13 July 2013

Apa yang Perlu Anda Tahu Jika Anda Pelajar Baharu UPM

Assalamualaikum dan selamat sejahtera peeps! Yes, I know, I know. Keputusan UPU dah keluar. Congratulations kepada adik-adik yang berjaya akhirnya masuk ke Universiti. Mesti rasa excited kan? Ramai tak yang dapat UPM? Excited? Banyak benda nak tahu? Jadi saya dedikasikan entry khas ini untuk adik-adik yang berjaya menempatkan diri ke UPM. Enjoice!

1- Kolej-kolej kediaman
Kalau adik-adik baru masuk, tahun pertama semuanya konfem dapat duduk kolej. Jangan risau ye. Tahun depannya baru kena saling bunuh membunuh nak duduk kolej. Dekat UPM ada 17 kolej. Ada 5 kategori kolej dekat sini: Kolej Engineering, Kolej Asasi, Kolej Medik, Kolej Serumpun, Kolej Tradisional.

Kolej engineering khas budak-budak engineering je, iaitu budak laki kolej 10, budak pompuan kolej 11. Kolej medik khas untuk student medic, nursing, veterinar dan yang sewaktu dengannya, kolej 17.

Kolej 17 ni kira kolej paling eksklusif la dekat UPM. Duduk dalam apartmen, bangunannya macam syurga cantiknya. Kolej asasi budak-budak Asasi Sains Pertanian, dekat kolej 13. Budak-budak course lain semua berterabur dekat kolej serumpun dan tradisional.Ye, budak-budak lain yang bernasib malang. Siapa suruh malas belajar dulu, kan dah tak dapat masuk engineering dengan medik. Duduklah kolej yang biasa-biasa je.

Kolej tradisional ialah: kolej pertama sampai 9. Kolej serumpun ialah kolej 12, 14, 15, 16. Kolej setinggan serumpun dipanggil serumpun sebab semua blok kolej-kolej ni berada dalam satu kawasan yang sama. Dan kolej paling ramai manusia dekat UPM.

Kalau masa adik second year dan gagal berbunuhan untuk tinggal di kolej tradisional, kolej serumpun bakal menerima adik dengan tangan terbuka. Oh ya, yuran pun beza-beza ikut kolej. (Yuran kolej serumpun mahal sikit dari kolej tradisional. Hewhewhew)

Adik jangan takut, duduk sebilik 2 orang je. Best kan? Ada jugak bilik sorang je. Duduk dorm tu untuk sekolah menengah je. Dekat U dah takde. Oh tapinya dekat kolej serumpun masih ada sebilik 4 orang. Yang tu, semoga berjaya. Kekeke.

Apa, nak tahu kemudahan yang ada? Loker ada. Meja study ada. Lampu study ada. Bantal bawak sendiri lah. Baldi pun sendirilah. Apa, ingat UPM sponsor ke benda-benda tu? Oh tapi tilam tak payah bawak takpe.

DSC_3862
Kolej serumpun (source)
2- Tempat-tempat hangout
Shopping mall paling mainstream dekat UPM ialah MINES, dan kini IOI City Mall dah pun dibuka. Kalau ada transport sendiri, boleh pergi Jusco Cheras Selatan dan Alamanda. Kalau waktu malam, untuk yang ada transport sendiri, bolehlah berkunjung ke bazar larut malam MINES dan downtown Cheras.

Kalau rasa free takde kelas dan nak jalan jauh sikit, naiklah komuter pergi Midvalley. 

Kalau rasa-rasa tak mampu lagi, almaklumlah first year selalu sengkek sikit, adik-adik bolehlah jalan kaki dan membeli belah di Sri Serdang. Kami tak ngumpat punya *roll eyes*.

3- Transport rasmi ialah bas
Kalau adik-adik baru nak masuk UPM, adik-adik kena tahulah yang transport utama di UPM ialah bas. Bukan jalan kaki, bukan basikal. Bas ya. Nak pergi kuliah, nak pergi keluar, nak pergi MINES, semuanya menaiki bas saja. Nak naik motor? Tunggu second year. Nak bawak kereta? Tunggu final year, atau jadilah MPP atau MTM. Pengangkutan awam pulak komuter.

Tapi kalau nak pergi komuter pun kena naik bas dulu. Lepas sampai komuter, barulah boleh tukar naik LRT line Sentul Timur dekat Bandar Tasik Selatan, atau LRT line Gombak dekat KL Sentral.

Adik-adik jangan confuse, Bandar Tasik Selatan dan Terminal Bersepadu Selatan (BTS dan TBS) adalah stesen yang sama. Sebelah-sebelah je. Nak pergi TBS kena turun dekat BTS.
Tapi ingat. Bas UPM ni sampai 11 malam je. Kalau nak pergi mana-mana lepas tu, jalan kaki jelah ye…

Perlu diingatkan jugak, sekarang sebab UPM hampir melengkapkan transformasi ke arah menjadi Kampus Hijau, ada setengah kolej dah takde perkhidmatan bas, dan kini kena naik bas......ikal.

4- Bagaimana ingin pulang ke kampung halaman
Kalau duduk Kelantan/Terengganu, naik komuter terus je sampai stesen Putra, lepas tu beli tiket bas dekat situ. Yang duduk Pahang, naik LRT line Sentul Timur dekat TBS, lepas tu turun dekat Titiwangsa. Stesen bas Pekeliling betul-betul seberang jalan.

Yang duduk Melaka/Johor, naik komuter turun TBS je. Dah sampai terus beli tiket.
Kalau duduk Negeri Sembilan lagi senang. Naik je komuter sampai Seremban. Dekat situ baru tukar naik bas.

Duduk Utara, naik keretapi senang. Naik komuter straight sampai KL Sentral. Dekat situ naik keretapi terus. Kalau nak naik bas pun senang. Beli tiket dekat Kajang Sentral.
Atau boleh naik LRT Sentul Timur ke Pudu. Dari Pudu/Puduraya/Pudusentral, boleh ambil bas ke Utara (credit to Amirul Asyraf Azizan Open-mouthed smile).

Yang duduk Sabah/Sarawak, naik komuter turun TBS, lepas tu tukar KLIA Transit. Terus je dia hantar pergi KLIA. Hujung sem pulak selalunya UPM hantar bas ke LCCT dan KLIA.

5- Makan-makan
Kepada adik-adik fresh graduan matrikulasi, jangan terkesima ya depan kaunter kalau kena caj sampai RM5 untuk sekali makan. Dekat sini dah tak macam hidup fairy tale dekat matrik tahu, makan RM2.50 je untuk lunch. Dekat sini standard la RM5, tu pun tak beli air lagi.

Kalau dengan air, dalam RM6++, kalau lunch nak minum cool blog pulak dekat sepuloh hengget adik spend. Adik sila jangan celupar komplen “Mahalnya mak cik makanan ni! Saya ambek lauk sejemput je!” sebab kebarangkalian adik akan dibebel dengan kisah hidup menyayat hati mak cik itu adalah sangat tinggi (Sewa mahal dik! Mak cik tak mampu nak bayar! Sayur sekarang pun dah mahal!)

Dekat UPM banyak café, tapi makanannya sama je. Lebih kurang. Nak tahu mana yang sedap nanti sendiri explorelah ya. Jangan lupa pergi cuba kedai makan dekat luar (untuk yang ada transport) seperti kedai Pak Ya dan padang.

 sam_4137_副本
Hanya RM 8.90. Ya, ini makanan sebenar di UPM (source)
6- Internet
Adik jangan risau, kemudahan internet berkelajuan tinggi ada di mana-mana saja di dalam UPM. Dalam waktu biasa, perkhidmatan ini dinamakan uSpot. Dalam waktu luar biasa pula, ia diberi nama uSipot.

Dengan uSpot, dalam bilik boleh online, dekat fudcourt boleh online, dalam dewan kuliah boleh online. Adik tidak perlukan broadband ketika di UPM.

Walaupun adik-adik tak perlukan lagi broadband, tapi demi meningkatkan lagi pengalaman internet adik-adik di kampus, adik-adik akan dibekalkan dengan broadband 4G YES seketul sorang. Yeay! #terimakasihUPM Sungguhpun begitu, 4G YES ni kadang-kadang boleh juga dipanggil 4G NO sebab kadang-kadang lembab juga takde internet. Hewhew
uspots
7- Kokurikulum yang menarik
Kalau adik-adik masuk UiTM, wajib amek sukan untuk koko. Kalau di UIA, kena amek keusahawanan. Tapi dekat UPM, adik-adik boleh pilih macam-macam jenis koko untuk bergraduasi. Ada elemen kebudayaan (caklempong, seni tari, vokal asas, kompang, mencanting batik), sukan (memanah, menunggang kuda, golf, memancing), social service (Bakti Siswa) dan jugak, kadet (SUKSIS – polis, PALAPES – askar).

Menarik tak? Rasa nak amek semua kan? Tapi nak grad kena amek 2 je. Tapi kalau masuk SUKSIS/PALAPES, tak payah amek koko yang lain. Sekarang ni, dah wajib ambil Bakti Siswa sebagai salah satu kredit untuk bergraduasi. Jadi adik-adik kena pilih satu lagi koko untuk cukupkan 2 kredit graduasi.

380_bi
U kau ada ajar main kuda? Hado? (source)
 
8- Tempat-tempat yang perlu dielakkan jika anda seorang penakut

Kubur Cina tepi fakulti bahasa, fakulti bahasa, kolam ikan, Bukit Ekspo. Jangan pulak gatal-gatal nak pergi melawat tempat ni konon-konon nak buat seekers pulak ya.

Sebab kalau adik hilang, kami jawab “ada aku kesah?” lepas tu sambung stalk profile crush dekat facebook guna uSpot.
DSC01692_thumb[1]
Baca captionnya aja dah cukup seram an? An?
9- Apa menariknya UPM?
Kebun/dusun buah-buahan. Time berbuah adik rasa macam tikus jatuh atas kebuk padi. Petik saja rambutan tepi jalan. Buah cempedak, dokong, pulasan, semuanya ada. (Durian susah sikit, tapi kalau adik ada bakat pecah rumah, boleh curi masuk dusun durian)

UPM jugak U terbesar di Malaysia, dengan ladang-ladangnya yang popular. U lain mana ada ladang dalam kampus. Adik tahu tak banyak filem, videoklip dan iklan-iklan di Malaysia yang dirakam di ladang UPM? Cerita Vikingdom KRU yang tak keluar dekat Malaysia, cerita Legenda Budak Setan, Puteri Gunung Ledang, dan macam-macam lagilah.

Cover album Siti Nurhaliza pun shoot dekat ladang UPM. Banyak sangat sampai tak tersebut. Sekarang ni pulak UPM dah ada Muzium Kesenian Melayu, yang mana adik-adik boleh tengok rumah-rumah tradisional Melayu yang sudah siap dibina semula dekat Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.  
 
Itu sajalah ye adik-adik. Kalau ada benda nak tanya, silalah tinggalkan di ruangan komen di bawah. InsyaAllah, ada masa abam boleh jawab. Kalau ada masa lebih abam buat entry baru. Hewhewhew.

Mengajar Tuisyen

Salam peeps. Do you know how it feels like to teach tuition?
Saya mula mengajar tusyen beberapa bulan lepas. Itupun sebab roommate pujuk. Katanya takde siapa boleh mengajar English dekat pusat tusyen tu. Nama pusat tusyen tu? Rahsia. Hehe.

Mengajar tusyen ni nak kata seronok, takdelah seronok. Lepas habis kerja dekat fakulti petang tu, malamnya kena berkejar ke pusat tusyen pulak. Penat lagi memenatkan. Lepas habis Maghrib je dah kena bergegas siap-siap nak mengajar. Nak kata bayaran lumayan, cuma dapat RM10 je sejam mengajar. Macam tak berbaloi kan?

Lagi satu, mengajar dengan belajar tak sama. Kalau kita belajar, masuk kelas, otak kosong pun takpe. Tapi kalau nak mengajar takkan otak kosong nak masuk kelas kan? Mahu tergagap-gagap nak bercakap dekat anak murid. Kurang-kurang kena jugak rancang sejam mengajar tu nak isi dengan pelajaran apa.

Saya mengajar subjek English untuk Form 3 sampai Form 5. Tapi kelasnya disatukan sebab studentnya sikit. Tak ramai. Students nya pulak, bertukar-tukar. Kelas tak pernah finalise. Minggu ni 8 orang, minggu depan keluar 3 orang jadi 5 orang. Minggu depannya keluar 2 masuk sorang.

Last-last kita main ajar ikut suka suki je tak boleh ikut silibus sangat. Sebab karang kalau ikut silibus, budak-budak yang baru masuk tak boleh follow punya. Lagi satu, silibus manalah sama Form 3, Form 4, Form 5. Tapi dah pusat tusyen kasik tanggungjawab tu, saya OK jelah.

Hari mengajar pulak hari Khamis, 9-10 malam. Sejam je seminggu. Sebab sejam saya dibayar RM10, maka sebulan dapat RM40 je. Haaa...nampak tak berbaloi, tapi pengalaman tu yang penting. Lagipun saya nak menimba pengalaman jadi cikgu ni.

Dulu masa lepas SPM pernah apply jadi cikgu, tapi tak lepas ujian INSAK (Inventori Sahsiah Keguruan). Saya ni tak berakhlak molek kot untuk seorang guru. Hahaha.

Murid-murid tusyen yang saya ajar semuanya India. Kadang-kadang geram sebab murid-murid ni sembang Bahasa Tamil, lepas tu gelak-gelak. Kita dok terkulat-kulat tak faham dia cakap apa. Tapi semuanya baik-baik, walaupun kuat bercakap. Kadang-kadang susah nak control, kadang-kadang degil. Paling susah bila kita nak suruh dia cakap English sekali dengan kita. Kadang-kadang dia tak tahu perkataan tu dalam English, dia tanya kawan dia dalam Bahasa Tamil.

Mengajar tusyen ni memang takdelah boleh buat income sangat. Setakat hobi suka-suka bolehlah. Walaupun kadang-kadang sebenarnya letih. Ramai jugak kawan-kawan Master yang sambil buat Master, sambil mengajar tusyen. Deorang ni ada yang sampai boleh dapat RM500 sebulan. Semua tu rezeki kan. Yang penting semuanya bahagia.

Bulan puasa pulak lagi kritikal. Hari Khamis hari tu first time saya mengajar masa bulan puasa. Berapa kali saya menguap masa mengajar sebab letih. Sebab tahu tak larat nak mengajar, awal-awal saya suruh deorang buat latihan je. Lepas habis buat latihan, kami bersembang pasal puasa dalam kepercayaan masing-masing. Yang Hindu, kenapa puasa. Yang Kristian, bila puasa.

Sekarang dah beberapa bulan mengajar, tapi saya kekok lagi. Macam tak berapa biasa nak mengajar bercakap dalam English 100%. Kekadang tergeliat lidah nak bercakap. Tapi dah murid-murid semua yang mintak ajar English 100%. Kalau ajar sekerat-sekerat agaknya susah dia nak tangkap kot.
Kalau sesiapa yang rasa terdetik nak mengajar tusyen ni, just go for it.

Takde rugi mencuba. Kalau suka boleh proceed, kalau tak suka berhenti sajor. Bukan tetap pun macam cikgu kerajaan kan.

That’s all for today peeps. Good night. Have a blessed Ramadhan!

12 July 2013

Munirah

Saya mengenali Munirah 4 tahun yang lalu, semester pertama 2008/2009. Kami dalam kelas memanah yang sama, di bawah bimbingan Cik Fairuz.

Kulit Munirah putih kemerahan, jika ditelek dekat dapat dilihat salur-salur kapilari darahnya di pipi. Matanya sepet. Tubuhnya tidak tinggi, agak rendah juga orangnya. Berkaca mata. Dan dia bertudung labuh.
Tetapi tidak. Bukanlah tudungnya yang saya perhatikan ketika mula berkenalan dengannya.

Malah saya tidak lalu mengambil berat luarannya ketika kami kali pertama bersua, dan juga sepanjang perkenalan kami.

Mungkin kerana ketika itu dia bersendirian, lalu pakaiannya tidaklah begitu menarik perhatian. Jika dia dalam satu kumpulan bertudung labuh, tentu sekali akan lebih menyerlah.

Oh mengapakah kini saya menulis tentangnya? Mungkin Allah mengilhamkam sesuatu kepada saya pada malam tanggal 3 Ramadhan ini. Mungkin Allah ingin saya berbicara tentangnya. Tatkala berpindah blok malam tadi, saya menemui keratan akhbar yang saya gunakan untuk mentelaah sukan memanah pada semester pertama dahulu.

Tanpa disedari, fikiran saya menerawang jauh ke suatu daerah memori lampau.
Munirah ketika itu sudah di semester kedua pengajian ijazahnya, kerana dia daripada Asasi Sains Pertanian 3 semester, berbanding saya daripada matrikulasi, 2 semester. Dia mengambil Bacelor Sains Makanan sebagai ijazahnya.

Kami tidak terlalu banyak berbual, namun dia tidak terlalu menahan dirinya daripada berbual dengan saya, sungguhpun dia dengan bertudung labuh kami masih boleh berbicara tentang banyak perkara. Tidak lama masa diambil untuk saya mengetahui dia sudah kematian ibunya, dan kini tinggal dengan ayahnya. Munirah, walaupun bukan seorang yang terlebih mesra, sebenarnya seorang yang peramah.

Ketika itu, merupakan zamannya politik kampus masih berapi, dan saya walaupun di semester pertama sudah merasai bahangnya. Tanpa disengaja, politik kampus menjadikan titik pertama saya mengenali siapa Munirah.

Saya yang masih naif, berbual dengan seorang lagi teman tentang suasana politik kampus. Ketika itu, di kolej 2 orang pelajar wanita bertudung labuh yang merupakan pelajar cemerlang UPM dibuang kolej, ura-ura kerana politik kampus. Ketika mendengar perkara ini tentu sekali saya tidak dapat menahan diri daripada mencari maknanya kejadian itu.

Dan komen saya yang menarik Munirah mendengar ialah “ProA dan ProM sama je. Baik kita undi calon bebas. Takde masalah semua ni.”

Lantas, pantas Munirah menjawab “Awak tahu ke takde calon bebas dalam pilihanraya kampus? Semuanya sama ada dari ProA atau ProM?”

“Jadi apa gunanya calon bebas?”

“Awak masih tak tahu politik kampus. Nanti cuba awak kaji lagi. Cuba awak cari, siapa sebenarnya Munirah.”

Begitulah kata Munirah pada petang itu di stadium. Dan saya berpegang kepada kata-katanya sehinggalah 2 tahun kemudiannya barulah saya mengenali Munirah yang sebenar.

Saya teringat lagi, ketika akhir semester itu, berlangsungnya pertandingan memanah antara UPM dan USIM. Saya antara yang mengambil bahagian, bersama pasangan saya, seorang gadis Cina yang kini sudah saya lupa namanya. Munirah merupakan pengurus kami. Ketenangan Munirah seringkali membantu saya bersama tenang dalam menghadapi detik-detik yang sukar.

Pada malam itu, saya menghantar sekeping mesej kepadanya, meminjam arm guardnya untuk pertandingan esoknya. Dan balas beliau “Kalau diizinkan Allah, saya ingat nak bawak besok.”

Ketika kami makan bersama ketika rehat tengahari, saya meluahkan perasaan tidak selesa saya. “Tak sukalah masuk pertandingan macam ni. Stress kena bersaing.”

Dan Munirah, tanpa berkelip mata menjawab “Cuba niatkan kerana Allah. Kalau niat kerana Allah, insyaAllah awak takkan rasa macam tu.”

Saya sedikit gumam, namun kata-katanya menjadikan semuanya lebih mudah hingga ke akhir pertandingan. Dan walaupun kalah, saya merupakan satu-satunya peserta yang berjaya menembak bull’s eye pada hari itu.
Dan kata-kata itulah, seperti kata-katanya yang menyuruh saya mencari siapa dirinya yang sebenar, begitu terkesan di dalam hati. Sehingga ke hari ini.

Dua tahun kemudiannya, ditakdirkan Allah, barulah saya mengenali siapa sebenarnya Munirah. Saya bertemu profilenya di facebook, akibat percakarannya dengan beberapa pelajar dan pensyarah tentang komennya yang negatif tentang fakultinya.

Dan bersama dengan pilihanraya kampus yang mendekati, Munirah turut sama agresif melaungkan perjuangan persatuannya di facebook. Barangkali yang paling mengejutkan saya ialah tindakan luar biasanya menukar profile picture ke gambar tengkorak. Dari situ, anggapan saya terhadap Munirah yang sebenar semakin berubah, namun bukan ke arah yang negatif. Saya melihatnya kini dalam warna yang berbeza, Munirah yang apabila dicabar perjuangannya begitu bangkit; lantang menentang.

Tetapi pada masa yang sama, saya tidak dapat berhenti berfikir bahawa ajakannya supaya berlapang dada sewaktu saya gusar beberapa tahun yang lalu, tidak kena dengan pendiriannya ketika berjuang. Dalam mengapikan semangatnya, yang tidak sealiran dengan persatuannya dianggap musuh. Yang menentang mereka bererti menentang kebangkitan agama. Dan itu pada satu tahap menyedihkan saya.

Dan beberapa tahun kemudiannya, ketika di tahun akhir pengajian. Saya mendengar bahawa Munirah antara pelajar tercorot di fakultinya.

Itulah berita terakhir yang saya dengar tentangnya. Tentang Munirah, rakan saya.

10 July 2013

KLAUSTRO-TAFO-FOBIA

Mereka kata yang pergi tidak akan kembali. Mereka kata 7 langkah manusia meninggalkan kuburan, Munkar Nakir dengan cemeti berbisa bakal datang, dan bertanya persoalan demi persoalan tentang keimanan dengan suara bak guruh kepada si mati.

Yang gagal menjawab bakal dilibas tanpa ihsan. Setiap satu libasan, tulang-tulang rusuk bersilang, jenazah kau mendalam ke perut bumi. Lalu diangkat kembali jenazah kau, dan diulang soalan dan seksaan yang sama. Tiada henti.

Mereka kata yang meninggalkan solat sewaktu hidupnya, bakal disinggahi ular sebesar 2 pemeluk, lalu bergelumang; dibelit dan diratah; menjadi makanan ular itu sehingga hari kiamat.

Aku masih menanti Munkar Nakir. Malah aku sebenarnya menanti ajalku sendiri. Jika aku khabarkan pada kalian; bahawasanya aku sedang 6 kaki di bawah bumi dan masih bernafas, mahukah kalian percaya?
Ah, seperti manusia lainnya, aku punya cerita. Aku punya tinta. Aku punya suara. Dan seperti manusia yang lainnya, aku tidak pernah bermimpi bahawa ceritaku bakal berakhir dengan tragis. Aku malah tidak percaya akan peri malangnya nasibku.

Dan kini; aku masih 6 kaki di bawah bumi. Gelap gelita semuanya. Jika aku mampu menangis, sumpah aku mahu menangis. Aku ketakutan. Aku merasa kelemasan. Oksigen semakin tipis di sini. Dan kepanasan. Kain kapan yang membalut ketat tubuhku, walau sudah dibuka pengikatnya terasa begitu mencengkam.

Di hadapan mukaku, walau tidak dapat kulihat adalah papan lahad yang diletak perlahan-lahan oleh manusia terakhir yang menemaniku di liang lahad tadi. Manusia terakhir yang aku jerit-jeritkan, minta pertolongan di dalam hati supaya jangan meninggalkan aku di dalam pusara ini. Manusia terakhir yang mampu menyelamatkan aku dari kecelakaan ini.

Sumpah aku takut. Aku mahu meronta, tapi tubuhku tidak terdaya. Celaka! Celaka! Begitu sumpahku dalam hati. Aku masih sedar, masih mampu berfikir. Itu menjadikanku masih mempunyai ketakutan. Aku fobia kesempitan ruang. Aku klaustrofobia.Aku juga takut ditanam hidup-hidup.

Aku tafofobia. Dan untuk manusia sepertiku, liang lahad yang sempit dan gelap adalah tempat terdahsyat untuk kami. Dan tahukah kalian, mati itu seribu kali lebih indah daripada dikurung di tempat sempit sebegini? Aku cuba menggerakkan tanganku, tapi gagal. Celaka apakah?

Seperti mana-mana kisah yang berakhir, atau untuk aku, yang bakal berakhir, semuanya ada titik bermula.
Isteriku yang budiman baru sahaja membunuhku. Ya, dia berbisik ke telingaku ketika memandikan ‘jenazahku’, baru beberapa jam yang lalu.

“Abang, saya rasa abang sepatutnya sudah lama tahu. Saya tidak pernah cintakan abang.” Perlahan-lahan dia bersuara dengan tenang. “ Saya pun nak abang tahu sesuatu. Saya sebenarnya adik Naziman.” Berderau darahku ketika mendengar. Naziman anak haram!

“Saya tahu abang mendengar. Saya tahu abang masih bernyawa. Saya tahu kerana saya tahu jenis racun apa yang abang sudah telan.” Isteriku yang budiman berbisik ketika membasuh-basuh rambutku. Kelembutan tangannya begitu terasa. Dan dua perasaan yang saling berlawanan muncul dalam sanubariku. Aku merasa sedikit selesa; dan gementar.

Tetapi lebih kuat daripada dua perasaan itu, barangkali ialah perasaan marah.
Ketika ini berlaku, bayangkan malam-malamnya kau terjaga dari tidur tetapi tubuh badan tidak mampu bergerak, walau seinci. Walau setengah inci. Kau melihat alam, kau melihat segala-galanya; tetapi kau tiada daya untuk beranjak.

Dan bayangkan perasaannya bila kau terjaga dan terasa seperti tubuh dihempap. Kau cuba melawan tindihan, meronta-ronta; cuba menjerit sekuatnya. Tetapi tidak langsung terkeluar suara. Itu, itulah perasaannya yang aku rasai ketika isteriku berbisik pengakuannya. Hatiku dengan penuh amarah memaksa tanganku naik untuk menampar isteriku seperti yang biasa aku perlakukan.

Tetapi persetan! Kali ini aku langsung tidak mampu mengawal anggota tubuhku. Semuanya ingkar. Menjerit apatah lagi.

“Abang dengarkan cerita saya. Biarlah abang tahu semuanya sebelum ditanam hidup-hidup.” Aku terasa menggeletar mendengar ayat itu sampai di hujung telingaku.

Saya punya keluarga yang bahagia. Ketika abang mencelakakan hidup abang Naziman, keluarga kami sempurna, kaya raya. Kami dua beradik dengan ibu dan ayah; rumah banglo di tengah kampung. Semuanya jasa abang Naziman. Dia kerja keras; menggembleng tenaga, mengerah tulang empat kerat siang dan malam untuk memberi kemewahan kepada kami. Saya masih di sekolah menengah ketika pada suatu hari abang Naziman pulang ke rumah dengan pakaian yang kusam.

Seminggu dibuang kerja. Katanya seorang juruaudit muda menuduhnya menyelewengkan duit syarikat. Kami terkejut besar.

“Penipu Naziman! Dasar manusia sial pemakan duit haram!” – protesku dalam hati. Aku hanya berusia 23 tahun ketika diambil bekerja di Bank Binari selepas tamat pengajian di Australia. Aku seorang juruaudit, lepasan graduan perakaunan. Naziman, 10 tahun lebih tua daripadaku. Pengarah urusan cawangan Bank Binari. Beberapa bulan sahaja mengaudit akaun Bank Binari, aku sudah dapat menghidu aliran kewangan yang aneh yang setiap daripadanya menuding ke arah Naziman.

Atas dasar integriti, aku membogelkan kegiatan Naziman yang memberikan pinjaman tanpa syarat kepada beberapa penghutang prolifik sehingga mengakibatkan kerugian berjuta ringgit kepada pihak bank. Di hadapan lembaga pengarah, aku dengan tenang berdiri, dan menghuraikan fakta kes beserta bukti bernombor daripada akaun-akaun yang kuaudit.

Aku menyebut jumlah-jumlah hutang yang diluluskan oleh Naziman, beserta dengan kontrak yang ditandatanganinya bersama penghutang yang kelihatan tidak konsisten dengan polisi kontrak bank. Pinjaman yang dilakukan juga tidak mempunyai kaedah dan jumlah pembayaran balik yang jelas.

Naziman dipanggil masuk, tanpa berjaya mempertahankan dirinya, dia dipecat. Dengan cara yang paling hina. Aku dinaikkan pangkat, gajiku diganda dua. Aku tersenyum puas tatkala Naziman memandangku pahit ketika diusir keluar. Dengan wajahnya yang terpancar kebencian mutlak. Hakiki.

Aku bertemu isteriku, Nafisah beberapa bulan kemudian. Dia melanggar keretaku dari arah belakang dengan motosikal ketika aku keluar daripada parkir bank sewaktu habis bekerja.

“Setelah abang Naziman dipecat, hidup kami porak-peranda. Jiran-jiran, orang kampung mengetahui tentang kesnya dari akhbar. Kami sendiri tidak percaya sebegitu sekali abang Naziman difitnah.”

Rumah kami dibaling batu, sehingga tingkap pecah. Masjid memberi amaran melalui khutbah dan ceramah agama jangan berurusniaga dengan keluarga kami kerana duit kami dari sumber haram. Tok imam mengingatkan orang kampung bahawa duit yang tidak berkat bukan saja akan memberi bala kepada kami, tetapi kepada seluruh kampung. Bayangkan, ketika Mak ke pasar, dia dihalau oleh peniaga. Seorang mak cik yang sejak kecil mengenali Mak mengugut akan menetak Mak dengan parang kalau Mak mahu membeli di kedainya.

Rumah banglo kami yang sebelumnya permai menjadi tidak aman. Rumah kami selalu dipecah masuk. Di sekolah, saya diejek. Dihina. Darah daging saya dari duit haram, kata mereka. Hanya kerana fitnah seorang lelaki keji.

Abang Naziman tidak sanggup tinggal di rumah kerana risau akan keselamatan dirinya. Sehinggalah suatu hari Ayah jatuh dari motor ketika dikejar sekumpulan lelaki muda kampung. Akibat terlalu terkejut, Ayah terkena serangan jantung dan mati serta-merta.

Setelah kematian Ayah, Mak pula menjadi tertekan. Selang sebulan, Mak membunuh diri dengan memakan racun serangga. Saya melarikan diri ke Kuala Lumpur, tanpa sempat menghabiskan persekolahan. Saya bertemu abang Naziman yang bekerja menjadi tukang cuci di pasaraya setelah difitnah menyeleweng duit. Kami dua beradik berpelukan; menangisi nasib kami yang malang. Semua kerana abang.”
Kata Nafisah, ketika ini sambil membasuh kakiku. Suaranya sungguh tenang, bagaikan keperitan yang diceritakannya tidak berbekas dalam sangkar hatinya.

“Kami berdua merencana pembalasan dendam kepada abang. Berminggu-minggu saya mengintip pergerakan abang, mencari detik yang sesuai untuk menghampiri. Sehingga petang itu saya berjaya melanggar kereta abang.”

Setelah petang itu, kami berkenalan, dan akhirnya aku jatuh cinta. Ah bedebah. Jika aku tahu Nafisah itu adik Naziman, masakan aku akan jatuh hati! Sungguh Nafisah pandai berahsia. Katanya anak yatim piatu. Sebatang kara.

“Setelah kita berkahwin, ada masanya saya merasa bakal mencintai abang. Tetapi sikap abang yang panas baran dan cepat tangan membuatkan dendam saya selalu membara.”

Ya, sikap cepat tangan aku menyebabkan kami tidak pernah mesra. Malah kehilangan anak kami di dalam rahim Nafisah. Dan Nafisah tidak boleh mengandung lagi. Ini mungkin satu-satunya dosaku yang sebenar kepadanya yang menyumbang kebenciannya kepadaku. Dan mungkin, jika aku tidak mengasarinya, mungkin benar dia akan mencintai aku. Dan tidak akan menyeksaku begini.

“Selama 5 tahun kita berkahwin, semua harta kemewahan yang abang berikan kepada saya saya salurkan kepada abang Naziman. Sedikit demi sedikit, kami menjalankan perancangan untuk membunuh abang.”
Aku tersentak.

“Abang, kami sudah berpakat dengan Doktor Syahid. Ubat antidepressant yang abang telan semalam setelah menampar saya telah saya tukar dengan dadah tetrodotoxin dan tropane alkaloid. Tugas Doktor Syahid hari ini hanya untuk berpura-pura menyatakan bahawa abang telah mati kerana serangan jantung, dan dia akan meyediakan segala dokumennya untuk insurans. Terima kasih abang.”

“Mulanya saya rancang untuk membunuh abang terus. Tikam dengan pisau, racun tikus. Tetapi itu terlalu baik. Abang perlu merasai penderitaan yang abang beri kepada saya, abang Naziman dan keluarga saya.”
Abang tahu siapa yang menyediakan dadah itu untuk abang? Ya, tidak lain tidak bukan Doktor Syahid yang abang percayai dengan nyawa abang sendiri. Abang ingat abang pernah katakan padanya, abang fobia pada tempat sempit dan fobia ditanam hidup-hidup? Kami hanya menjalankan peranan kami, abang yang membocorkan rahsia abang sendiri.

Abang tahu apa kesannya tetrodotoxin? Ya, abang akan berada dalam keadaan separa mati, sedar tetapi tidak bernyawa. Tubuh abang sudah menderhaka, tetapi kepala abang masih bertenaga.

Celaka kau Nafisah! Lepaskan aku Nafisah! Kau isteri nusyuz! Tempat kau di neraka! - Aku masih menjerit sepi. Malam tadi, sewaktu kami bertengkar kerana aku enggan makan masakannya, aku menampar Nafisah sekuat hati. Lalu aku berlari ke bilik bacaanku, mengambil ubat antidepressant yang selalu ku telan setelah bertengkar dengan Nafisah.

Terus, kepalaku melayang. Sedikit demi sedikit, anggota badanku terkujur kaku. Mataku sedikit terbuka, hanya cukup untuk menyaksikan pembohongan yang berlaku di sekitarku. Aku cuba bergerak, tetapi langsung tidak berdaya. Ketika itu, aku sudah tiada indera masa. Alam kurasa berputar berjam-jam lamanya sebelum Nafisah masuk ke bilik bacaanku. Dengan diam, dia merasa nadiku di leher. Tangan. Kemudian dia menghubungi seseorang.

Doktor Syahid datang kemudiannya. Dia memeriksa nadi dan anak mataku. Lalu tersenyum. “Dia sudah pergi Nafisah. Dia sudah tiada untuk menyeksa kau.”

Nafisah gelak kecil. “Tapi dia masih melihat.” Kata Doktor Syahid. Aku kaget ketika itu. Aku tidak pasti apa yang mereka bualkan, tetapi aku tahu pergerakanku yang terhad dan perkataan-perkataan yang dituturkan Doktor Syahid membawa maksud yang malang.

“Biarkan dia melihat sayang. Aku ingin dia menyaksikan semuanya.” Kata Nafisah sambil merangkul leher Doktor Syahid. Lalu mencium pipinya. Nafisah merenung tajam ke mataku. “Mati kau lelaki jahanam!” Dengan tumit kasut tingginya, Nafisah menakik-nakik pipiku sehingga berdarah.

Celaka! Aku hanya mampu menyumpah. Namun aku sedar apa yang akan berlaku selepasnya bakal menjadi lebih dahsyat.

Nafisah menghubungi semua rakan-rakanku dengan tangisan yang dibuat-buat. Sambil mukanya mencemik memandangku sepanjang perbualan telefon itu berlangsung. Kadang-kadang lidahnya dijelir kepadaku.
Nafisah kemudiannya memandikan ‘jenazahku’ bersendirian.

Ketika itulah dia membocorkan satu demi satu rahsianya. Aku berdoa, menyumpah, merayu dan menangis silih berganti di dalam dadaku cuma. Aku berdoa diberikan semula kekuatan tubuhku, dan supaya tidak akan diperlakukan dengan lebih dahsyat, menyumpah dan merayu kepada Nafisah dalam diam, dan menangis mengenangkan ketakutan yang bakal kutempuhi.

“Ya, abang tahu apa yang ingin saya buat sekarang? Tanam abang hidup-hidup.”
Sungguh, tiada apa yang dapat menandingi kegentaran perasaannya bila merasa tubuh dikafankan, dijiruskan air mawar dan dititipkan kapur barus. Dan apabila aku disolatkan, sungguh aku merasa gentar sampai menusuk ke ulu hati. Apabila ‘jenazahku’ diusung ke kuburan di dalam keranda, cuma Tuhan yang dapat memahami perasaan itu. Dan bila saatnya aku diusung ke dalam liang lahad, ketika itulah kegentaran paling dahsyat pernah kualami.

Jika alam ini mampu mendengar jeritan batinku, nescaya akan bergegar seluruh pelusuk bumi. Akan bergoncang gunung ganang. Akan bergelora tujuh lautan. Waktu inilah aku terasa bagai hendak gila menjerit di dalam hati supaya diselamatkan. Dan bersumpah dengan namaku bahawa Nafisah tidak akan selamat di dunia dan akhirat kerana menkhianatiku. Sewaktu mereka menurunkanku ke dalam lahad, dapat kudengar esakan Nafisah yang sengaja dikuatkan.

Mereka membaringkan ku di dalam lahad, menghadapkan mukaku ke arah kiblat. Lelaki terakhir di dalam kubur membuka ikatan benang di tujuh sendi badanku, dan menutup tubuhku yang terkujur dengan papan lahad. Perlahan-lahan mereka mencampakkan tanah, sedikit demi sedikit. Perlahan-lahan juga cahaya yang kulihat beransur suram, dan suara-suara yang kudengari menjadi halus, sehingga akhirnya bunyi berdesing yang tajam menikam gegendang telingaku. Setiap kali dikambus tanah, setiap kali itulah aku melihat cebisan demi cebisan harapanku turut terkubur sekali.

Gelap. Gelap yang mencengkam akhirnya telah tiba. Aku telah ditanam hidup-hidup. Di dalam ruang yang sempit. Ajal bakal menjemputku. Munkar dan Nakir bakal datang. Persetan, aku malah belum sempat mendengar talkin yang dibacakan imam. Dan aku sempat berfikir, dalam 6 kaki di perut bumi, bolehkah lagi aku mendengar bacaan talkin?

Dan buat beberapa lama, aku diserang panik. Tapi sungguh aku tidak berdaya berbuat apa-apa.
Mataku masih melihat kegelapan, kulitku masih merasa kain kapan. Dan entah semena-mena, aku dapat merasakan kekuatan menjalar ke dalam badanku. Aku dapat merasa tenaga mengalir dalam darahku, menuju ke setiap otot dan tulang.

Kakiku menendang-nendang, tanganku menggelepar cuba membebaskan diri daripada belitan kafan. Aku menjerit sekuat hatiku walau terasa gelombang bunyi jeritanku diserap tanah. Dan ketika itulah papan lahad patah, lalu tanah setebal 6 kaki mula menujah turun. Terasa di mukaku serpihan kayu menoreh luka, meninggalkan selumbar ke dalam kulitku, dan butir-butir halus tanah menceroboh liang hidung, mulut lalu ke kerongkongku.

Ah sialan. Aku teringat kisah pembunuhan wanita di Amerika Syarikat yang dirogol dan ditanam hidup-hidup di gurun. Ketika mayatnya dijumpai, mereka menjumpai butiran pasir di dalam paru-parunya, tanda dia masih bernafas ketika dikebumikan. Dan aku memikirkan nasibku sendiri. Adakah ada orang yang akan menggali kuburku dan sekurang-kurangnya mengetahui bahawa aku sebenarnya dikebumikan hidup-hidup ? Mungkin sekali tidak. Dan aku teringat anak lelakiku yang mati di dalam rahim Nafisah. Dan Munkar Nakir. Dan ular sebesar 2 pemeluk. Mati, seribu kali lebih indah daripada terkurung di tempat sempit dan ditanam hidup-hidup.
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter