12 November 2023

Hospital, Abah dan memori-memori (final)

10 November 2023

There were few hints at first and I was too stubbornly optimistic to acknowledge them.

Malam tadi Abah muntah. Banyak. Segala isi perut daripada susu yang kami masukkan selang 3 jam terkeluar semula.

Saya tanya pada nurse, perlu bancuh semula ke nurse? Nurse kata tak payah dah. Nafas abah pun dah laju. Kita bagi pakcik puasa dulu satu hari. Abah dan pakcik di katil sebelah dihentikan makanan. Ada beberapa hints di situ, tapi kesemuanya ditepis dengan anggapan, kali ini sama seperti sebelum-sebelum ini. Abah akan kembali stabil dan akan kembali kepada pangkuan kami seperti selalunya. Abah sentiasa pulang, berjaya lari dari tahanan wad. 

Kita lupa bahawa kematian hanya perlu menyentuh kita sekali untuk menang, walau kita pernah 999 kali mengalahkannya.

Pagi tadi oksigen abah menjunam ke paras bawah 90%. Hanya 88%. Apabila menatap skrin, saya hanya berfikir oh bekalan oksigen perlu dikuatkan lagi untuk kembali ke paras selamat. Ya stubbornly optimistic.

Nurse melihat saya tenang, seraya berkata 'boleh dah panggil adik beradik. Oksigen abah 88% dah'. Hint yang seterusnya. 

Untuk apa? saya tertanya sendiri. Tapi sementelah dari itu, oksigen Abah terus menurun. Ada sampai ke 79% hingga kekal bermain di peratus 81 ke 83. Ini bahaya, pada fikiran saya.

Saya menyeru adik beradik dalam group keluarga. Oksigen Abah dah makin drop. Mana-mana yang jaga Abah lepas ni bacakan Yasin. Masih ada kedegilan di situ, berfikir bahawa selepas ini jalan untuk kesembuhan adalah panjang, tapi tentu ada. Mesti ada. Masih berfikir akan ada giliran-giliran menjaga Abah lagi selepas ini. 

Tapi segalanya berubah pada kelakuan nurse. Mesin bacaan tekanan darah dan paras oksigen dibiarkan terus terpasang di tangan Abah mengambil bacaan setiap masa, sedangkan semalam hanya sejam sekali bacaan diambil. 

Jantung saya mula gugup. Adik beradik tiba seorang demi seorang. Melihat paras oksigen dan tekanan darah Abah makin berkurang, semua mula mendapatkan Abah. Pak cik saya menyuruh mula membaca Yasin, saya katakan telah dua kali saya membacanya malam tadi sebelum tidur dan pagi tadi. Tapi apabila Abengah menyuakan surah Yasin ke tangan saya, realiti mula menapak. 

Tapi tamparan kebenaran yang sebenarnya tiba, apabila saya bertanya sekali lagi kepada nurse, perlukah membancuh susu Abah pagi ini dan nurse mengatakan, hari ni tak perlu bagi makanan dah. Pakcik dah start nazak sikit. 

Wait what? Apa maksud nazak sikit? Ya Allah maksud nurse Abah takkan kembali pulih? Semua hint yang diberikan akhirnya make sense. Susu tak payah dibancuh lagi, sebab badan abah dah tak terima makanan. Abah memuntahkannya semula. Oksigen dan tekanan darah dipantau setiap masa sebab Abah sudah tidak stabil, bila-bila masa saja boleh merudum bacaannya. Nurse meminta dipanggil adik beradik semua, sebab masa Abah sudah suntuk. 

Rasa tidak percaya. Tidak logik. Mana mungkin? Malam tadi dalam jagaan saya, abah marah-marah 'Mohlah kita balik!' gesa Abah. Saya menenangkannya 'Abah belum sihat lagi. Kenapa Abah nak balik?' 

'Abah dah tak daya!' ya Allah kalau saya tahu waktu itu adalah antara kalimah terakhir yang terbit dari bibirnya. 

Malam tadi, nurse mendengar bunyi nafas Abah seperti berkahak, lalu diambil tiub untuk menyedut kahak di kerongkong Abah. Abah marah apabila merasa tajam tiub itu menyentuh mulutnya. Abah memegang tiub itu dengan tangannya, tidak dilepaskan. 'Jadilah! Nak membunuh!' 'Tampor kang!' diugutnya nurse dengan jerkahan. Saya tertawa lucu dengan telatah Abah sambil memegang tangannya kuat-kuat, menahan abah daripada menghalang tiub masuk ke mulutnya. Tidak mengerti itulah antara kali terakhir saya akan mendengar suaranya, atau menggenggam tangannya seerat itu. 

Abah menggigit tiub dengan giginya apabila tiub dimasukkan ke dalam mulut. 'Pakcik jangan gigit!' rayu nurse. Akhirnya nurse berjaya memasukkan tiub itu di celahan gigi Abah yang rongak. Masih saya tertawa lucu, begitu comel Abah. Esok akan saya ceritakan kepada Abah sewaktu dia sudah sihat, betapa saya terhibur melihat gelagatnya ketika dia sakit. 

Pagi ini segalanya sirna. Dr tiba untuk rondaan pagi, memaklumkan kepada kami dengan bahasa yang paling halus, bahawa harapan untuk Abah telah tiada. Ubat-ubatan yang diberikan untuk menyembuhkan Abah akan dihentikan, kini ubat yang diberikan hanyalah untuk melepaskan Abah pergi tanpa kesakitan. Makanan dan air juga akan dihentikan, badan Abah sudah tidak berupaya memprosesnya. 

Kami perlu merelakan Abah pada kali ini. Saya terasa buntu. Benar, kaki tidak terasa menginjak bumi. Otak rasa berhenti berjalan, semuanya terus masuk ke mod autopilot. Kami sekarang hanyalah menunggu jantung Abah berhenti berdegup. Tiada apa lagi yang kami boleh lakukan.

Minyak dan krim sapu yang kami sapukan untuk melegakan Abah tidak lagi mampu mengurangkan kesakitannya. Makanan kesukaannya kini tidak lagi dapat dijamah olehnya.

Di mesin kardiograf, jantung abah masih mengepam darah, adakalanya terhenti sebelum bergerak semula. Denyutan nadi abah melemah. Semua organ dalaman abah sedang berhenti berfungsi satu demi satu. Tiada setitis air kencing abah di beg urinal, tanda buah pinggangnya sudah tidak boleh memproses air, kuman sudah merebak ke seluruh organ dalaman. 

Kami kebingungan. Malam tadi sepertinya ada harapan. Malam tadi Abah masih minta saya membawanya turun dari katil, dia ingin berlunjur di birai. Masih lagi sempat memarahi nurse, masih mampu menyebut namanya sendiri bila ditanya oleh nurse. 

"Tarik tangan Abah. Abah nak turun!'
'Tak boleh Abah. Abah tak larat.'
'Tariklah tangan Abah! Abah tahulah macam mana gayanya!' 
 
Saya menarik kedua tangan Abah untuk mendudukkannya. Apabila saya melepaskan tangannya, Abah kembali terbaring ke belakang. Saya memintanya berehat dulu, esok kita cuba semula. 

Terngiang-ngiang suara Abah malam tadi. Walau sudah lemah masih degil ingin duduk, masih ingin hidup seperti sediakala.


Dalam masa beberapa jam, keadaan Abah telah merosot. Kami semua mengusap-ngusap tangannya, mengelus lembut pipinya, membelai dahinya yang sudah tua, menyentuh kakinya yang sudah tidak akan berdiri lagi. 'Abah. Abah...' Setiap dari kami mengambil peluang untuk bersama dengan Abah, mendakapnya antara kali-kali yang terakhir.

Sewaktu tengahari, kami yang lelaki memutuskan untuk ke masjid untuk solat Jumaat manakala adik beradik yang perempuan dan Mak tinggal di sisi Abah, bersedia dengan sebarang kemungkinan.
 
Sewaktu memandu pulang, saya memusing jauh ke gerai nasi kukus di Petronas Simpang Songsang, tempat di mana saya dan Abah berdua pernah singgah dahulu ketika pulang dari menghantar Abah ke klinik. Inilah kali kedua saya di kedai ini, kali pertama bersama Abah dulu, kali kedua kini berseorangan, mengagau kembali memori dengan Abah di sini. Perut tidak terasa lapar, hanya diisi untuk memberi tenaga. 
 
Saya kembali ke hospital setelah solat Jumaat, keadaan masih sama. Saya mula menelan hakikat pahit bahawa Abah tidak akan bangun semula. Bahawa ayat-ayat yang disebutnya malam tadi, itulah kali terakhir saya mendengarnya bersuara. Genggaman tangannya itulah kali yang terakhir dia memegang tangan saya. Saya merasa sedih. Tidak sempat untuk mengucapkan terima kasih untuk membesarkan saya. Tidak sempat meminta ampun atas segala kesalahan saya terhadapnya. Tidak sempat memeluknya erat-erat sewaktu dia masih sedar.

Daripada lubang jarum di tangan Abah, keluar cecair daripada ubat-ubatan yang tidak boleh diproses tubuhnya, sehingga basah tilamnya.

Mak menemani Abah di sisi katil dari pagi tadi, tidak berganjak. Mak tidak menangis, hanya menatap Abah dari kerusi roda. Ada suatu keredhaan dalam diri Mak. 

Mak lebih realistik dari segi logistic. Mungkin untuk menutup pedih hati sendiri, mak berpaut kepada ketenangan dalan merencana. 'Kemaskan barang-barang abah. Pinggan cawan tupperware yang tak pakai bawak balik. Abah dah tak makan dah.' Mak kedengaran acuh tak acuh, tapi dalam hati Mak ada badai yang melanda.

 
11 November 2023

Sewaktu berumur 9 tahun, ketika kami melawat Abah sewaktu Abah bekerja di Kuala Lumpur. Di Jalan Pekeliling sewaktu bas bergerak meninggalkan stesen ketika kami ingin pulang ke Temerloh. Abah melambai kami dari luar bas, mengikut bas bergerak sehingga keluar ke jalan besar. 

Kami melambai-lambai Abah dengan sedih. Ketika itulah saya berdoa kepada Allah dalam diam, matikanlah kami sembilan beranak sekali, supaya tiada antara kami yang akan tertinggal di atas dunia, sepertimana kami meninggalkan Abah bersendirian di terminal. 

Dari itu, saya mula beranggapan doa itu ada kemungkinannya termakbul. Mungkin suatu kejadian akan meragut kami semua. Kesemua sembilan orang sama-sama melangkah pergi dari dunia, tiada seorang pun tertinggal di sini.

Abah masih bertahan setelah ubat dihentikan, tapi keadaannya semakin merosot jam ke jam. Kami membahagikan giliran 3 jam dua orang untuk menjaga abah, sekiranya apa-apa berlaku dalam giliran kami, kami akan memaklumkan adik beradik lain dengan segera. 

Saya mengambil giliran pukul 3 pagi hingga 6 pagi dengan adik bongsu saya. 

Pukul 1.56 pagi, saya sudah bangun dan menyiapkan diri, bersolat tahajud 2 rakaat. Tidur sekadar untuk melepaskan lelah. Sejak pagi semalam, saatnya nurse memaklumkan abah sudah nazak sikit, perasaan saya - kosong. Badan bergerak tetapi kepala dan perasaan menerawang ke dimensi lain. Kami berkumpul kini hanya untuk menanti suatu ketentuan - pemergian Abah.
 
Perasaan menunggu Abah untuk pergi buat selama-lamanya. Terasa suatu beban bagai dada dihenyak. Ya Allah betapa gelapnya.
 
Pukul 3 kami bergerak ke hospital. 

Sepatutnya kami menggantikan giliran Abengah dan Cik Abang (gelaran untuk isteri Abengah) tapi mereka berdua tidak mahu meninggalkan Abah selepas giliran mereka tamat. Mereka mahu terus bersama Abah kerana denyut nadi Abah semakin perlahan. 

Sebaik tiba di katil Abah, bacaan tekanan darah dan nadi Abah tidak menentu. Selama ini saya fikirkan gambaran di drama hanyalah satu hiperbola, graf di mesin yang perlahan-lahan memberi bacaan mendatar. Tetapi realitinya begitu jua. Mesin tidak berhenti berkelip lampu merah dan berbunyi amaran, menandakan bacaan vitals Abah sentiasa di paras bahaya.

Kami bergilir-gilir membaca Yasin, membisikkan kalimah Lailahaillah di telinga Abah dan memeluk Abah dan membelainya perlahan-lahan. Kami tahu perpisahan akan tiba bila-bila masa. Saya mengucup-ngucup tangan Abah, tahu tangan itu tidak akan lagi menyentuh saya. Dengan kudrat tangannya itulah Abah membesarkan kami, menoreh getah, berbakti kepada tanah. Memandu kami ke sekolah, asrama. Saya mengelus-ngelus pipi Abah dan dahinya, mengucup-ngucup pipi dan dahinya dan menatap wajahnya dalam-dalam. Ya Allah matanya tidak lagi akan terbuka selepas ini. Badan Abah sudah mula sejuk.

Graf kesihatan Abah kini benar-benar terlalu mendatar, terlalu sedikit pergerakan. Bila-bila masa saja, ketentuan itu akan tiba. Saya mengambil mushaf al-Quran dan mula membacakan Yasin. Biarlah kali ini saya membaca terus dari lembaran-lembaran naskhah al-Quran, sebagai peneman Abah di hujung-hujung hayatnya.

Pukul 4.42 pagi dalam selang alunan bacaan Yasin, abah telah pergi buat selama-lamanya. Graf mendatar di paparan skrin, tiada lagi denyutan nadi. Telah terhenti degupan jantung Abah. Tamatnya riwayat Abah. Hanya dengan begitu, Abah, telah tiada. 
 
Abah menghembuskan nafas terakhirnya dengan begitu tenang, seolah-olah masih tidur di perbaringan. Dengan demikian juga, separuh belahan jiwa saya pergi. Sebelah sayap saya telah patah. Sebahagian raga saya telah mati.

Abah selalu berkata kepada Mak, dia takut mati bersendirian. Pada waktu malam, dia enggan membenarkan Mak pergi dari sisinya. Pada penghujung hayatnya, Abah akhirnya pergi ditemani kami. 

Dan akhirnya juga saya temukan, doa yang saya ungkapkan ketika berumur 9 tahun di terminal bas itu, tidak dimakbulkan Tuhan.







20 October 2023

Day #2 Writing Challenge: Executive Lounge

(for future reference) 

Orang selalu fikir bila pergi airport, nak tunggu sampai boarding tu duduk je dekat kerusi sampai kematu punggung. Kini tidak lagi! (this is not a commercial)

Dulu-dulu saya pun fikir ehhh bestnya boleh duduk Executive Lounge dekat Airport. Boleh baring boleh mandi boleh charge telefon dengan selesa. Tapi tak pernah terdetik nak betul-betul pergi, sebab fikir mesti tak mampu, mesti untuk first class passenger je.

Sampailah masa pergi Langkawi tahun 2019. Flight kami nak balik KL petang dalam pukul 4 gitu kot tapi pukul 12 lebih kami dah dekat Airport lepas checkout hotel. Lama kan nak menunggu. Tiba je terdetik hati nak tanya dekat Executive Lounge berapa charge kalau nak masuk.

Surprisingly, masa tu takde charge masuk, cuma kena beli makanan je. Tak silap makanan dia paling murah RM20, nasik ayam. Starting daripada tulah berlakunya anjakan paradigma. Tak delah harga kayangan Executive Lounge ni. Kalau bayar RM20 boleh duduk atas sofa, boleh charge telefon, tak perlu bersesak-sesak dengan orang ramai, tak perlu risau beg kita kena rembat. Berbaloi sangat kan. And then tak perlu pun first class ticket. Ticket biasa pun boleh masuk. 

So starting dari tu, bila ada flight yang terlalu lama masa menunggu, saya pun menjinak-jinakkan diri dengan idea Executive Lounge.

Minggu lepas saya kena pergi ke Kelantan untuk site visit. Dengar je nama Kelantan terus rasa yihh beratnya. Sebelum ni pernah site visit dekat daerah kecil yang memang terpaksa drive tidur semalam, tempat site visit kali ni pulak dekat Kota Bharu.

Bila ambil kira cost, masa, tahap kepenatan dengan jarak tempat site visit dari airport, saya pun buat keputusan ambil pesawat ke sana. Kapal terbang paling awal ada waktu pagi sebelum subuh, jadi sempat pagi tu bergerak ke klia2 tak payah tidur dekat Kelantan. Naik flight pun lebih kurang sejam gitu lah. 

Cuma sebab nak tiket murah kan, eh this happens exactly 2 days sebelum MYairline gulung tikar. Waktu balik saya ambil tiket pukul 9.25 malam MYairline. Site visit pulak habis tengahari. Pukul 1 tengahari dah habis. Nak menunggu flight balik klia2 lagi 8 jam. Kawan dekat KB nak ajak lepak pula takde.

Pagi tu sempat borak dengan abang Grab pasal tempat-tempat menarik di KB. So saya adalah buat short itinerary berdasarkan suggestion dia sementara menunggu boarding flight malam tu.

Cumanya yang pertama, nak pergi dari satu tempat ke tempat yang lain kena naik Grab sebab kalini tak drive. Total spend untuk Grab haritu je dah RM50 lebih. Dah macam tak berbaloi. Cuma untung pergi Nasi Ulam Cikgu, sebab dekat sini banyak tourist attraction yang tak perlu naik grab jalan jauh. Ada Istana Jahar, Muzium DiRaja, Kompleks Kraf.

Lepas lunch saya naik Grab menuju ke sana, dah habis lawat tempat tu semua, baru pukul 3 petang. Fikir punya fikir, nak pergi semua tempat kena ambil grab, akhirnya saya pun decide untuk terus ke airport KB menunggu flight 9 malam.

Dekat airport masa solat rasa macam nak lepak surau je, tapi bila fikir lama sangat, saya lepak kedai makan. Kedai makan ni pulak adoiyai harga makanan semua kayangan sebab dekat airport. Maggi pun RM10. Air secawan pun RM5. Saya pun fikir eh carilah Executive Lounge sini. Kalau dok kedai ni pun habis puluh-puluh ringgit.

Saya ronda-ronda aras bawah airport, macam takde pun Lounge. Dekat Google ada nampak tapi tak sure masih beroperasi tak. Yang pelik tengok dekat Google lounge dekat airport KB ni bawah seliaan Universiti Malaysia Kelantan. Bila bukak Facebook page dia, baru nampak post dia last bulan 8. Eh macam bukak lagi ni.

Tapi rupanya kena naik aras atas, kena lalu departure. Maksudnya lepas dah masuk departure tak boleh keluar dah. I was like oh okay lah aku pun takde tempat lain nak pergi. 

Tapi bila nak lalu pintu ke departure tu, pegawai tu tanya waktu flight. Saya tunjuk tiket flight 9.25 malam, saya bagi tau nak masuk ke Executive Lounge dekat tingkat atas. Dia kata saya kena ke pejabat MYairline untuk dapat pelepasan. 

Oh ok. This is new. Saya pun berjalan lah ke hujung airport ke pejabat MYairline (to think back of it, mesti staf-staf tu sekarang dah takde kerja kan. Kesian pula). Staf sana hantar mesej kot dekat bos dia, then dia kata dah boleh masuk ke departure. Saya pun kembali ke departure. 

Pegawai yang menjaga pintu departure melepaskan saya masuk, tapi pegawai kastam yang menjaga mesin Xray tu ragu-ragu. Mana staf MYairline? Dia tanya pada pegawai departure yang melepaskan saya. Setelah diterangkan oleh pegawai pintu tu, dia pun melepaskan saya. Later on bila berborak dengan staf Lounge, baru saya tahu, AirAsia dengan MYairline je yang nak masuk departure kena ada staf yang jaga. Sebab policy hand carry luggage yang strict. Jadi staf deorg akan cek. 

Kalau naik MAS dia akan lepaskan je naik. 

So lepas naik je eskalator ke atas nampaklah Karya Executive Lounge Universiti Malaysia Kelantan terpampang. Kalau tengok harga normal online RM50, tapi di kaunter dia kata harga RM29.90 saja. Oh wow ini lagi berbaloi. 

Ada 3 jenis menu dia tak silap. Satu, yang boleh pilih satu je. Yang ini ada satu hidangan carbohydrate macam nasi goreng, spaghetti, mee. 2 lagi free flow, which are air minuman dan dessert.

Masuk-masuk je saya nampak peti sejuk penuh air kotak dan air tin. Saya tanya dia boleh ambil ke air dalam tu? Kena bayar lain ke? Dia kata tak payah yaalll boleh je amek free flow. Astaga.

Saya order spaghetti Arabiatta, dengan air teh. Air panas yang kita order pun semua free flow, boleh minta dia sediakan takde limit. Saya ambil port sofa dekat celah-celah tempat tersembunyi. Lega rasanya dapat melabuh punggung dekat kerusi empuk. Charging port pun banyak. 

Masa tu ada sorang je lagi guest dekat lounge ni. Lagi syok. Tenang je. 

Baru pukul 4. Ada 5 jam lagilah lebih kurang sebelum boarding. Kerusi empuk boleh baring, toilet ada dekat dalam. Tak perlu berebut. Ada surau lagi dekat dalam Lounge. Lepas tu atas meja dia ada jajan-jajan, free flow juga. Nikmat Tuhan yang mana kamu dustakan 😆 semuanya tak sampai RM30. 


Cut story short, flight saya delay dari 9.25 ke 10.45. Mungkin tanda-tanda MYairline nak melingkup dah kot time tu huhu

Anyways lamalah duduk situ sampai lounge tutup 9.30 malam. Barulah saya duduk luar tunggu waktu boarding. Kenyang ya rabbi ya masa tu. Dah tak terminum dah air tin dia, air kopi air teh semua dah minum. Siap tapau air mineral dia sebab kan bila dah lalu departure kita tak boleh bawak botol air dah. Kira ada lounge ni cheat code nak melepasi sekatan botol air. 

In conclusion, please yalls jangan pergi kalau Airport tu ada lounge. Biar je kosong. Sebab kalau yall pergi nanti ramai orang dah tak best huhu.

That's all from me today. Jumpa lagi next entry bye-yeeee

19 October 2023

Day #11 Writing Challenge: Hari kedua di HosHAS

Harini start bercakap dengan waris di katil sebelah abah. Katil belah kiri belum sempat ditemubual dah checkout. Berjaya lolos dari hospital petang tadi.


Waris katil sebelah kanan abah orangnya dari Maran. Nampak anak lakinya menjaga seorang, justeru ada suatu rasa faham kepada keadaan mentalnya. Saya bertanya di mana ayahnya. Keseluruhan katilnya tiada di sebelah. 

Katanya dibawa ke dialisis. 

Ayahnya menghidap kanser. Buah pinggangnya sudah gagal di tahap 5. Perlu di dialisis. Saya menggelarnya adik nampak seperti masih di bangku sekolah. Tapi dia membetulkan saya, katanya sudah habis belajar.

Penat. Begitulah satu perkataan yang boleh menceritakan peri keadaan menjaga pesakit di hospital. Malam tadi lebih 24 jam saya di hospital, masih memakai pakaian yang sama dari pagi semalam dari rumah di Putrajaya. Bererti lebih 24 jam juga tidak mandi. Tidur sekejap-sekejap atas kerusi di tepi katil. 

Mengendalikan Abah bukan mudah. Teringat kata-kata cikgu Zarina masa darjah dua dulu, orang tua nanti dia akan kembali jadi macam budak kecil. Tak boleh berjalan, terpaksa pakai lampin, makan bersuap, tiada lagi rasa segan atau malu. Begitulah rasanya menjaga Abah. Harini saja 4 kali Abah melepaskan hajat.


Saya pulang sebentar petang tadi, sekadar untuk mandi, makan tengahari, membasuh baju kotor yang dibawa pulang lebih 500km dari site visit di Johor Bahru. Walau sudah kembali ke kampung lebih 24 jam, belum lagi boleh merebah badan di atas katil melunjurkan kaki. Kerana berjanji bahawa kepulangan ini bukanlah cuti, terpaksa juga melunaskan tugasan-tugasan kerja pejabat.


Sementara saya di rumah, kakak menemani Abah di hospital. Anak-anaknya Boboiboi kuasa tiga ditinggalkan di rumah mak. Bertambah pula tekanan melakukan kerja di komputer. Anak-anak saudara sama-sama ingin membantu katanya. Habis ditekan-tekan papan kekunci sambil saya menyiapkan kerja.


Anak saudara saya yang kedua dari adik beradiknya rasa bosan ditinggalkan ibunya, mula tantrum. Mula-mula mengugut ingin mencampak telefon saya, kemudian ingin membuang beg saya di luar rumah. Setelah mengugut tiada duit raya akan diberikan kepadanya tahun hadapan, dia mengambil pisau ingin menikam dadanya sendiri. Ya dramatis sungguh anak saudaraku (seperti bapa saudaramu jua) gara-gara kebosanan ingin menikam diri sendiri (I have video proof BTW totally going to bring this up once he's old enough to cringe from past behaviours). One cracked screen protector and a bag of Chupa Chups lollipop later, barulah berjaya ditenangkan anak-anak saudara. 


Dalam pada diserang dua hala oleh anak-anak sedara, sempat jugalah menyiapkan tugasan sekadar mana yang kritikal. Walau ikut perjanjian asal sepatutnya lebih lagi, tapi itulah. Perjanjian asal tidak termasuk Abah ditahan di wad. Terpaksa menyiapkan kerja ala kadar.


Sekarang di sebelah Abah di wad. Abah sudah lama tidur. Masa yang ada saya gunakan untuk mengejar 15 post Writing Challenge. #ambitious. Penat. Sangat penat. 


Pak cik di katil sebelah sudah kembali dari dialisis. Abah bangun sekejap tadi, ingin bercakap dengan mak. Soalan pertama Abah "Anak-anak siapa yang balik?" aduhai meruntun. Begitulah ibu bapa kita pada masa tua, menghitung hari-hari kepulangan anak ke pangkuan. Ada ketakutan juga kita nanti bagaimana? Moga Allah permudahkan.


Besok masih ada komitmen kerja pukul 3 petang, ada online session dengan supplier. Tapi macam perlu cancel je. Not in the right mind nor have the time for a meeting.


Ada satu soalan menerpa di minda, paraphrasing Dan Brown dalam buku Digital Fortress - "Who takes care of the caretakers?" (OG line - who will guard the guards?) 


Orang telefon kita tak tanya dah tidur ke belum, makan ke tidak, OK ke tak mental? Semua tanya "Abah macam mana dah?" so far boleh lagi I think tapi I can totally see macam mana caretakers orang tua ni boleh burnout.

So yeah. Itu jelah untuk harini. Apa-apa tambahan kita update besok ya. 

Day #10 Writing Challenge - Hospital Abah dan memori-memori (2)

(langkau 10 bahagian Writing Challenge)
*menulis pada pukul 11.30 malam di pekarangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah* 

Keriuhan group WhatsApp keluarga membawa kepada mesyuarat tergempar adik beradik kami tentang topik yang sangat berat-mak dan abah bagaimana sekarang?

Dua bulan yang lalu, bengkak di kaki abah semakin membesar. Sayalah yang membawa abah ke hospital setelah pulang dari masjid waktu maghrib pada malam Sabtu. Mengangkat abah ke dalam perut kereta sendiri satu tugas yang getir, kerana abah sudah tidak mampu mengampu beratnya sendiri. Penat mendukung Abah dari katil ke kerusi roda, seterusnya dari kerusi roda ke kereta, kakinya langsung tidak memberi kerjasama. 

Tepat sewaktu azan Isyak berkumandang, tayar bergolek. Teringat malam itu, hanya berfikir Abah hanya akan dirawat dan diberi ubat, tetapi doktor merumuskan masalah Abah lagi serius dari yang kami fikirkan. Thrombosis - salur darah Abah di kaki tersumbat.

Abah ditahan di hospital pada malam itu, dan keluarga kami terus diuji. Abah sebelum ini walau perlahan, mampu mengurus dirinya sendiri. Kini Abah berdiri sendiri pun tidak betah lagi.

Sebelum ini hanya ada La untuk melihat-lihat Abah dan Mak, masak lauk tengahari, menyediakan hidangan di atas meja untuk Mak dan Abah makan pada waktu malam, menjemur dan mengangkat kain di ampaian. Mak dan Abah boleh berjalan walau dengan bantuan tongkat.

Kini tidak lagi. 

Abah tidak mampu lagi berjalan sendiri ke tandas. Harus ditolak atas kerusi roda. 

Kami bercakaran. Berhujahan dalam mencari kata sepakat. Pada akhirnya diputuskan (dengan penuh kontroversi) ada satu kitaran 10 minggu untuk menjaga Mak Abah. Abengah akan mengambil 4 minggu sewaktu pulang dari offshore, manakala baki 6 minggu akan diambil kami berenam yang lain. Bermakna setiap kami yang bekerja perlu mengambil tempoh cuti seminggu sewaktu giliran kami, tiada kompromi.

Giliran saya setelah dipersetujui, jatuh pada minggu kedua kerana tarikh yang tidak kritikal untuk tugasan kerja. Ada perbincangan yang panjang dengan majikan, bahawa saya memohon bekerja dari rumah dan bukan cuti sewaktu giliran saya. Bermakna tugasan-tugasan kerja masih perlu disiapkan walau di kampung.

Dan giliran tersebut bermula pada hari ini. Rabu 18 Oktober 2023. Sengaja saya susun jadual giliran saya supaya bermula pada hari Rabu dan berakhir pada hari Selasa, kerana tidak mahu satu minggu berderet tidak bekerja. Sekurang-kurangnya kedua-dua minggu saya akan masuk ke pejabat. 

Dan seperti kali terakhir saya menghantar Abah ke hospital, takdir saya Abah perlu ditahan di wad. Pada kali ini, tekanan darah Abah terlalu rendah - 4.5 (what's the unit here, I'm not sure). Dr mengesahkan ada luka di usus Abah, tapi Dr perlu memasukkan kamera untuk menentukan lokasinya. Sepatutnya pada hari ini Dr hanya mengambil bacaan mingguan darah Abah. Kini tersekat kami di sini. 

Dari pukul 8 pagi tadi Abah di hospital, semalam redam dalam tangis air mata mengkhabarkan kepada Mak untuk menyiapkan bajunya untuk ke hospital hari ini, katanya tidak akan kembali lagi. Mak apabila terlihat gambar jarum branula di leher Abah semakin berjujuran air matanya membayangkan yang tidak-tidak (bukan-bukan, tapi dengan cara orang Sabah menyebutnya). Tangan dan kaki Abah bengkak, tiada tempat lagi untuk Dr memasukkan jarum. 

Begitulah update ringkas tentang menjaga Abah. 20 minit yang lalu baru diumumkan Abah akan dihantar ke wad dan warisnya (saya) dimaklumkan melalui pembesar suara, kerana saya tidak dibenarkan menemani Abah sewaktu menjalani rawatan di zon kuning. Tadi sempat melihat Abah dimasukkan darah, melihatnya pun dah gelap mata, mabuk. Can never be a doctor, for sure. 

Ya dari 8 pagi sampai 11 malam di sini. Malam saya baru saja akan bermula sekarang. Menjaga Abah di wad sehingga dibenarkan keluar. Wish me luck guys. 

06 October 2023

Day #1 Writing Challenge: Rinjani

 to kakasarah and Naja: Talk is cheap people. Stop talking, start writing!



Saya baru balik dari Rinjani bulan lepas. Hampir seminggu menghabiskan masa di pulau Lombok, hanya untuk mendaki. Gunung Rinjani ialah gunung kedua yang saya daki di negara seberang, selepas Gunung Kerinci tahun 2017 dulu. Coincidentally, Gunung Rinjani ni jugak gunung kedua tertinggi di Indonesia selepas Kerinci (imma pretend Carstenz Pyramid di Irian Jaya tidak wujud), well at least gunung berapi kedua tertinggi lah di Indonesia, pada ketinggian 3726 meter dari aras laut.


Sebetulnya, rasa nervous tu takdelah teruk sangat, tak macam masa pergi Kerinci dulu. Dulu sebab kali pertama nak mendaki gunung di negara orang, tak tahu bagaimana. Kalau berlaku kejadian tak diingini, bagaimana. Nak travel ke negara dia satu cerita, nak travel dari Airport ke homestay satu hal, nak mendaki gunungnya satu hal. Nak kena fikir pakaian, peralatan, insurans, passport, ehhh segala macam lah. 


Tapi bila dah kali kedua ni macam lebih bersedia mental. Yang tak bersedianya, isu dengan passport (🤫). Nak kata nervous naik Rinjani ni tak sangat. Sebab dekat Rinjani ni money talks baby. Kau malas nak jalan? Haaa ada ojek boleh naik sampai checkpoint 2. Kau malas bawak beg? Apedehal upah sajoh porter. 3 hari 2 malam load dia angkat. Kau malas bawak ration? Settle. Semua dah include dalam pakej. Sekali dengan kerusi healing dengan tilam dia angkut naik haa. Tak larat jalan masa nak keluar? Ada ojek jugak lagi haa. Pendek kata asal ada duit, semua boleh di Rinjani. 


Berangkatlah kami ke tanah seberang pada hari Jumaat 15 September 2023, Fareez hantar saya ke klia2. Semata sebab nak pergi Rinjani ni saya beli Phone baru okay. Angkat dekat Digi plan 36 bulan Samsung S23 Ultra (#followersperlutahu #humblebrag) 


Sebetulnya phone terakhir saya beli masa tahun 2020. Rasa cukup 3 tahun boleh dah upgrade lagi-lagi memikirkan kegunaan kerja kan. 



Waktu Lombok ni sama dengan waktu Malaysia, to be precise, macam Sabah Sarawak. Pukul 5 petang dia macam 6 petang Semenanjung. 


Not sure how to approach writing about Rinjani, tapi yang saya nak highlight ialah kehilangan dan kerosakan benda-benda penting masa di Rinjani. 


Waktu hari kedua kami lepas turun dari puncak di Danau Segara Anak, kami mandi di kolam mata air panas. Saya tumpang baju basah dalam beg Syiemey, beg tu ditinggalkan luar khemah. Waktu tu dah penat kan takde teringat nak sidai ke apa. Secondly, ada porter jadi fikir baju basah takpelah nanti masuk dalam beg, porter bawak turun 🤭


Esok pagi tu masa nak mengemas barang, Syiemey tak jumpa beg tu. Dah puas tanya semua orang, semua orang yang nampak beg tu last dekat luar khemah kami. Konklusinya, sebab dekat danau tu tiada haiwan yang cukup besar mampu mengangkat beg tu, hanya ada satu kemungkinan iaitu manusia.


Paling sedih, baju saya dalam tu ialah baju YYBTN 😭😭😭 baju oren yang dok pakai sepanjang hiking trip dari tahun 2016 lagi. Terasa macam sebahagian dari identiti sebagai seorang pendaki hilang. Dengan seluar hiking dalam tu yihh baru beli tak sampai setahun pakai.


Keduanya, strap pinggang dekat beg saya yang bagi porter bawak tu pecah. Sama jugak dah 7 tahun hiking tahun ni jugak kehilangannya. Sedih sebab kita jaga dari dulu. So conclusion yang saya dapat masa tu ialah porter ni tugasnya angkat barang dari Point A ke point B, tapi samada barang tu kondisinya sempurna atau tidak, itu jatuh nombor dua. Tapi takpelah saya redho je. Cuma memikir macam mana nak ganti. Ada ke kedai sparepart Karimor dekat Malaysia?


Sepanjang bersembang dengan Kakasarah on trek, semacam ada bau-bau persaraan dah hinggap lol mungkin ini masanya melepaskan kerja-kerja mendaki ni ke generasi pelapis (ada ke pelapis????) Kira barang-barang yang hilang ni macam satu petanda lah masa persaraan dah tiba. Gitu. 

 Bye bye baju YYBTN. You are sorely missed

Anekdot lain di Rinjani - ya sangat lawa. Better dari Kerinci in terms of the view. Sebab view dia pelbagai jenis dari treknya yang panjang. 


Sepanjang-panjang ke puncak sampai keluar ke pintu rimba, pelbagai view dihidangkan. 



Ada benda-benda lain nak dicerita, tapi writing challenge 10 hari kan so kena ration-ration biar cukup 10 hari. Ok itu saja update untuk Day 1 writing challenge. Kembali ke Kakasarah dan Naja 🤣


01 June 2023

RANDOM AWESOME

 If there's a song yang boleh describe the early 2010s, I think Yuna's Random Awesome would be a great contender. 

 

Zaman indie tengah mekar waktu tu, daripada buku-buku (FIXI, Dubook), kepada music (Hujan, Yuna) kepada the explosion of blogs, permulaan zaman social media and konsep viral and memes baru nak di-grasp by the general populace. 


Zaman tudung Hana Tajima, gwiyomi. keek (?) and vines. 


To be frank though, early 2010s for me was a confusing era. Masa tu I rasa macam lagi krisis identiti dari zaman sekolah. I mean kan waktu remaja orang kata zaman tercari-cari identiti diri, tapi for me personally waktu early 20s paling tak faham. 


You went straight daripada tak boleh bercinta, tibajah orang tanya bila nak berumahtangga. Daripada zaman tak dibenarkan sama sekali bawak kereta, tibajah orang tanya bila nak amek lesen, bila nak beli kereta. Zaman peralihan daripada remaja kepada dewasa, daripada zaman study ke zaman bekerja, bila kau bukan setakat nak kena adapt dengan perubahan pada diri sendiri, tapi nak kena adapt dengan expectation dengan masyarakat yang tiba-tiba berubah. Dalam otak kita, rasa macam diri masih awal remaja, tapi orang semua suruh kita galas tanggungjawab sebagai orang dewasa.


Hari ni study, esok orang dah tanya bila nak dapat kerja. Making everything worse, harini beramai-ramai dengan kawan-kawan, esok dah sorang-sorang, semua dah tercampak ke serata pelusuk dunia. Sebelum ni kawan-kawan ialah kekuatan kita, tapi sekarang kena belajar menghadapi semua tantangan dan cabaran bersendirian. Everything moved at a fast pace, you were hardly catching up. 

 

I would be 34 this year, and lots have changed from my early 20s era. A few keynote moments in my life during the 2010s ialah I started hiking, and I pergi umrah. Both really shaped me as a person that I am today. In a sense that I began to readjust my expectations, re-calibrate my objectives in life, and reshape my circle of friends. Pergi umrah tulah kot, terus strengthen the concept that this dunia is temporary, and knowing that our main goal is akhirat, would you start to review your perspective on life. And dari situ, we start to make changes to our life. 


Pergi hiking was perhaps the best decision that I made masa umur 27 tahun. Dekat sini I began to have altogether different notions of life, that people are very diverse and awesome, and what we believe was true about ourselves might actually be wrong. I used to believe that I would never physically able to scale a mountain, now I can't even recall how many peaks I have conquered without having to list them down and count them one by one. 


Oh and unfortunately, being in your 30s, kawan-kawan yang dulu kahwin pun ada yang dah start cerai berai. Having social media lets you see every drama unfolds, every step of the way daripada kahwin, rumah tangga bergoncang, tiba dah deactivate account, tukar profile picture daripada gambar family bahagia tiba gambar sorang je takde pasangan takde anak. 


Btw I menulis ni pun sebab tiba teringat lagu Random Awesome Yuna, and how I relate to that song so much when I was 22 gitu and excited for my 24th birthday sebab lyrics dia 'No they don't know much about us, when we're exchanging glances. We'll figure out one day, what happened on your 24th birthday' tiba bukan 24 tahun, dah nak masuk 34 tahun dah pun lol


On that note people, shall I conclude this post. Bye-yeee and see you again very soon.



31 May 2023

issawap

mungkin, terabadi dalam rasa-rasa yang tidak tertera, adalah peristiwa-peristiwa yang tidak terencana.

 

ada mungkin kita melihat keindahan dari balik tirai keterbiasaan, lalu untuk seketika, sewaktu seputar  pinjaman masa, kita terpana - egois dan sayu melakur kepada satu bagian atma.


kita tidak punya siapa-siapa lagi. kita tiada punca arah yang lainnya lagi. bertemu dalam sangkar kebarangkalian, menggapai persilangan-persilangan langka, tersisih pada sisa usia yang hasad kepada kita barangkali tali takdir yang mengikat jiwa kita. 


rasa - begitulah. bagai pancawarna - 5 garisan cahaya. tidak seperti pelangi, tapi tetap tiada cela.

 

bersemadi ke dalam mimpi-mimpi, adalah hasrat untuk kekal terabadi dalam suatu rasa yang sama, suatu detik yang beku pada suatu garis kala, di suatu satah terpencil suasana, waktu dan tempat terpaling bahagia. untuk terus kekal utuh, berdiri di persada meski segalanya sudah tidak serupa.



21 January 2023

Hospital, Abah dan memori-memori (part 1)

Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. 21 Januari 2023.

Untuk kesekian kalinya di sini, sudah tidak terhitung dengan jari. 

Saya menghabiskan masa kali ini menaip beberapa anekdot tentang Abah di telefon, sambil menjaganya di wad. Kadang terhenti ketika Abah minta mengurut bahu, kadang dia meminta bantuan ingin duduk ketika terlalu lama berbaring. 

Melihat dada Abah berombak turun dan naik, rasa lega bergulir dalam sanubari. Di usia Abah 87 tahun, kami masih dapat merasa kasih sayang seorang ayah. 

Saya lahir sewaktu Abah sudah berusia 53 tahun, waktu bersara ketika itu masih 55 tahun. 2 tahun lagi sebelum seharusnya pencen.

Dalam memori seumur hidup saya, bapa saya adalah seorang yang telahpun tua. Saat saya mengenalnya usianya sendiri sudah hampir ke angka 60. Saya tidak pernah mengenali beliau ketika beliau muda, apatah lagi sebagai seorang pertengahan usia. Tuntasnya, persoalan-persoalan jodoh, ajal dan maut hanya di atas sana yang mengetahui. 

Dan sedari kecil lagi, bicara Abah selalu tentang hal-hal orang tua. Sejak umur 7 tahun begitu, Abah mengingatkan kami umur 63 adalah jangka hayat umur umat Nabi. Selepas 63 adalah tahun-tahun hadiah. Maka semenjak usianya 63 tahun, kami tahu setiap tahun kami bersama Abah bila-bila saja boleh jadi tahun terakhir bersamanya. 

Tragedi pertama sewaktu saya berusia 6 atau 7 tahun. Entah bagaimana, Abah terjatuh di kebun getah sewaktu menoreh. Zapp - pisau menoreh yang tajam menggores pinggang Abah, tersiat kulitnya dalam bentuk segitiga sehingga ternampak isi, seolah kertas dinding yang mengelupas apabila gamnya tidak melekat lagi. Saya walaupun kecil memahami seriusnya skala kecederaannya - apabila Abah berehat sementelah menunggu lukanya sembuh, saudara mara kami datang menziarahinya tidak kunjung putus.

Dari nada cemas Abah bercerita, kami cukup faham jika ajal menjemput Abah ketika itu. Abah sedang bersendiri dalam kebunnya, boleh jadi dia tidak akan ditemui sesiapa setelah pitam. Nasib Abah baik, sempat ditemui orang ramai ketika dia sudah banyak hilang darah. 

Memori terawal saya tentang kecederaan parah Abah itulah, tapi di minda kakak-kakak dan abang saya, ada peristiwa yang lebih awal pernah berlaku.

Ketika kami kecil, Abah kehilangan pekerjaan. Oh ceritanya lebih panjang dari itu, tapi dipendekkan kisah, Abah lebih sanggup berhenti daripada berkonflik di tempat kerja. Hidup kami 9 beranak terus susah sejak itu.

Abah membawa kami tinggal ke kebun getahnya di seberang Temerloh. Ada sebuah pondok kecil di situ tempat kami berteduh, tapi tiada elektrik ataupun air paip. Abah mengumpul dan menadah air hujan daripada bumbung rumah ke dalam tong drum, apabila kami ingin ke tandas Mak akan mencangkul lubang untuk membuang dan kami menggunakan air tersebut untuk beristinjak.

Mujur kebun Abah ada 2 perigi mata air, untuk mandi kami akan berlari anak sambil melompat untuk mengelak pacat dari pondok Abah ke perigi.

'Dan dia tidak pernah merasa, kerana derita itu adalah dia' tulis Usman Awang dalam sajaknya Mata Ayah, dan kami merasai maksud ayat itu dengan setiap salur urat, nadi, nafas dan rasa hati terpaling dalam, bahawa setiap kesusahan kami tidak terasa bagai suatu derita, kerana kami telah bersebati dengannya.

Tragedi terawal dalam memori kakak-kakak dan abang saya ialah, waktu masih menetap di pondok Abah kami pernah berkunjung ke sebuah petak sawah milik kenalan Abah. Mereka berpesta menahan jaring menangkap ikan-ikan dalam bendang. Dalam memori saya teringat ikan melompat dari air dan saya cuba menangkap dengan tangan.

Ketika hari petang, Abah sudah resah ingin pulang. Ketika dalam keriuhan bersiap untuk pulang, kaki Abah terpijak sengat ikan keli daripada sekian banyak ikan-ikan yang telah didaratkan. 

Pap! Serentak rasa sakit menikam kaki Abah dari sengat keli. Abah berjaya memandu kami pulang ke pondok walau telah tercedera, dan malam itu, Kak Long dan Mak melakukan pembedahan ke kaki Abah untuk mengeluarkan sengat keli.

Kami semua tidak boleh memandu kecuali Abah, kami tidak ada telefon, elektrik mahu pun air paip. Malam itu, bertemankan api pelita, menggunakan pisau dapur, kaki Abah ditoreh. Apabila berjaya mengesan sengat keli, akibat ketiadaan pengepit, Kak Long terus menggigit sengat dan membawanya keluar dari daging kaki Abah dengan giginya. 

Memori ini sendiri mengingatkan saya kepada watak ibu An-Mei, Suyuan dalam The Joy Luck Club, yang menoreh cebisan kecil daging di tangannya untuk dijadikan sup buat ubat di penghujung usia neneknya, suatu resipi kuno sebagai ikhtiar terakhir seorang anak untuk menyelamatkan nyawa ibubapanya.

Pengorbanan itu - sifat hormat paling tinggi kepada orang tua, yang terlalu agung sehingga dirasai daripada sedalam tulang belulang. 

(bersambung...)




19 January 2023

seorang buta

 ada tulisan yang kita biarkan ditimpa tulisan-tulisan lainnya, lalu terus tertimbun ke dalam draft di bawah himpunan draf-draf yang lainnya. usia berlalu, tulisan itu tidak lagi relevan, hanya suatu pintasan sejenak emosi dan memori yang rawak di garis masa. saat dibuka kembali, oh begini yang aku fikir dan rasa pada detik sekian-sekian, kadang ada rasa malu menumbuh di sanubari, tersipu kerana pernah berfikir dan merasa demikian suatu masa dahulu. 


dan demikian, dalam menjalani detik-detik tertentu, rasa perlu terabadi ke dalam tulisan, tetapi lupa dan malas merajai, maka memori itu menjadi pudar, tidak pernah tertulis menjadi lembaran yang boleh dibaca semula. seiring peredaran zaman, semakin dilupai dan sampai suatu masa, padam bersama jasad yang membawanya.

 

aku masih di sini, tahun ke dua puluh tiga millenia ketiga. yang membuatkan aku ingin bercerita, adalah ada tulisan-tulisan yang diterjemah dan terluah dari rasa dan asa terpaling dalam, tiap kata diuntai dengan emosi dan juraian air mata, dan apabila kau kirimkan tulisan itu kepada penerimanya, hanya sepi yang dihambur kembali. dan kau sedari, tidak semua berbicara dalam bahasa yang sama. 


kau boleh mengarang puisi terindah, syair paling romantis, tapi jika yang mendengarnya hanyalah sebuah tembok yang tuli dan bisu, apakah maknanya? kau mampu melakar lukisan paling indah dalam seantero alam semesta, tapi yang melihatnya hanya seorang yang buta, apakah gunanya? 


untuk itu, aku mengerti. frekuensi kita semua tidak akan sama. aku hanya mampu menulis segenap rasa lara, tapi itu tidak bermaksud jiwamu yang membaca mampu meresap maknanya.

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter