Responsibility

2 comments
“One day you’ll stop dreaming and you will learn how to behave like an adult”
“Why are you so childish? You’re not a kid anymore!”
“Please be serious. You’re a man now”

We can crush from having tonnes of expectations inflicted on top of us from people surrounding. I used to believe that you can choose whatever paths you’d love in life, savouring the taste of freedom of choice.
But not anymore.

Somebody close to me condemns me for running away from responsibilities. In fact, it’s all I have ever done my whole life. Running away from where the circumstances are unfavourable.

I hate being hoped for, or being the hope. I don’t think I can perform under such pressure. I love to take shortcuts, cutting corners where things can be done differently. Where I don’t have to give up my freedom and take the responsibility.

It’s the character that was imprinted into my gene – I deducted. I’m not a born leader, I hate being the person to take charge of everything. The emotional effect is so draining and exhausting.

To some point, I decided to do something else in life. I am seriously considering being a novelist, a book writer, (if blog writing gives me the same amount of money, I’d be a full time blogger), any job that doesn’t require me to work with people, or worse yet, to lead people.

I’d rather follow than lead, just to run away from having to take responsibilities.

I loved to just lie down on my bed all day; reading books like I used to when I was a kid, dismissing the universe altogether and just have it my way. Whenever I have to take responsibilities, it is like having this stone to carry around my back that it drained all my innocence dry.

People asked me to be more serious about life; they thought I am too playful in handling my life. I don’t know how that is a problem, I don’t know whether it is better to be serious in life or just to take things lightly. After all, the world is just temporary.

I just want to be mindless about life; I just don’t think I can be the man people want me to be. I want to be the person I am destined to be, not bound by the norms and expectations that people put. It does not mean a bad thing; it just means that I am living my life as I want it to be lived. In that ways, is how I am responsible for my own life and decisions.

I hate being asked to do certain things in life. How people tell me how I should bring myself, how I should talk, how I should walk. If life can be lived a thousand ways, why should I bother living it your way?
Peace out, kind people. Ignorance is bliss.

image
Read More

6 Sebab Kenapa Saya Tak Baca Novel Cinta Melayu

226 comments
image
Tuhan tolong ~ ah never mind.

1- Nama watak yang tak logik

Ada satu trend dalam novel cinta Melayu yang sangat tak logik. Perasan tak macam mana nama-nama watak dalam novel cinta Melayu? Kalau perempuan rule-of-thumbnya kena nama banyak huruf A dan/atau S. Contohnya Shahfiza Hanisa, Qistina Amalia, Nora Elena, Izora Malisa. Tak logik kot orang Melayu nama fancy macam tu sekali! Kalau yang lelaki nama dah macam cyborg; Adam Mukhriz, Iqbal Hanif, Danial Rasydan, Azlan Hafizi.

Tak boleh ke bubuh nama yang common macam Izati ke, Laili ke, Salmah ke, Fatimah ke, Sarimah ke, Kuntum ke. Nak nampak moden sangat ke letak nama macam nama planet?
Yang laki tak boleh ke letak nama Daud ke, Shuib ke, Idris ke? Apa, kalau kau letak nama-nama common macam tu akan jadi tak hensem ke?

2- Jalan cerita yang berulang-ulang

“Anisa anak seorang gadis kampung yang patuh pada suruhan agama. Dia dijodohkan dengan Shariz Azfar, anak Tan Sri Habib tokay besar Syarikat Berlian Habib. Namun Anisa mempunyai pilihan hati sendiri iaitu teman sekampungnya, Ustaz Aliff Aziz. Sewaktu mula berkahwin, Shariz Azfar seorang yang pemabuk dan kaki perempuan dan suka memukul Anisa, tetapi Anisa berjaya mengubah hati suaminya. Ustaz Aliff Aziz pula tidak pernah berhenti percaya kekuatan cinta mereka bla bla bla...Datang pula bekas kekasih Shariz Azfar, Maria Sarahpoba wanita Kuala Lumpur yang free hair dan jahat cuba memenangi semula hati Shariz Azfar. Apakah yang akan terjadi? Jeng3...”

Jalan cerita novel Melayu dah dekat dua puluh tahun, tak pernah berubah. Kamon la, kenapa persekitarannya mesti ada Tan Sri, Datuk, businessmen? Kenapa mesti watak perempuan utama tu perfect serba-serbi, takde langsung kekurangan (kecuali kuat menangis). Kenapa mesti ada kahwin paksa? Dah takde idea sangat ke penulis-penulis novel ni?

Tengok cerita Ombak Rindu. Template yang exactly sama digunakan.

Aaron Aziz, lelaki kaya, terpaksa kahwin dengan perempuan-Melayu-terakhir Maya Karin yang perfect. Tapi Maya Karin diminati Bront Palarae, teman sekampungnya. Datang pulak Lisa Surihani, kekasih free hair yang jahat dan urban cuba memenangi hati Aaron Aziz.

*OK, I know I can’t remember the characters, didn’t even have time to Google. But you can see my point*
Dah abad 21 kot. Tahun 2012. Kenapa jalan cerita sama je?

3- Perwatakan yang sama

Sampai bila nak guna idea yang sama untuk watak-watak novel cinta? Kenapa takde penulis yang berani nak keluar dari kelainan?

Cuba buat watak seorang perempuan kampung tapi suka bersosial? Buat watak perempuan bandar free hair tapi rajin baca Quran?

Atau buat watak lelaki penghisap dadah tapi berjiwa mulia.

Kenapa asyik nak buat watak yang sama je? Kalau dia miskin, dia baik hati. kalau dia kaya dia keji. Atau paling berani pun penulis novel cinta ni cuma buat watak lelaki yang kononnya kuat agama (imam, bilal, ustaz), tapi suka main perempuan.

Kenapa takde watak yang lebih manusia? Takde watak yang berjiwa dalam, berfikiran hebat. Adakah sebab penulis tu sendiri tak berjiwa dalam, semata-mata hidup berpandukan cinta kepada lelaki (sebab penulis novel wanita.)

Dan kenapa watak lelaki kacak, perempuan cantik. Kenapa tak buat je watak lelaki gemuk, perempuan hodoh? Ataupun tak boleh ke tak mention yang watak-watak tu good looking? Cuba tulis biasa-biasa, tak payah nak tulis “Adam Mukhriz lelaki paling ganteng seantero nusantara, Haris berwajah putih dan kacak, Anisa wanita paling jelita di Tanah Melayu”

Tulis je “Hariz berkulit gelap, sawo matang. Mata juling.” Kerana apa penulis novel tak tulis macam ni? Haa, sebabnya buku cinta tu semuanya fantasi novelis yang tak kesampaian.

Konpemnya semua novelis tu imagine deorang lah watak utama banyak huruf A dalam novel yang deorang karang. Lepas tu deorang imagine yang deorang dapat kahwin dengan lelaki hensem (walaupun terpaksa tak kisah. Walaupun kuat minum arak tak kisah, aku boleh insafkan dia jadi lelaki baik. Yang penting laki aku hensem. Jahat ke tak belakang kira)

Oh lagi satu. Kalau watak perempuan kahwin dengan mat salleh, mesti macam ni “Thomas Alva Edison, lelaki Belanda fasih berbahasa Melayu yang mencari-cari Tuhan. Telah lama meninggalkan agama nenek moyangnya, sehingga dia bertemu Ilyana yang mengajarnya erti patuh kepada Tuhan yang Esa” not saying yang benda ni tak bagus, tapi why keep repeating the same character?

Kenapa mat salleh tu dah pandai cakap bahasa Melayu? Kenapa tak boleh cakap yang watak mat salleh tu tidak mencari-cari Tuhan? Kenapa nak mudahkan cerita yang mat salleh tu pandai cakap Melayu kononnya tengah mencari Tuhan kemudian watak utama @ perempuan perfect serba serbi tu conveniently guide dia dengan mudahnya?
Kenapa taknak buat conflict intrapersonal yang lebih dalam dekat situ? Sebab apa, sebab novelis cinta Melayu pemalas. Semuanya convenient, come in handy, tak payah berusaha. Watak ni jahat, lama-lama dia insaflah tengok bini perfect dia solat 5 waktu sehari.

Watak Datin ni keji, nanti dia insaflah bila tahu anak yang dia banggakan bukan anak kandung dia. Semuanya convenient, penulis novel tak payah explain. Benda jadi sekelip mata macam tu je.

4- Happy ending

Kalau dah katanya novel cinta, mesti happy ending. Last-last sekali yang penting watak perempuan utama yang namanya banyak huruf A dan/atau S akan menemui cinta sejati bersama jejaka kacak anak Tan Sri yang sudah bertaubat taknak minum arak dan main perempuan. *clap hands* . Watak yang paling kecewa ialah watak perempuan free hair yang jahat dan seksi *sesuai dilakonkan Faradhiya* yang terpaksa meninggalkan jejaka kacak anak Tan Sri, kekasih pertamanya. Oh dan juga, rakan sekampung perempuan huruf banyak A dan/atau S yang makan hati setelah kekasihnya menemui cinta sejati.

Tidak dilupakan, Tan Sri *Jalaluddin Hassan/Mustapha Kamal* sudahpun mati dan mewariskan perniagaan kepada jejaka kacak. Datin Seri *Azizah Mahzan/dan yang sewaktu dengannya* insaf dan melayan menantunya iaitu watak perempuan utama yang namanya banyak huruf A dan/atau S seperti anaknya sendiri. (Kalau Datin Seri belum insaf, akan ada sequel)

5- Tidak mencabar minda

Dalam novel cinta Melayu, langsung takde plot yang boleh membuatkan kita berfikir sejenak, atau membuatkan kita rasa pemikiran kita tercabar. Asek-asek sogok benda yang sama.
“Dalam hati Arisa, terasa bunga-bunga cinta untuk Daniel Hakim berkuntum. Lelaki kacak itu begitu pandai menawan hatinya.” Simple. Easy. Jatuh cinta macam tu je. Tak pernah deorang nak explore aspek yang lebih dalam dalam percintaan.
Cuba macam ni:

Untuk bulan-bulan pertama, kami memegang erat satu sama lain dengan perasaan putus asa yang dungu. Kerana walau apapun yang mereka katakan, tiada apa yang dapat menghalang kami berdua daripada bertemu. Dengan bayangan tragedi yang menghantui kami, kami menjadi kukuh; tidak mampu dipisahkan, dua bahagian yang membentuk kesempurnaan. Aku mangsa kepada heronya. Aku selalu dalam bahaya dan dia selalu menyelamatkan aku. Aku akan jatuh dan dia akan mengangkatku. Dan itu; sebanyak mana kami menjalinkan cinta ialah bagaimana kami mencintai satu sama lain; bersatu di mana kelemahanku memerlukan perlindungan.

Tengok? Jauh beza tak? Satu directly cakap “Mereka jatuh cinta” yang kedua cakap, “Mereka jatuh cinta, dan ini bagaimana mereka jatuh cinta...” Lebih mendalam. Lebih menerokai emosi manusia. Bukan menunjukkan manusia semata-mata jatuh cinta.

Fine, mungkin anda kata “Novel cinta kot! Kau nak baca novel thriller pergi baca novel Ramli Awang Murshid sana!”

Fine. Saya terima. Tapi kalau nak compare genre cinta sekarang dengan novel cinta zaman dulu, jauh berbeza. Dua-dua novel Melayu. Keterlaluan ke nak compare novel Melayu dulu dengan sekarang? Kalaupun wataknya hampir sama (perempuan miskin, lelaki kaya) tapi the way penulis dulu bawak cerita dia sangat menyakinkan dan menyayat hati. Setakat kau tunjuk watak tu kononnya menangis sebab suami dia curang, memang langsung bukan tandingan dengan novel cinta Melayu dulu. Kualiti OK, bukan kuantiti dia menangis tu jadi ukuran.

Cuba baca novel Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, tengok kau menangis tak. Cuba baca novel Azizah, tengok kau termenung tak. Novel cinta? Yes, dua-dua novel cinta. Tapi dua-dua kualiti lagi superb dari seribu novel cinta picisan Alaf 21. Ulasan je pun.

6- Tema yang membosankan

Tema semata-mata cinta dan pengorbanan (Redha itu ikhlas, pasghah itu menyeghah. Or whatsoever) Kenapa taknak buat tema lebih daripada cinta? Kenapa taknak include tema yang lebih mendalam?
Mungkinkah sebab penulis novel cinta ni dah tahu memang khalayak pembaca dia suka macam tu je, dia pun ulang-ulang benda yang sama.

Banyak lagi tema yang novelis cinta gagal nak explore. Dekat America, cinta bukan setakat antara manusia. Ada vampire, werewolves, cinta antara manusia dengan hantu. Dan kalau dah ada cinta, ada pulak novel romance (18SX).Fine, kalau kata deorang takde agama. Semua benda jadi mainan.

Tapi takkan kau takde effort at least untuk explore benda luar dari kelainan? Cuba buat kisah cinta seorang jejaka kaya dengan anak Orang Asli macam cerita Pocahontas. Kisah cinta dua robot macam Wall-E. Mampu kau? Review je pun.

Yang kau tahu, itu jelah. Laki hensem, perempuan miskin. Boring~
Read More

Konvokesyen

Leave a Comment
Setahun lalu. Saya masih tidak beranjak daripada tempat yang sama. Menginjak pada bumi yang sama. Bernafas pada udara yang sama.
   -- Puteri Gunung Ledang, 2004.


banner

Masih lagi di sini, dalam pencarian ilmu yang tiada henti. Oh kalau ingin diceritakan sepanjang-panjang setahun yang berlalu ini, begitu banyak yang telah terjadi. Setahun terlalu panjang untuk mengubah manusia. Tapi itu bukan sebabnya saya menulis semula.

Setahun berlalu dan masa untuk konvokesyen datang semula. Gambar-gambar naik ke facebook, wajah-wajah gembira semuanya, status-status kesyukuran mereka yang berjaya menamatkan pengajian. Saya tumpang gembira – sungguh terasa sekali setiap derita dan air mata yang mengiringi perjalanan ke puncak menara gading terbalas dengan adilnya saat menggenggam skrol dalam tangan.

Terasa hati menjerit “Mak, Abah, ini hadiahnya! Ini hadiahnya!”

Walau saatnya begitu sekejap, detiknya mungkin yang paling bermakna lewat 3 (atau 4) tahun. Mungkin lebih bermakna dari tempoh 3 (atau 4) tahun itu sendiri. Saat terasa seluruh dunia bersama meraikan kejayaan.

Dan sudah lebih setahun, pastinya banyak yang berubah. Perjalanan hidup kita sudah bercabang – jalan-jalan yang ditempuhi semuanya terpisah daripada yang lain. Kawan-kawan yang sudah berkahwin, bertunang, berhijrah ke luar negara, bekerja tetap, bekerja kontrak, menyambung pelajaran ke luar negara, menyambung pelajaran ke peringkat Ph. D, menyambung pelajaran peringkat Master di universiti lain, dan termasuklah kami yang masih setia bernaung di bawah kampus hijau. Setiap jalan yang dipilih semakin memisahkan kita.

Ramai yang bertanya, kenapa masih di sini. Jawapannya mungkin memalukan, dan mungkin juga mengujakan. Ada yang masih sayang ingin meninggalkan tanah tempat bermain; menuntut ilmu, dan ada yang lebih selesa terus setia bersama-sama universiti tercinta.

Sudah 4 tahun, semakin lama perasaan itu semakin berubah. Daripada hari pertama melangkah ke sini sehingga tiba saat ini, telah begitu banyak sejarah yang tercipta.

Daripada orang asing kita berubah menjadi rakan karib, dan seterusnya sahabat setia, daripada tidak mengenali sesiapa sehingga tiba saatnya kita diajar mengenal dunia – semuanya kita lalui dengan cekal.

Wajah-wajah silih berganti – saya masih tekun memerhati. Dalam diam kadang-kadang menggamit memori. Tempat-tempat yang pernah kita jejaki bersama semuanya masih memberikan saya emosi. Rindu kadangkala kepada zaman itu – zaman kita semua masih bersama – teruja dengan setiap ketawa.

Setahun berlalu juga banyak mengubah diri saya. Kini saya mula memberanikan diri memandu kereta (yang sebelumnya memang tidak pernah saya terfikir saya akan lakukan), membuat pelbagai keputusan penting (yang mungkin akan saya kesali kemudiannya), dan saya berasa lebih berani menghadapi hidup kini terutamanya.

Konvokesyen – setahun sekali. Dan satu tahun terlalu panjang untuk semuanya terjadi, sebelum kita melihat majlis konvokesyen seterusnya. Konvokesyen – sesungguhnya saat paling terakhir untuk kita bersama; sebelum semuanya terpisah mengejar cita-cita.

P/S: Jangan lupa buat pre-konvo photoshoot. Lepas setahun saya rasa sangat bersyukur ada gambar dengan kawan-kawan bersama jubah. Hanya sekali sepanjang hayat =)
Copy of IMG_6269

Kamu, kamu dan kamu. Sahabat selamanya =D
Read More

Fantasi

Leave a Comment

 

Apa guna kita bercerita kalau yang menyambutnya hanya penghinaan? Tiada sesiapa akan percaya.

Tiada siapa akan percaya bahawa kitalah mangsa. Bahkan kita dikata memfitnah.

Kalau kita mampu bercerita, seperti menyimbah selaut derita. Kalau kita mampu bercakap, seperti membentang segurun azab.

Siapa kita untuk bercerita sejauh mana telah kita melalui jalan derita? Siapa kita untuk merayu meminta diselamatkan dari jurang neraka?

Dan mereka tertawa dari tepi. Semuanya menangguk madu dari aib kita yang terbuka.

Kita disepak macam anjing, ditampar macam pelacur. Kita barangkali telah melacurkan maruah untuk bercerita perkara-perkara keji yang mereka datangkan kepada kita.

Kita mengabarkan kepada satu dunia, minta dibantu. Satu dunia mencemik; ‘Diamlah pendusta. Orang-orang yang kau katakan merosakkan kau; mereka semua orang yang baik-baik dari kalangan kami.”

Kita menangis sekali lagi. Manusia mana yang percaya? Tolonglah kita, tolonglah. Selamatkan kita dari sini!

“Kamu jangan memfitnah dia. Dia tak mengaku pun dia buat semua benda tu kepada kamu!”

“Entah-entah kamu kot yang berfantasi?” Ya Tuhan. Sesungguhnya Kaulah satu-satunya yang Maha Mengetahui.

Jika aku berani bersuara ketika itu, maka satu dunia akan mengerti. Mereka telah mencalar arang ke mukaku, mereka telah kencing ke atas maruahku.

Jahanamlah kamu manusia-manusia berlidah dua. Hari ini kau menelanjangkanku ke pentas dunia, aku bersumpah hari esok masa depan kau ditelanjangkan seluruh umat manusia berzaman-zaman lamanya.

Siapakah kau yang layak memberikanku derita? Siapakah kau yang layak berhibur di atas kesakitanku?

Walau untuk membayangkan sekali lagi setiap perkara itu, jiwaku bergegar dengan kejijikan.

Mana pergi sahabat-sahabat ketika itu? Mana pergi pelindung-pelindungku yang bersumpah untuk menjagaku seperti anak mereka sendiri? Mana pergi keadilan? Mana pergi undang-undang?

Sesungguhnya ketika itu ku merasa; undang-undang itu dicipta mereka yang menderitakan manusia yang lain. Undang-undang itu alat derita.

Percaya – pintaku waktu itu. Hanya percaya kepadaku walau kau tidak boleh menerimanya. Tetapi mereka enggan. Mereka lebih rela bergelumang dengan dusta daripada menyinari kebenaran. Merekalah sesungguhnya pendusta yang lebih hina.

Ke mana harus ke panjatkan lagi kesedihan dan harapanku? Ke mana lagi tempatku mengadu nasib malangku?

Dan kini aku menulis – untuk mengabarkan kepada mereka yang masih ketawa kepada kelamnya masa silamku. Tiada sesiapa sebenarnya mengerti kesakitan itu; tiada sesiapa yang mengetahui mengapa apabila berada dalam keramaian manusia jantungku berdegup pantas.

Kerana aku telah hilang percaya kepada kebaikan manusia. Aku percaya mudahnya mereka melakukan kejahatan bila mereka memegang kuasa. Mudahnya mereka menggunakan undang-undang untuk menyeksa.

Apakah yang kau fahami dengan hanya mendengar cerita? Adakah kau berfikir kau telah merasa derita hanya dengan kecewa dalam bercinta?

Ptui! Dan kau bahagia menelan kesedihan dari air mataku. Celaka.

Read More

Dunia, Garis Merah dan Cinta

2 comments

*Berdasarkan sebuah kisah benar

Barangkali Ila bukan gadis yang paling pintar di sekolah, tapi dia mengerti akan kebesaran kesilapan yang telah dilakukannya. Lalu kini dia sesungguhnya merasa kurang selesa; seluruh ruang yang sebelumnya merupakan zon selesa yang telah membentuk perimeter lilitan dunianya, kini terasa begitu janggal.

Papan putih di depan kelihatan begitu aneh; dia merasa terasing dengan rakan-rakan sekelasnya, seakan baru pertama kali bersua. Kerusi dan meja, kipas syiling, persekitarannya seperti dimensi yang lain. Hanya kerana dia merasa sesuatu yang berbeza di dalam dadanya telah mengubah seluruh persepsinya terhadap dunia.

Sepanjang hari ketakutan menghantui Ila. Lalu bersilih ganti dengan kekesalan dan rasa bersalah.
“Amat sayang Ila sepenuh hati Amat.” Setiap kali Ila mengingat kalimat itu, dadanya dihenyak dua emosi yang sama berat. Gembira; dan juga marah.

Kata-kata itu Amat ucapkan sebelum mengucup tengkuk Ila; dan seterusnya menceroboh suatu daerah yang terlarang – dengan kemarahan Ila.

Barangkali kemarahan Ila lebih terarah kepada dirinya sendiri; kerana seperti biasa dia terlalu lemah untuk melawan keadaan. Seringkali dia tunduk kepada asakan takdir; rebah kepada kelemahan. Ila marah kerana berasa dirinya lemah dan tidak berupaya. Dan selebihnya emosi itu teralir kepada Amat; yang memaksa Ila melakukan sesuatu di luar kerelaannya.

Ila merenung luar ke taman di luar kelas. Mukanya pucat; ditoreh tidak berdarah. Ketakutan itu sesungguhnya menggetar jantung Ila, menggigit kewarasannya dan menghentam segenap ruang hatinya.
“Ya Allah, ampunkan aku!” bisiknya berulang kali dalam hati.

Kelas-kelas silih berganti, dan kini Cikgu Syariza sedang membaca teks Bahasa Melayu di depan.
“Antara persoalan daripada prosa Khoja Maimon: ialah sifat nafsu serakah manusia yang menjerumuskan manusia kepada perbuatan tidak bermoral seperti curang dan bermukah. Hal ini ditunjukkan dengan jelas melalui watak Bibi Zainab yang ingin bermain kayu tiga bersama saudagar di luar pengetahuan suaminya, Khoja Maimun.”

Ila tersentak. Kali ini kali pertama perhatiannya ditumpu kepada gurunya.
“Selain itu, kebijaksanaan juga suatu persoalan penting dalam prosa ini. Si bayan yang pintar menggunakan kebolehannya untuk bercerita untuk melekakan Bibi Zainab supaya dia tidak keluar daripada rumahnya untuk berzina dengan saudagar.”

“Burung pun tahu berzina tu berdosa. Kalau manusia pun tak reti jugak, tak tahulah nak cakap apa.”
Zus! Hati Ila bagai dipanah. Matanya membeliak. Automatik. Kata yang terluah dari bibir Cikgu Syariza beku, tiada perasaan. Ekspresinya tidak berubah. Petanda bahawa amaran yang disampaikan bersifat tetap – tiada kompromi.

Dan bila menyedari mata Cikgu Syariza bakal bertembung dengan matanya, Ila menunduk – pantas. Buat-buat mencatat.

“Ila, awak kenapa? Awak ni macam Bibi Zainab pulak. Macam simpan sesuatu je!”
Satu kelas tergelak, memandang Ila. Ila kaget. “Weh, kau bermukah dengan Amat ke Ila? Gila lah Ila! Dah pandai dah kan sekarang!” Wafi menambah, melepaskan lagi busur panah ke dada Ila.
Spontan Ila memandang ke sudut belakang kelas “Senyaplah babi!” Mukanya merah dengan marah dan malu.

“Ila, apa ni mencarut? Yang kamu ni Wafi kenapa pulak nak tambah lauk? Saya ada suruh awak bercakap ke?”

Wafi diam. Seluruh kelas juga terpaku. Tidak menyangka begitu drastik reaksi Ila. Ila jarang begini – fikir mereka. Ila menunduk ke atas meja, terasa seluruh kemerahan dan hangat mula berpusat ke hujung matanya; lalu keluar sebagai titisan air mata.

“Hah, tengok. Kan Ila dah sedih. Sudah Ila, sudah. Kalau kamu ada masalah nanti datang jumpa Cikgu. Wafi ni, dia tengah ada masalah ke dengan boyfriend” – perkataan boyfriend itu sengaja ditarik Cikgu Syariza; membawa sedikit gelak kecil kepada kelas, dan Ila membayangkan Cikgu Syariza memuncungkan bibirnya ketika menyebut perkataan itu “tengah masalah keluarga ke, mana kamu tau. Sudah Ila sudah. Nanti orang lain pun ikut sedih. Saya ni emosional sikit tengok orang menangis.”

Keluarga. Perkataan ini tiba-tiba memberi makna kepada perasaan Ila. Sepanjang dua bulan Ila berpacaran dengan Amat, Ila sudah melupakan keluarganya. Ila tidak langsung menghubungi ibunya sepanjang dua bulan, dan hal ini tiba-tiba menjadikan dirinya lebih sedih.

“Ya Allah, apa aku dah buat? Apa perasaan Mak sekarang?”

Mengenang wajah lembut ibunya membuat Ila tidak keruan. “Mak, Mak! Ampunkan Ila Mak! Ila tak dengar cakap Mak. Ila dah buat jahat!” dia berbisik ke dalam hati, dengan sekelumit harapan bahawa ibunya akan mendengar, memaafkannya lantas.

Sebelum mengenali Amat, setiap minggu Ila akan menelefon ibunya di kampung. Bertanya khabar. Dan lebih penting dari itu, menceritakan kepada ibunya setiap kesedihan, ketakutan, kegembiraan, harapan.
Dan bila Amat hadir, Ila merasakan hidupnya telah disempurnakan. Bahawa Amat tempat sebenarnya bergantung, tempat meluahkan segala yang tersirat dan tersurat, dan Ila merasakan sesungguhnya Amat ialah masa depannya. Ila sanggup melepaskan masa silamnya, keluarganya, segalanya. Asalkan Amat berada di sisinya sepanjang masa. Ila cintakan Amat, sepenuh hati.

Dan lebih dari itu, Ila takut Amat tidak dapat menerima dirinya. Seorang anak peneroka Felda. Kerana Amat anak seorang pegawai, tinggal di bandar. Hidup sebagai anak bandar. Amat seorang yang sangat tampan. Putih. Pemain bola. Pelajar pandai sekolah. Ila malah tahu ramai yang meminati Amat. Dan itu menjadikan Ila paranoid. Ila tidak secantik mana; dia sedar hakikat itu.

Malah itu ialah hujahnya ketika mula menolak cinta Amat pada awalnya – namun Amat meyakinkan Ila bahawa peribadi Ila yang membuatkannya jatuh hati. Ila tersentuh – kata-kata yang Amat lontarkan adalah kata-kata idaman setiap wanita – walau secantik mana wanita itu mereka mahu diperakui cantik dalaman; bukan semata-mata luaran. Dan apabila kata-kata itu diluahkan seorang jejaka yang tampan seperti Amat menjadikannya sepuluh ribu kali ganda lebih bermakna.

Dan lebih dari itu pula, Ila lebih takut jika ada orang lain yang mengatakan dia tidak sesuai bersama Amat. Ila takut jika mereka mengenali siapa dirinya yang sebenar. Ila takut jika Amat akan diracuni oleh mereka. Untuk bermain selamat, Ila merahsiakannya terus dari sesiapa. Supaya hal itu langsung tidak akan menjadi gangguan, langsung tidak akan menjadi sebutan sepanjang perhubungan mereka. Tiada siapa menyangka Ila datang dari Felda kerana dia antara pelajar yang fasih berbahasa Inggeris. Malah, Miss Hanis yang mengajar Ila pernah menyebut Ila sebagai ‘student with best grammar I have ever taught’.

Lalu perkara itu menjadikannya sedih. Ila sedar untuk bersama Amat, dia rela membuang keluarganya. Dia sanggup berpura-pura. Ila sanggup mengubah apa saja tentang dirinya untuk disesuaikan dengan keinginan Amat – walau untuk perkara yang tidak diminta. Ila ingin menjadi sempurna di mata Amat.

Dan bila Amat meminta sesuatu yang paling berharga daripada diri Ila, itu menjadikannya lemah. Mungkin kesilapan Ila sebenarnya ialah terlalu jujur kepada Amat. Ila menyedari dia menyimpan beberapa rahsia yang mungkin akan membuatkan Amat tawar hati kepadanya. Antara rahsia itu ialah latar belakang keluarganya; dan juga suatu kisah yang mampu merubah seluruh dinamik perhubungan Ila dan Amat.
Semuanya bermula 3 tahun lalu, sewaktu Ila berusia 13 tahun.

Ila menyertai sebuah kem motivasi untuk pelajar sekolahnya. Dia masih ingat dengan jelas bahawa ketika itu dia masih belum mencapai keremajaan – seorang kanak-kanak kecil. Pada malam itu Ila tidak boleh tidur, dia tidak biasa tidur di dalam dorm. Lalu dia turun dari katilnya, mencapai selipar Jepun di bawah katil dengan kakinya, melilit kepalanya dengan sehelai selendang dan membuka pintu dorm perlahan-lahan.
Ila berjalan menuju ke kantin sekolah, dia mahu meneguk sedikit air suam. Dia berasa sangat dahaga pada malam itu.

Tiba di kantin, dia melihat Cikgu Fareed sedang meronda sekitar kawasan itu. Cikgu Fareed terpandang Ila; terus Ila gumam.

“Kenapa kamu belum tidur lagi ni, Ila? Dah pukul 1 pagi ni! Esok nak bangun pagi pukul 4.30 kan!”
“Saya dahaga Cikgu. Saya nak minum air!”
“Kenapa sorang-sorang je? Kamu tak takut ke?”
“Yang lain dah tidur. Saya tak biasa tidur dalam dorm Cikgu. Saya tak boleh tidur.”

Cikgu Fareed diam seketika, seperti berfikir. “Tak bolehlah macam tu, saya tak boleh bagi keistimewaan kepada kamu sorang. Tak adillah kalau kamu nak mintak tidur tempat lain.”

“Takdelah Cikgu. Saya tak mintak pun. Harap-harap lepas minum air ni saya dah boleh masuk tidur.”
“Ha, pergilah minum dulu!” kata Cikgu Fareed. Ila berjalan melepasi Cikgu Fareed dan mengambil kole dari rak cawan, kemudian berjalan ke mesin penyejuk air. Perlahan-lahan dia mencampurkan air panas dan air sejuk dari mesin, dan meneguk campuran air itu dengan diam. Cikgu Fareed masih berdiri membelakangi Ila.
Selesai minum air, Ila berjalan perlahan-lahan ke arah Cikgu Fareed.

“Terima kasih Cikgu, saya masuk tidur dulu ye.” Lalu Ila terus berjalan menjauhi Cikgu Fareed.
Tiba ke langkah ketiga, Cikgu Fareed memanggilnya. “Tunggu Ila! Mari sini dulu!”
Ila berpusing, patuh. “Kenapa Cikgu?”

“Macam nilah, kalau awak tak selesa tidur dalam dorm, awak boleh tidur dalam bilik sakit. Dekat situ mungkin awak boleh tidur cepat. Lagipun bilik tu takdelah selesa, macam dorm jugak. Cuma tak ramai macam dorm. Kesian jugak dekat awak, orang lain boleh tidur, awak sorang je yang berjaga.”
Ila senyum gembira. “Terima kasih Cikgu!”

Cikgu Fareed senyum kembali.

Ila tidak menyangka pertemuannya dengan Cikgu Fareed akan memberinya rezeki terpijak. Dia berlari pantas ke dormnya, kemudian membuka pintu perlahan-lahan dan menyelinap masuk dengan senyapnya sepertimana dia keluar sebentar tadi. Selepas pasti tiada siapa yang masih berjaga, dia mengambil selimut dan bantalnya, lalu bergegas keluar semula. Ila merasa seronok.

Apabila sampai di bilik sakit, Ila terus berbaring di sebuah katil di tepi tingkap. Terdapat 5 buah katil di situ, yang semuanya kosong kerana cuti sekolah. Ila walaubagaimanapun tidak pernah berasa takut, dia seorang yang berani. Malah apabila tidur seorang dia lebih selesa.

Ila terus berbaring di katil; menyeringai sekejap-sekejap kerana teruja. Seronoknya! Tak sia-sia aku keluar sorang-sorang tadi! Fikir Ila. Tidak lama masa yang diambil Ila untuk tidur setelah merasa selesa.
Dan Ila langsung tidak menyedari sebelum tidur bahawa suatu peristiwa yang akan mengubah hidupnya akan berlaku pada malam itu.

Cikgu Fareed pada malam itu mengambil keputusan yang sangat besar dalam hidupnya; malah satu keputusan yang bukan berpaksikan logik akal.

Perlahan-lahan Cikgu Fareed membuka pintu bilik sakit, kemudian menyoroti lorong ke bilik sakit perempuan. Dia pasti tiada orang lain yang berjaga pada malam itu kecuali dirinya. Dia membuka pintu bilik sakit itu, mendapati Ila sudah diam di perbaringan. Cikgu Fareed menutup pintu, lantas menekan butang kunci.

Cikgu Fareed perlahan-lahan duduk di sisi katil Ila, mengusap rambutnya perlahan-lahan. Cikgu Fareed sudah lama menginginkan seorang kanak-kanak, tetapi tiada kesempatan. Dan malam ini bakal menjadi kali pertamanya.

Ila terjaga, mengenyeh-ngenyeh mata. “Kenapa Cikgu?” tanya Ila dengan perasaan mengantuk yang tebal. “Takde apa. Saya risau kamu tidur sini sorang-sorang. Tu saya datang melawat tu. Ila tidurlah ye.” Ila mengangguk dungu. Menepuk-nepuk bantalnya dan berbaring semula.

Cikgu Fareed berbaring di sebelah Ila di atas katil yang sama.
Read More

Magpies

1 comment

Malam sebelum pergi, dia memegang kepalaku erat ke tubuhnya, seperti ingin melindungiku dari segala mara bahaya yang tidak dapat kulihat. Aku menangis untuk mendapatkannya walaupun sebelum dia pergi. Dan apabila berbaring di ribanya, dia menceritakan suatu kisah untukku.

“An-mei,” bisiknya, “pernahkah kau melihat kura-kura kecil yang tinggal dalam kolam itu?” aku mengangguk. Di laman rumah kami terdapat sebuah kolam yang selalu ku cucukkan kayu supaya kura-kura itu berenang keluar daripada bawah batu.

“Ibu mengenali kura-kura itu juga sewaktu ibu masih kecil,” kata ibuku. “Ibu selalu duduk di tepi kolam itu dan melihat kura-kura itu berenang ke permukaan, menggigit udara dengan muncung kecilnya. Kura-kura itu sudah sangat tua.”

Aku dapat melihat kura-kura itu dalam mindaku dan aku tahu ibu juga sedang melihat kura-kura yang sama dalam mindanya.

“Kura-kura itu hidup dengan memakan pemikiran kita,” kata ibuku. “Ibu tahu kerana pada suatu hari, sewaktu ibu sebaya dengan kau, dan Nenek tidak lagi membenarkan ibu untuk menjadi budak kecil. Katanya ibu tidak boleh berteriak, berlari atau duduk di atas tanah untuk menangkap cengkerik. Tidak boleh menangis jika ibu kecewa. Ibu perlu diam dan mendengar kata-kata orang tua. Dan jika ibu tidak patuh, Nenek akan memotong rambut ibu dan menghantar ibu ke tempat rahib-rahib Buddha hidup.

“Pada malam itu, setelah Nenek berkata perkara itu kepada ibu, ibu duduk di tepi kolam, memandang ke dalam air. Dan kerana ibu lemah, ibu mula menangis. Kemudian ibu melihat si kura-kura itu berenang ke permukaan dan muncungnya mula menelan titisan air mata ibu sebaik sahaja air mata itu menyentuh air. Dia menelannya cepat-cepat, lima, enam, tujuh titis, kemudia dia memanjat keluar dari kolam itu, merangkak ke atas suatu batu licin dan mula bersuara.

“Kata si kura-kura itu, aku telah menelan air matamu, dan dari itu aku mengetahui penderitaanmu. Tetapi aku perlu memberi amaran kepadamu. Jika kau menangis, kehidupanmu akan terus derita.

“Kemudian si kura-kura itu membuka muncungnya dan keluarlah lima, enam tujuh telur yang seakan-akan mutiara. Telur-telur itu pecah lalu daripadanya keluarlah tujuh ekor burung, yang terus bercicip dan menyanyi. Ibu tahu daripada perut mereka yang seputih salji bahawa mereka ialah burung murai, burung kegembiraan. Burung-burung itu memasukkan muncung mereka ke dalam air dan mula minum dengan tamaknya. Dan bila ibu memanjangkan tangan ibu untuk menangkap seekor, mereka semuanya terbang naik, memukul-mukul sayap hitam mereka ke muka ibu, dan terbang terus ke udara, tertawa.

“Sekarang kau lihat, kata si kura-kura, menyusup balik ke dalam kolam, kenapa tiada gunanya kau menangis. Air matamu tidak akan membasuh kedukaan. Air matamu memberi kebahagiaan kepada orang lain. Dan itu sebabnya kenapa kau harus belajar untuk menelan sendiri kesedihanmu.”

Tetapi setelah ibu menghabiskan ceritanya, aku memandangnya dan melihat dia menangis. Dan aku mula menangis semula, kerana ini takdir kami, untuk hidup seperti dua ekor kura-kura yang melihat dunia yang berkaca daripada dasar kolam kecil kami.

- Amy Tan, The Joy Luck Club

image

Read More
Next PostNewer Posts Previous PostOlder Posts Home

Lovers & Haters