04 December 2017

REVIEW BUDAK HOSTEL OTAKNYA SEWEL



Where to begin with this one?

Tanpa meletakkan sebarang expectation walaupun membaca reviu di twitter dan goodreads yang memuja-muja buku ini sehingga dijulang-julang ke aras yang tidak munasabah, saya membeli buku ini di Pesta Buku Negara pada 26 November yang lalu dengan harga diskaun RM10. Sekurang-kurangnya tidaklah rasa menyesal membeli jika bukunya tidak mencapai tahap memuaskan.

Dengan suspension of disbelief dan expectation sifar, saya memulakan pembacaan buku Budak Hostel Otaknya Sewel dengan bintang 4.1 di goodreads. Sebagai seorang budak hostel, saya tahu bagaimana gilanya kehidupan di asrama. Oleh itu, sedikit sebanyak saya yakin saya boleh memahami intisari novel karangan Hasrul Rizwan ini. 



Menyelak satu demi satu helaian, ternyata walaupun tanpa sebarang expectation, tiada halaman buku ini mengujakan saya ke tahap yang sama seperti reviu di twitter dan goodreads.

Tiada Stake

Kisah Akhil dan rakan-rakannya dalam buku ini berkisar kepada kehidupan pelajar di asrama yang nakal dan pelbagai ragam. Buku ini diterbitkan di wattpad bab demi bab terlebih dahulu dan berjaya meraih 150,000 views sebelum dijilidkan sebagai buku. Oleh itu, buku ini mengikut model ‘tunggu dan lihat’ yang memerhatikan sambutan pembaca dahulu sebelum diteruskan. 

Dengan model ini, penulisan sesebuah novel itu akan berlaku dengan garis masa yang statik mengikut kronologi bab. Ini bermaksud setelah terbitnya satu bab, ia tidak lagi dapat diedit sehinggalah ke pengakhiran buku. 

Kelemahan utama bagi buku model ‘tunggu dan lihat’ ini adalah sekiranya penulis mempunyai idea baru untuk dimasukkan ke dalam cerita, idea itu hanya dapat diselitkan pada bab-bab yang terakhir. Buku Budak Hostel Otaknya Sewel ini malangnya, termasuk dalam kategori itu. 

Kisah budak hostel sendiri mempunyai modal yang kaya, menarik dan pelbagai. Bagi seorang yang pernah tinggal di asrama, mengolah kisah sedemikian ke dalam bentuk buku adalah suatu perkara yang natural dan tidak perlu dibuat-buat. Walau bagaimanapun, untuk membawa naratif ke penghujung cerita semata-mata menceritakan tentang kenakalan pelajar asrama tanpa justifikasi plot yang munasabah, kisah itu akan hilang daya tarikan sedikit demi sedikit.

Novel BHOS juga mengingatkan saya kepada novel grafik Kartini yang pernah diterbitkan MOY Publication. Kartini juga menggunakan asrama sebagai latar tempat, dan idea pokok yang dibawa kartunis Tembakau juga jelas dengan plot yang dibina kemas tanpa perlu bergantung kepada jenaka asrama semata-mata. 

Kisah BHOS ini menceritakan kisah Akhil dan 4 rakannya bersubahat untuk memecah masuk asrama puteri untuk mencuri pakaian dalam pelajar wanita. Atas kertas, idea pokok ini mempunyai potensi besar untuk dijelmakan sebagai naskhah yang lucu. Sungguhpun demikian, helaian demi helaian, tiada justifikasi jelas kenapa plot perlu menuju ke arah itu. 

Mungkin di pertengahan cerita, penulis cuba meletakkan satu konflik untuk membuatkan pembaca bersetuju dengan tindakan mereka untuk memecah masuk asrama puteri, iaitu dengan cara mewujudkan cinta 3 segi antara Adam iaitu abang kembar Akhil dan pelajar wanita yang diminatinya, Zakiah Merican. Akhil ingin memecah masuk bilik Zakiah untuk mencari surat-surat yang dihantar oleh Adam. Begitupun sebab ini belum cukup kuat untuk memangkin plot. 

Oleh itu, dalam kisah BHOS, tidak ada stake yang jelas yang boleh membuatkan pembaca benar-benar peduli dan merasa gementar untuk watak-wataknya. Sepanjang pembacaan, saya lebih khuatir jika cerita ini tidak akan membawa apa-apa payback di hujung cerita berbanding kerisauan pada watak-watak utamanya. 

Plot twist lemah juga menyebabkan stake yang diberikan terus bertambah menjadi kurang signifikan. Zakiah Merican kononnya lari dari asrama bersama teman sekampungnya untuk berkahwin lari pada malam yang sama Akhil memecah masuk ke biliknya yang ditinggalkan kosong. Ini adalah poin di mana saya merasakan penulis novel ini tidak boleh berpatah balik kepada bab-bab yang awal untuk memperbetulkan dan memperkuatkan ceritanya, menggunakan bab-bab terakhir sebagai satu-satunya tempat untuk meleraikan plot tanpa terlebih dahulu dibina pada bab-bab terawal. 

Tragedi penulisan ini secara rasminya menjadikan naskhah BHOS ini paling tinggi hanya wajar diberi 2 daripada 5 bintang pada pandangan saya.

Kelucuan Spastik 

Kebanyakan review beranggapan bahawa jenaka pelajar asrama merupakan kekuatan utama naskhah BHOS. Begitupun, jenaka-jenaka lucah yang diulang-ulang dari mula sehingga ke akhir merupakan satu cabaran ketika saya cuba menyelesaikan pembacaan. 

Saya cuba membuka minda seluas mungkin untuk menghadam jenakanya, tetapi kegagalan untuk ketawa bukanlah terletak pada pembaca yang tertutup minda, sebaliknya pada kesalahan penulis yang mengulang jenaka yang sama sehingga kehabisan modal. Malah, sukar dicari jenaka di BHOS yang tidak melibatkan lawak yang kotor atau lucah. 

Ini menjadikan saya semakin gusar apabila kebanyakan review bercerita tentang jenaka BHOS yang menggeletek perasaan, sedangkan saya langsung tidak berasa demikian. 

Apakah justifikasi BHOS dijilidkan sebagai sebuah buku? Jawapan ini tidak terjawab selesai pembacaan saya.

No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter