22 October 2012

Konvokesyen

Setahun lalu. Saya masih tidak beranjak daripada tempat yang sama. Menginjak pada bumi yang sama. Bernafas pada udara yang sama.
   -- Puteri Gunung Ledang, 2004.


banner

Masih lagi di sini, dalam pencarian ilmu yang tiada henti. Oh kalau ingin diceritakan sepanjang-panjang setahun yang berlalu ini, begitu banyak yang telah terjadi. Setahun terlalu panjang untuk mengubah manusia. Tapi itu bukan sebabnya saya menulis semula.

Setahun berlalu dan masa untuk konvokesyen datang semula. Gambar-gambar naik ke facebook, wajah-wajah gembira semuanya, status-status kesyukuran mereka yang berjaya menamatkan pengajian. Saya tumpang gembira – sungguh terasa sekali setiap derita dan air mata yang mengiringi perjalanan ke puncak menara gading terbalas dengan adilnya saat menggenggam skrol dalam tangan.

Terasa hati menjerit “Mak, Abah, ini hadiahnya! Ini hadiahnya!”

Walau saatnya begitu sekejap, detiknya mungkin yang paling bermakna lewat 3 (atau 4) tahun. Mungkin lebih bermakna dari tempoh 3 (atau 4) tahun itu sendiri. Saat terasa seluruh dunia bersama meraikan kejayaan.

Dan sudah lebih setahun, pastinya banyak yang berubah. Perjalanan hidup kita sudah bercabang – jalan-jalan yang ditempuhi semuanya terpisah daripada yang lain. Kawan-kawan yang sudah berkahwin, bertunang, berhijrah ke luar negara, bekerja tetap, bekerja kontrak, menyambung pelajaran ke luar negara, menyambung pelajaran ke peringkat Ph. D, menyambung pelajaran peringkat Master di universiti lain, dan termasuklah kami yang masih setia bernaung di bawah kampus hijau. Setiap jalan yang dipilih semakin memisahkan kita.

Ramai yang bertanya, kenapa masih di sini. Jawapannya mungkin memalukan, dan mungkin juga mengujakan. Ada yang masih sayang ingin meninggalkan tanah tempat bermain; menuntut ilmu, dan ada yang lebih selesa terus setia bersama-sama universiti tercinta.

Sudah 4 tahun, semakin lama perasaan itu semakin berubah. Daripada hari pertama melangkah ke sini sehingga tiba saat ini, telah begitu banyak sejarah yang tercipta.

Daripada orang asing kita berubah menjadi rakan karib, dan seterusnya sahabat setia, daripada tidak mengenali sesiapa sehingga tiba saatnya kita diajar mengenal dunia – semuanya kita lalui dengan cekal.

Wajah-wajah silih berganti – saya masih tekun memerhati. Dalam diam kadang-kadang menggamit memori. Tempat-tempat yang pernah kita jejaki bersama semuanya masih memberikan saya emosi. Rindu kadangkala kepada zaman itu – zaman kita semua masih bersama – teruja dengan setiap ketawa.

Setahun berlalu juga banyak mengubah diri saya. Kini saya mula memberanikan diri memandu kereta (yang sebelumnya memang tidak pernah saya terfikir saya akan lakukan), membuat pelbagai keputusan penting (yang mungkin akan saya kesali kemudiannya), dan saya berasa lebih berani menghadapi hidup kini terutamanya.

Konvokesyen – setahun sekali. Dan satu tahun terlalu panjang untuk semuanya terjadi, sebelum kita melihat majlis konvokesyen seterusnya. Konvokesyen – sesungguhnya saat paling terakhir untuk kita bersama; sebelum semuanya terpisah mengejar cita-cita.

P/S: Jangan lupa buat pre-konvo photoshoot. Lepas setahun saya rasa sangat bersyukur ada gambar dengan kawan-kawan bersama jubah. Hanya sekali sepanjang hayat =)
Copy of IMG_6269

Kamu, kamu dan kamu. Sahabat selamanya =D

No comments:
Write curses

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter