Selepas solat Isyak, kami minum kopi dan bersembang kosong. Apabila berada dalam rumah yang begitu tradisional, mood dan perasaan kami begitu lain. Teruja dan sedikit seram.
Sewaktu menempuh hujan selepas keluar dari kereta tadi, Walkman Sony MP4 saya terjatuh ke lopak air, dan tidak dapat di’off’kan. Jadi saya biarkan ia terus memainkan lagu, supaya bateri habis.
Hampir pukul 1.30, masing2 sudah mulai mahu tidur, kecuali saya dan dua lagi sahabat. Sedang kami berbual2, terdengar bunyi pintu pagar bergerak, seperti bunyi buaian. Kami mendiamkan diri sebentar.
Seorang sahabat menegur “Bunyi apa tu?” Saya memarahinya spontan. Kemudiannya, seorang lagi tidur, kecuali saya dan sahabat yang menegur tadi. Kami membaringkan diri, tetapi rasa mata begitu sukar untuk tertutup. MP4 saya masih lagi memainkan lagu, menjadi satu2nya bunyi yang kami dengari ketika ini.
Tidak lama kemudian, terdengar bunyi pintu pagar tadi. Apabila bunyi pintu pagar tadi berhenti, tiba2 pintu dapur diketuk kuat, seperti ada seseorang yang ingin masuk. Kami membatukan diri. Saya berasa begitu kaget, tetapi kami masih berdiam diri. Bunyi orang mengetuk pintu hanya sekejap, tetapi kuat.
Setelah itu, kedinginan dan kesunyian malam menguasai. Dalam masa 10 minit, tiada apa2 bunyi. Saya cuba menutup mata, sebelum pintu pagar berbunyi kembali, seperti bunyi buaian. Saya menunggu, kerana saya tahu ‘benda’ itu akan kembali.
Sebaik saja pintu pagar berhenti berbunyi, pintu dapur dihentam sekali lagi. Seperti ada orang merempuh daripada luar. Saya memandang kawan saya, kemudian mengangguk. Dia pun mengangguk, bermakna dia turut mendengar. Kemudian dia berbisik; “Tidur!” sambil jarinya dilekatkan ke bibir; isyarat menyuruh senyap. Saya berbaring sekali lagi, dan lagu dari MP4 saya masih bermain kuat.
10 minit kemudian, pintu pagar berbunyi sekali lagi, isyarat ‘benda’ itu mengganggu kembali. Saya sempat berharap supaya ia tidak akan mengetuk pintu dapur lagi. Sebaik saja pintu pagar berhenti berbunyi, pintu dapur dirempuh kuat. Harapan saya tidak menjadi kenyataan.
Kali ini, kawan saya pemilik tuan rumah terjaga. Bunyi yang kuat tadi mengejutkannya. Melihat dia sudah bangun, saya pun bingkas duduk, dan mengejutkan seorang lagi kawan. 4 daripada 5 orang sudah terjaga. Saya menerangkan kepada mereka tentang bunyi yang saya dengari dengan bahasa isyarat; dengan niat tidak ingin menegur. Tetapi dia menyangka saya bermaksud pencuri. Segera dikeluarkan parang, sebelum saya menerangkan sekali lagi tentang perkara sebenar. Kami berdiam selama beberapa minit.
Selepas beberapa lama, dia bertanya sama ada kami ingin kembali ke rumahnya atau tidak. Saya mengangguk. Dia kemudian menghubungi ibunya, meminta membuka pintu untuk kami masuk. Tetapi ibunya terus datang ke rumah tersebut dan menjemput kami.
Kami lekas mengejutkan seorang lagi kawan yang masih tidur, mengemaskan barang dan terus pulang ke rumah sebelah. Kawan saya si pemilik rumah berbual dengan ibunya kemudiannya tentang rumah tersebut.
Antara perbualan kawan saya dan ibunya ialah; siapa yang tidur dibawah alang. Dan yang tidur dibawah alang pada malam itu ialah saya dan kawan saya yang diganggu! Patutlah kami berdua saja yang diganggu pada malam itu.
Menurut ibunya, orang yang tidur dibawah alang paling mudah diganggu, disantau, dan di‘hantar’, selain sukar untuk tidur. No wonder! Kali pertama saya mendengar penjelasan seperti itu.
Selain itu, kemungkinan besar ‘benda’ itu cuma dapat mengganggu dari luar kerana dia tidak dapat masuk. Setelah kami semua solat Isyak dan membaca ayat Qursi, dia tidak dapat masuk lagi ke dalam rumah itu. Sebab itu barangkali dia mengetuk pintu rumah kuat2. Kalau dia dapat masuk, mungkin dia akan mengganggu kami dengan lagi dahsyat!
Selain itu, adik kawan saya itu juga pernah melihat seorang wanita berpakaian putih duduk di bawah rumah, selain ayahnya pernah tertangkap gambar wanita berambut panjang sewaktu merakam gambar di sekitar rumah itu.
Kawan2 saya semuanya berharap supaya kami dapat tinggal lagi di situ, kerana mereka tidak terjaga sewaktu diganggu dan tidak mendengar apa2 bunyi aneh. Tapi saya yakin, sewaktu kami semua berjaga, ‘benda’ itu tidak berani mengganggu. Setelah semua mulai tidur, barulah dia mula menjalankan agenda. Kalau difikirkan logik, sepanjang kami berbual malam tersebut, langsung tidak ada apa2 bunyi. Sewaktu seorang demi seorang tidur, barulah dia berani mengetuk pintu. Dan kalau kami stay, mungkin dia akan mengganggu dengan lagi dahsyat!
Ada berani? Datanglah ke Kg. Gadong, Rembau untuk pengalaman eksklusif anda!
26 Febuari 2011, Sabtu.
Setelah malam yang menakutkan, kami tidur lena. Pada waktu pagi, kami semua melawat Istana Raja Melewar di Astana Raja.