02 May 2016

REVIEW ADA APA DENGAN CINTA 2

‘Rangga, apa yang kamu lakukan ke saya itu… jahat’ – Cinta



Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) 2016, sambungan daripada Ada Apa Dengan Cinta (AADC) 2002, mengungkap kembali perhubungan Cinta dan Rangga sejak pemergian Rangga ke New York yang berjanji akan kembali beberapa purnama kemudiannya ‘untuk mempertanyakan kembali cintanya’.

AADC2 merupakan naskhah lanjutan yang memberikan khalayak sebuah penamatan yang konkrit terhadap percintaan Cinta dan Rangga, lantas memberikan kata putus terhadap persoalan yang bermain dalam minda khalayak lewat tamatnya AADC 14 tahun yang lalu.

Pada kali ini, Nicholas Saputra dan Dian Sastro kembali sebagai Rangga dan Cinta.


Menonton AADC2 di wayang merupakan suatu pengalaman menarik, apabila panggung turut diisi oleh warga Indonesia yang memberikan komen-komen lucu sepanjang filem berlangsung.

“Jogjanya kecil!”, apabila rakan-rakan Cinta terlihat Rangga di Jogjakarta.

“Garuda!”, sewaktu Cinta dan rakan-rakannya menaiki kapal terbang.

Sebelum menonton AADC2, saya sempat meneliti komen-komen dan reviu di blog untuk mendapat sedikit idea tentang apa yang perlu dijangka daripada filem ini. Daripada komen-komen penonton, kebanyakan peminat asal AADC tidak begitu gembira dengan AADC2, manakala peminat yang tidak begitu menyukai AADC pula begitu berpuas hati dengan AADC2.

AADC dan AADC2 menampilkan 2 wajah berbeza sebuah francais yang sama. Filem AADC merupakan satu tapak kukuh yang mempersembahkan falsafah kehidupan dalam bentuk yang mentah, manakala filem AADC2 pula dibina di atas AADC sebagai sebuah ekstensi dan tidak begitu mencuba untuk menyambung naratif AADC dalam konteks persembahan idea.

Justeru, peminat yang menantikan babak-babak yang mendalam dan bermakna dalam filem AADC, seperti air mengalir bersama darah di dalam bilik mandi ketika watak Alya cuba membunuh diri, atau babak Cinta mempersembahkan sajak Rangga dalam bentuk lagu dan Rangga memerhatikan Cinta dengan penuh ketegangan, mungkin akan merasa sedkit kecewa.


Filem AADC2 sendiri secara tidak langsung, menariknya, merupakan sebuah pantulan tentang kematangan. Watak-watak dalam AADC yang gemar berpuisi sewaktu di sekolah, berperangai gila-gila, dan melibatkan kebanyakan masa mereka dalam lingkungan falsafah, kelab dan persahabatan, kini telah dewasa.


Watak Cinta dalam AADC2 langsung tidak mempunyai sebarang puisi, manakala Rangga yang kini memiliki sebuah kedai kopi dan enggan menjadi penulis di sebalik desakan rakan kongsinya, seolah-olah suatu cara halus untuk mengingatkan khalayak bahawa setelah tiba satu usia, puisi itu tidak boleh lagi menjadi sesuatu kebanggaan atau kebergantungan dalam hidup, sebaliknya sebuah hobi atau minat yang menjadi tempat hanya untuk melampiaskan perasaan.

Dalam AADC2, ruang-ruang kosong yang pernah diisi dengan puisi dan sastera dalam AADC, kini diganti dengan unsur-unsur humor. Apabila AADC2 menjadi terlalu serius, ketika itu juga suatu timbal balik dalam bentuk jenaka dizahirkan, lalu menjadikan AADC2 sebuah naskhah yang matang dan tidak begitu intense seperti AADC. Malah, AADC2 sendiri juga menjadikan seni sebagai suatu bahan jenaka, sewaktu Cinta dan rakan-rakannya melawat sebuah pameran seni di Jogjakarta. Rakan-rakan Cinta tidak dapat memahami seni installasi di pameran tersebut dan adegan tersebut ditampilkan dengan penuh aspek lelucon. Mungkin juga di situ AADC2 secara sengaja cuba menjadi parodi sendiri, ataupun meredakan ketegangan yang terbina daripada AADC.

Begitupun, inilah juga antara sebab peminat AADC yang rindu dengan konflik-konflik tegang seperti dalam AADC akan merasa kecewa.


Ada beberapa babak yang boleh dijadikan tear-jerking moments, terutamanya babak Rangga bertemu semula ibunya, tetapi AADC2 tidak menjadikan babak itu sebagai sebuah highlight, sebaliknya lebih kepada suatu konklusi kepada kisah hidup Rangga yang begitu misteri sewaktu diperkenalkan di AADC. Dengan pertemuan semula Rangga dan ibunya, satu aspek dalam kehidupan Rangga kini berjaya diberikan penamat yang gembira.

Kemaafan yang datang bersama kematangan juga merupakan satu aspek yang cuba diterokai dalam AADC2. Cinta dan Rangga bertemu semula untuk mereka menutup kembali kisah lama mereka secara baik, kerana Cinta perlukan penjelasan. Kemaafan dari Cinta untuk Rangga dan kesediannya untuk hidup bersama orang lain (suprise!) bermakna Cinta sudah memaafkan Rangga. Tidak seperti AADC ketika mereka masih remaja, kemarahan seringkali menekan ego mereka untuk mereka bermaafan dan berbaik yang menjadikan permasalahan mereka serius ke hujung cerita.

Dalam AADC2, setelah Cinta menampar Rangga dan berpaling pergi, dia berlari semula ke Rangga dan meminta maaf. Ini menunjukkan watak-watak AADC2 mula berfikir secara matang tentang perbuatan mereka yang boleh menyakitkan orang di sekitar mereka. Rangga juga sedia kembali ke Jogjakarta mencari ibunya sebagai sebuah tanda kesediannya untuk memaafkan ibunya yang meninggalkan dia dan ayahnya atas nama cinta.

Kematangan yang ditonjolkan watak-watak dalam AADC2 menjadikan filem ini sesuatu yang berpijak kepada realiti dan merupakan satu kesesuaian mengikut usia mereka, meskipun hal itu menjadikan konflik mereka segera tamat dan sukar untuk menjadi sebuah plot yang berterusan ke pengakhiran cerita.


Perbezaan ketara dalam AADC2 juga jelas dari segi sinematografi. Tidak seperti AADC dengan kamera yang statik untuk menangkap setiap nuansa dalam ruang yang sama yang memberikan impak ketegangan, pergerakan kamera dalam AADC2 lebih dinamik dan fleksibel, menyoroti setiap aksi dan ekspresi secara khusus yang menterjemahkan pergolakan perasaan dengan lebih halus.

Begitupun, kritikan utama bagi filem AADC2 tentulah dari aspek product placement dan iklan pelancongan Jogjakarta. Filem AADC2 seolah-olah sebuah iklan panjang yang memaksa penonton untuk turut serta dalam perjalanan Cinta dan Rangga melawat tempat-tempat pelancongan sekitar Jogjakarta daripada pagi hari ini ke subuh esoknya, sehingga menjadikan AADC yang merupakan sebuah filem coming-of-age, kepada sebuah filem road movie lewat installasi AADC2.


Begitupun, secara jujurnya, filem AADC2 merupakan sebuah filem yang berjaya dalam misinya yang realistik untuk memberi penutup yang sempurna kepada kisah Rangga dan Cinta, meskipun mungkin tidak begitu memorable seperti AADC. Filem AADC2 menurut sebuah arah yang baik dari segi ceritanya dengan tidak menampilkan pergolakan perasaan dan konflik kehidupan yang serius seperti AADC dan meninggalkan karya-karya sasteranya, sebaliknya jujur dengan keinginan mereka untuk menamatkan naratif AADC secara muktamad, yang merupakan satu kejayaan secara sendirinya.

Filem AADC2 berjaya menjawab segala persoalan yang bermain di minda khayalak tentang apa yang telah berlaku, bakal berlaku dan daripada penamat yang jitu, kemungkinan untuk adanya AADC3 adalah sangat tipis. Atau mungkin juga, kita perlu menunggu beberapa ratusan purnama lagi untuk AADC3?

No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter