh kita, berperi-peri pada sketsa


Yang pada akhirnya kita juga yang berdosa.






Pulanglah, kemarilah kau.


Sejauh mana kau telah diuji,


Aku juga telah merasa peritnya dizalimi


Oleh takdir, oleh kisah luka


Dan cinta pertama.






Dalam kisah kita,


Yang aku tulis


Merentas masa


Kau satunya


Yang aku ada,


Sebuah magis.







No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter